Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKonsep halal merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan kepatuhan kepada hukum syarak dalam pemprosesan makanan, farmaseutikal, kosmetik dan produk pengguna lain. Pensijilan halal ialah proses yang mengesahkan sesuatu produk mematuhi prinsip halal berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia.
Sijil halal juga adalah lebih daripada label atau logo. Pensijilan ini menjadi jaminan dan memberi penegasan kepada pengguna, khususnya umat Islam bahawa sesuatu produk adalah bersih, berkualiti dan tidak mengandungi bahan haram atau syubhah.
Dalam era globalisasi dan perkembangan industri yang pesat, peranan saintis dalam pensijilan halal semakin penting. Kemajuan teknologi dan kepelbagaian sumber bahan mentah memerlukan penglibatan saintis yang mendalam. Mereka bertanggungjawab memastikan bahwa produk halal yang dikeluarkan memenuhi semua keperluan syarak dan standard keselamatan makanan.
Peranan Saintis dalam Analisis Makmal
Satu daripada tugas utama saintis dalam pensijilan halal termasuklah menjalankan analisis makmal untuk memastikan produk tersebut bebas daripada bahan haram. Mereka menggunakan pelbagai teknik canggih seperti kromatografi, spektroskopi jisim dan elektroforesis.
Teknik ini bertujuan untuk mengesan kandungan bahan seperti alkohol, gelatin dan enzim yang tidak halal. Hasil analisis ini sangat penting kerana akan membantu juruaudit dan panel pensijilan halal dalam membuat keputusan yang lebih tepat. Keputusan tersebut adalah berdasarkan bukti saintifik yang komprehensif yang disediakan oleh saintis.
Penyelidikan dan Pembangunan Produk Halal
Saintis juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan alternatif bahan halal. Sebagai contoh, dalam industri makanan dan farmaseutikal, bahan seperti gelatin daripada haiwan yang tidak halal boleh digantikan dengan gelatin daripada sumber tumbuhan atau haiwan yang disembelih mengikut syariat Islam.
Contohnya, dalam penggunaan karagenan, sejenis polisakarida yang diekstrak daripada rumpai laut merah sebagai agen pemekat dalam produk tenusu seperti susu dan pencuci mulut. Karagenan bukan sahaja memenuhi syarat halal, malah membantu dalam meningkatkan tekstur dan kestabilan produk. Selain itu, saintis turut membangunkan bahan alternatif lain seperti pektin dan agar-agar yang berfungsi sebagai bahan pengganti gelatin dalam industri makanan dan farmaseutikal.
Inovasi Teknologi dalam Pensijilan Halal
Kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dan pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) kini banyak digunakan dalam analisis produk makanan. Saintis berperanan dalam mencipta sistem yang mampu mengesan bahan yang tidak halal dalam sesuatu produk dengan lebih pantas dan tepat.
Misalnya, teknologi pengesanan biopenderia dapat membantu dalam mengenal pasti kehadiran DNA haiwan yang tidak halal dalam produk makanan. Inovasi seperti ini membantu menyediakan data yang lebih cepat dan tepat bagi juruaudit dan panel untuk membuat keputusan dalam proses pensijilan halal.
Kepakaran Saintis dalam Pemiawaian Halal Antarabangsa
Pensijilan halal bukan hanya berkaitan dengan kepatuhan kepada undang-undang tempatan, malah melibatkan standard antarabangsa. Saintis membantu dalam pembangunan piawaian halal global dengan memastikan bahawa kaedah pengujian adalah selamat dan boleh diterima oleh pelbagai negara.
Contohnya, saintis yang terlibat dalam International Halal Accreditation Forum (IHAF) dan Standard Halal ISO memainkan peranan utama dalam menyelaraskan prosedur pensampelan dan menganalisis kandungan bahan. Perkara ini amat diperlukan agar keputusan boleh diterima secara menyeluruh.
Selain itu, saintis bekerjasama dengan badan pensijilan antarabangsa dalam memastikan keseragaman definisi dan skop halal, memandangkan terdapat perbezaan tafsiran halal antara negara. Contohnya, sesuatu bahan yang dianggap halal di satu negara mungkin dikategorikan sebagai syubhah atau tidak halal di negara lain. Oleh itu, saintis membantu dalam mewujudkan kerangka standard halal yang boleh diterima oleh pelbagai pasaran global, sekali gus memudahkan eksport dan import produk halal.
Saintis sebagai Juruaudit dan Panel Pensijilan Halal
Selain menjalankan analisis dan penyelidikan, saintis juga berperanan sebagai juruaudit dan panel dalam proses pensijilan halal. Juruaudit yang berkelayakan bertanggungjawab menilai pematuhan syarikat kepada standard halal yang ditetapkan. Mereka menjalankan pemeriksaan di tapak pemprosesan, menilai bahan mentah dan peralatan yang digunakan serta memastikan amalan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi sepenuhnya.
Sebagai contoh, dalam pemeriksaan ini, saintis atau juruaudit menilai peralatan yang digunakan dalam pemprosesan makanan, termasuklah berus yang digunakan untuk membersihkan peralatan atau perkakas bebas daripada bulu babi serta mesin pemprosesan yang tidak tercemar dengan sisa bahan yang tidak halal. Penggunaan peralatan yang memenuhi standard halal adalah penting untuk mengelakkan sebarang pencemaran silang yang boleh menjejaskan status halal sesuatu produk.
Sebagai juruaudit dan panel pensijilan halal, mereka juga perlu mempunyai latar belakang dalam bidang sains bagi memastikan keputusan analisis sesuatu bahan tidak mengandungi sumber haram dan menilai kesesuaian produk untuk menerima pensijilan halal. Peranan ini memerlukan kefahaman yang mendalam tentang syariat Islam serta sains makanan, farmaseutikal dan bioteknologi bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan adil.
Pendidikan dan Kesedaran Halal dalam Kalangan Industri
Selain melaksanakan tugas teknikal, saintis juga bertindak sebagai pendidik kepada industri makanan, kosmetik dan farmaseutikal tentang kepentingan mematuhi prinsip halal. Mereka bergiat aktif dalam seminar, bengkel dan sesi latihan bagi membantu pengeluaran memahami kepentingan penyelidikan saintifik dalam memastikan produk mereka bebas daripada bahan terlarang.
Penekanan kepada pendidikan dan kesedaran adalah penting untuk memastikan bahawa industri tersebut mematuhi standard halal yang ketat dan berpotensi untuk berkembang dan bersaing dalam pasaran global. Hal ini juga akan membantu dalam memelihara integriti dan kredibiliti produk halal yang pada akhirnya memperkuat kepercayaan pengguna.
Cabaran dan Masa Depan Saintis dalam Pensijilan Halal
Walaupun peranan saintis dalam pensijilan halal semakin diiktiraf, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antaranya termasuklah keperluan untuk terus mengemas kini teknik analisis agar sejajar dengan perkembangan teknologi serta menangani isu perbezaan standard halal antara negara. Bagi menghadapi cabaran ini, kerjasama antara saintis, ulama dan pihak berkuasa pensijilan halal amat diperlukan bagi memastikan pensijilan halal kekal relevan dan diterima secara meluas.
Saintis juga akan memastikan bahawa pensijilan halal yang dilakukan tidak semata-mata bergantung pada kepercayaan, namun berlandaskan bukti saintifik yang kukuh. Kepakaran mereka dalam bidang analisis, penyelidikan, inovasi, audit dan pemiawaian memberikan pengaruh dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap produk halal, sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna dalam memilih produk yang benar-benar halal dan selamat.
Dalam dunia yang semakin global, peranan ini dijangka akan terus berkembang. Perkara ini adalah untuk memastikan bahawa setiap produk yang diiktiraf halal benar-benar memenuhi keperluan syariat Islam serta standard keselamatan yang tinggi yang penting dalam menjamin kualiti dan integriti produk halal di pasaran antarabangsa.
Dr. Nazikussabah Zaharudin,
Pensyarah Kanan,
Program Kimia Industri,
Fakulti Sains dan Teknologi Industri,
Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah.