Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsoprena atau 2-metil-1,3-butadiena ialah sebatian organik meruap yang dicirikan dengan formula molekul CH₂=C−CH=CH₂. Dalam bentuk tulen, sebatian ini merupakan cecair meruap yang tidak berwarna dan lazimnya dihasilkan oleh kebanyakan tumbuh-tumbuhan.

Pembebasan isoprena berpunca daripada dua sumber utama, iaitu sumber antropogenik dan sumber biogenik. Sumber biogenik yang dominan berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan kadar pelepasannya ke udara dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti suhu serta kehadiran cahaya.
Isoprena dan Ozon di Ladang Kelapa Sawit
Kajian menunjukkan bahawa pembebasan isoprena daripada ladang kelapa sawit adalah lima kali lebih tinggi daripada hutan hujan tropika. Peningkatan pembebasan isoprena juga berpotensi mempengaruhi kualiti udara dan pembentukan ozon troposfera.
Kehadiran isoprena dalam udara menyumbang kepada pembentukan ozon yang boleh memberikan kesan negatif terhadap pelbagai aspek kehidupan. Ozon yang terbentuk memberikan impak buruk kepada kesihatan manusia, merosakkan tumbuh-tumbuhan serta harta benda, mengurangkan produktiviti tanaman dan turut mempengaruhi kestabilan iklim.
Kajian menunjukkan bahawa kepekatan ozon di ladang kelapa sawit lazimnya melebihi nilai piawai yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO), iaitu 50 bahagian per billion (ppb) dalam tempoh pendedahan selama lapan jam. Peningkatan kawasan penanaman kelapa sawit di Asia Tenggara secara tidak langsung berkeupayaan meningkatkan paras ozon dalam udara dan memburukkan lagi kualiti udara di rantau ini.

Spirometri sebagai Kaedah Penilaian Fungsi Paru-paru
Spirometri ialah ujian fungsi pulmonari yang kerap digunakan untuk menilai prestasi paru-paru, khususnya dalam mengukur jumlah dan kelajuan udara yang boleh dihembus. Ujian ini berperanan dalam mengenal pasti corak pernafasan serta mendiagnosis pelbagai keadaan seperti asma, fibrosis pulmonari, sista fibrosis dan penyakit paru-paru obstruktif kronik atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD).
Bagi individu yang telah didiagnosis dengan penyakit paru-paru kronik, spirometri digunakan secara berkala untuk menilai tahap keterukan penyakit serta keberkesanan rawatan yang diberikan. Selain itu, ujian ini turut digunakan sebagai kaedah saringan bagi mengesan penyakit paru-paru yang berkaitan dengan faktor pekerjaan.
Spirometri merupakan prosedur ujian yang selamat dan boleh dilakukan oleh penolong pegawai perubatan atau jururawat terlatih di klinik kesihatan serta hospital. Ujian ini tidak memerlukan prosedur invasif dan hanya melibatkan pesakit menghembus udara ke dalam alat spirometer mengikut arahan yang ditetapkan. Walaupun mudah dilakukan, ketepatan keputusan ujian bergantung pada teknik yang betul serta pematuhan pesakit terhadap arahan semasa ujian dijalankan.

Terdapat dua komponen yang penting untuk mentafsirkan keputusan spirometri, iaitu kapasiti vital paksa atau forced vital capacity (FVC) dan forced expiratory volume-one second (FEV1). FVC ialah pengukuran saiz paru-paru (dalam liter) yang mewakili isi padu udara dalam paru-paru yang boleh dihembus selepas melakukan penarikan nafas semaksimum yang mungkin. FEV1 pula mengukur kuantiti udara yang boleh dihembus dalam satu saat selepas melakukan penarikan nafas yang maksimum.
Bacaan keputusan ujıan spirometri yang dipaparkan adalah nisbah FEV1 / FVC. Bacaan ini mewakili peratus saiz paru-paru (FVC) yang boleh dihembus dalam satu saat.
Nilai FVC, FEV1 dan nisbah FEV1 / FVC untuk individu tertentu kemudiannya dibandingkan dengan nilai rujukan. Nilai rujukan adalah berdasarkan kepada individu yang sihat yang mempunyai fungsi paru-paru yang normal.
Pentafsiran keputusan ujian spirometri dilakukan dengan mengambil bacaan yang telah diukur dengan membandingkan nilai rujukan seperti yang digariskan oleh Bellamy et al. (2005). Hasil ujian spirometri digunakan untuk menentukan kategori diagnosis fungsi paru-paru berdasarkan Jadual 1.
Jadual 1 Pengkelasan diagnosis fungsi paru-paru berdasarkan hasil ujian.

Kesan Ozon terhadap Kesihatan Manusia
Menurut American Lung Association (2016), pendedahan kepada ozon memberikan kesan serta-merta terhadap sistem pernafasan manusia dan menjadi faktor peningkatan risiko kematian pramatang. Antara kesan yang boleh dialami termasuklah sesak nafas, batuk, serangan asma, peningkatan risiko jangkitan pernafasan serta kecenderungan mengalami keradangan paru-paru.
United States Environmental Protection Agency (1999) pula menyatakan bahawa ozon menyebabkan beberapa kesan kesihatan jangka pendek pada paru-paru, termasuklah merengsa sistem pernafasan yang mengakibatkan gejala seperti batuk, rasa kerengsaan di tekak dan ketidakselesaan di dada. Selain itu, ozon mengurangkan fungsi paru-paru dengan menyukarkan pernafasan secara normal dan menyebabkan ketidakselesaan semasa bernafas.
Semasa seseorang melakukan senaman atau aktiviti luar, pernafasan menjadi lebih cepat dan pendek daripada biasa. Apabila paras ozon tinggi, lebih banyak pesakit asma mengalami serangan asma kerana ozon meningkatkan kepekaan terhadap alergen yang mencetuskan serangan tersebut. Keadaan pesakit asma juga akan menjadi lebih teruk akibat penurunan fungsi paru-paru dan kerengsaan pada sistem pernafasan.
Kajian yang dijalankan di sebuah ladang kelapa sawit di negara ini menunjukkan bahawa kepekatan isoprena berada dalam julat 0.2 ppb hingga 10.2 ppb. Sementara itu, kepekatan ozon mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 37.5 ppb yang masih berada pada paras yang dibenarkan berdasarkan Standard Baru Kualiti Udara Ambien Malaysia bagi tempoh pendedahan selama lapan jam, iaitu 120 ppb.
Namun begitu, pendedahan berterusan terhadap kedua-dua bahan pencemar udara ini tetap berisiko menjejaskan kesihatan pekerja ladang yang terlibat, terutamanya dalam jangka masa panjang. Oleh itu, pemantauan kualiti udara dan langkah mitigasi perlu dilaksanakan bagi melindungi kesihatan pekerja.
Status Fungsi Paru-Paru Pekerja Ladang Kelapa Sawit
Ujian fungsi paru-paru telah dijalankan terhadap pekerja ladang kelapa sawit yang melibatkan dua kumpulan, iaitu kumpulan terdedah dan kumpulan kawalan. Kumpulan terdedah terdiri daripada pekerja yang melakukan kerja berat seperti mengait serta mengangkut buah sawit, manakala kumpulan kawalan terdiri daripada pekerja pejabat di ladang yang sama. Tiga parameter penting dalam ujian fungsi paru-paru yang digunakan dalam kajian ini ialah FVC, FEV₁ dan nisbah FEV₁/FVC.
Kebanyakan pekerja ladang didapati mempunyai fungsi paru-paru yang normal. Walau bagaimanapun, pekerja yang merokok menunjukkan fungsi paru-paru jenis restriktif.
Asap rokok pula menyebabkan keradangan pada dinding saluran udara yang mengakibatkan penyempitan saluran pernafasan serta pengumpulan mukus. Keadaan ini seterusnya menyebabkan penurunan bacaan FVC, FEV₁ dan FEV₁/FVC.
Selain itu, fungsi paru-paru turut dipengaruhi oleh beberapa faktor lain seperti umur, status merokok, berat badan dan pendedahan kepada pelbagai bahan pencemar udara. Pendedahan ozon yang berulang dalam jangka masa panjang juga mampu menyebabkan fungsi paru-paru menjadi tidak normal secara kekal. Namun begitu, dalam kajian ini, tempoh bekerja tidak menunjukkan perkaitan dengan ketidaknormalan fungsi paru-paru.
Secara keseluruhannya, kepekatan ozon ambien di ladang kelapa sawit yang dikaji didapati berada pada tahap yang selamat, iaitu di bawah nilai Standard Baru Kualiti Udara Ambien Malaysia yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (2015), iaitu 120 ppb. Hasil ujian spirometri juga menunjukkan kebanyakan pekerja ladang mempunyai fungsi paru-paru yang normal.
Namun begitu, sebahagian daripada pekerja ladang telah didiagnosis mengalami masalah fungsi paru-paru jenis restriktif yang mempunyai hubungan signifikan dengan status merokok, umur dan indeks jisim tubuh. Oleh itu, pemantauan fungsi paru-paru terhadap pekerja ladang kelapa sawit perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.
Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, Profesor Dr. Mazrura Sahani dan Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur