Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGua sering dikaitkan dengan stigma sebagai tempat yang gelap, lembap dan tidak terdedah kepada pancaran cahaya matahari. Keadaan ini menyebabkan persekitaran di dalam gua berbeza daripada habitat lain yang lebih terbuka.
Dalam mata pelajaran Sains, kitaran nutrien haiwan lazimnya dikaitkan dengan tumbuhan hijau sebagai pemula rantai makanan. Namun begitu, di dalam gua, terutamanya kawasan yang tidak menerima cahaya matahari, kitaran nutrien haiwan bermula daripada guano.
Guano merujuk endapan yang kaya dengan najis haiwan seperti kelawar yang digunakan sebagai baja. Guano sering ditemukan di dalam gua, manakala populasi kelawar yang mendiami persekitaran ini mampu menghasilkan endapan tersebut pada kadar hingga 10 sentimeter setahun.
Dalam keadaan yang menggalakkan, lapisan guano boleh terkumpul dengan ketebalan mencapai beberapa meter. Proses ini bergantung pada faktor seperti saiz populasi kelawar, kadar pereputan bahan organik serta tahap kelembapan dan suhu dalam gua.
Guano kelawar menyediakan input organik utama kepada ekosistem gua yang secara asasnya kekurangan produktiviti primer akibat ketiadaan cahaya. Keadaan ini menghalang kehadiran organisma fotoautotrofik, sekali gus menjadikan guano sebagai sumber tenaga utama bagi kehidupan dalam gua.
Sebagai sumber makanan utama, guano menyokong pelbagai jenis invertebrata yang hidup dalam persekitaran gua. Endapan organik ini menyumbang kepada pembaharuan sumber nutrien dan membolehkan perkembangan biota yang pelbagai, termasuklah bakteria, kulat serta artropod seperti cengkerik gua, lipan gua, kumbang, rama-rama dan labah-labah. Mikroekosistem unik ini bergantung sepenuhnya pada guano untuk kelangsungan kehidupan.
Ekosistem di dalam Gua
Haiwan yang hidup di dalam gua diklasifikasikan berdasarkan cara haiwan ini menyesuaikan diri dengan persekitaran yang gelap, lembap dan terhadnya cahaya. Kategori tersebut merangkumi tiga kumpulan utama, iaitu:

Haiwan yang hidup di dalam gua menunjukkan pelbagai penyesuaian dari segi morfologi, tingkah laku dan fisiologi untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang gelap dan terhad sumber makanan. Dari aspek morfologi, invertebrata gua cenderung memiliki anggota badan yang lebih panjang dan lebih kurus, berwarna pucat akibat kehilangan pigmen kulit (albino) serta mengalami pengurangan atau kehilangan organ penglihatan seperti mata. Sebagai ganti, kesensitifan terhadap bau dan getaran meningkat bagi membantu haiwan ini mengesan persekitaran.
Penyesuaian fisiologi pula merangkumi kadar metabolisme yang rendah, perubahan diet serta ketahanan terhadap kelaparan. Selain itu, mekanisme keseimbangan air yang diubah, toleransi terhadap kadar karbon dioksida yang tinggi dan oksigen yang rendah serta peningkatan jangka hayat turut membantu kelangsungan hidup dalam persekitaran gua yang mencabar. Secara keseluruhan, haiwan dalam ekosistem gua menunjukkan adaptasi luar biasa yang membolehkan kumpulan haiwan ini bertahan dalam keadaan ekstrem yang jauh berbeza daripada kehidupan di luar gua.
Kelawar sebagai Penyumbang Guano dan Rantaian Makanan di dalam Gua
Di Malaysia, kelawar terdiri daripada pelbagai spesies yang memakan buah, madu dan serangga. Selain berperanan sebagai agen pendebungaan dan penyebar biji benih, kelawar juga berfungsi sebagai pengawal serangga perosak, sekali gus menyumbang kepada keseimbangan ekosistem.
Banyak spesies kelawar menjadikan gua sebagai tempat perlindungan untuk berehat pada waktu siang, menjaga anak dan membiak kerana mikroiklim di dalam gua yang stabil serta selamat. Populasi kelawar dalam sesebuah gua boleh mencecah puluhan hingga ribuan individu, bergantung pada saiz gua serta faktor seperti kelahiran, kematian dan penghijrahan.
Pada waktu malam, kelawar aktif mencari makanan sebelum kembali ke gua untuk mencernakan makanan mereka. Najis yang dihasilkan akan jatuh ke lantai gua, lalu membentuk lapisan guano yang menjadi sumber utama nutrien bagi ekosistem gua.

(Sumber: Guidebook, Batu Caves Malaysia’s Majestic Limestone Icon)
Rantaian Makanan di dalam Gua
Rantaian makanan di dalam gua bermula dengan organisma detritivor yang memakan dan menguraikan guano. Organisma ini termasuklah kulat, siput, cengkerik gua, kumbang, lalat, tungau, lipas dan rama-rama. Detritivor berperanan sebagai pemecah bahan organik dan menjadikan guano sebagai sumber nutrien utama dalam ekosistem gua.
Seterusnya, detritivor menjadi makanan bagi pemangsa seperti labah-labah, lipan, kala jengking serta beberapa spesies katak dan kodok yang memasuki gua, sama ada secara sengaja atau tidak. Kehadiran pemangsa ini membantu mengekalkan keseimbangan populasi detritivor dalam ekosistem gua.
Di puncak rantaian makanan gua ialah ular gua atau cave racer (Elaphe taeniura), satu-satunya ular yang diketahui mampu menghabiskan seluruh hayatnya dalam gua. Makanannya terdiri daripada kelawar dan burung layang-layang gua. Walaupun ular ini juga ditemukan di luar gua, haiwan ini jarang-jarang kelihatan.
Keistimewaannya terletak pada keupayaan memanjat dinding gua untuk menangkap mangsa. Ular ini berehat dengan kepala terjulur keluar sambil menunggu masa yang sesuai untuk menyerang mangsa yang terbang melintas sebelum menjerut dan menelannya.
Rantaian makanan di dalam gua serta interaksi dalam kitaran nutrien membentuk satu sistem kehidupan yang kompleks. Kehadiran spesies dan interaksi antara kumpulan ini berbeza-beza dan bergantung pada faktor seperti jumlah dan kandungan deposit guano, tahap kelembapan, jarak dari cahaya serta mikrohabitat yang tersedia dalam suasana gua tertentu.
Selain itu, tahap gangguan manusia turut mempengaruhi kestabilan ekosistem ini. Rantaian makanan dalam gua sangat rapuh yang bermaksud gangguan kecil sahaja boleh memberikan impak yang besar terhadap habitat gua, fauna dan ekologi secara keseluruhan.

Rantaian Makanan dan Kitar Nutrien yang Sihat dalam Ekosistem Gua
Gua merupakan ruang yang terhasil daripada hakisan batu yang terbentuk dalam jangka masa ratusan ribu hingga jutaan tahun. Sebagai ekosistem ekstrem, gua dihuni oleh pelbagai organisma dan mikroorganisma yang telah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang gelap dan terhad sumber nutrien. Bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan gua serta mengekalkan keseimbangan alam semula jadi, langkah pemeliharaan perlu diambil bagi menjaga kestabilan ekosistem ini.
Kualiti udara, air, tanah dan suhu dalam gua juga perlu dikekalkan agar habitat ini tidak terjejas. Gangguan manusia perlu dikurangkan dengan mengehadkan akses bagi aktiviti pelancongan dan mengelakkan pencemaran, termasuklah pembuangan sampah yang boleh merosakkan keseimbangan ekosistem.
Populasi kelawar, serangga dan spesies pengurai juga perlu dipelihara untuk memastikan rantaian makanan dalam gua terus berfungsi dengan baik. Kehilangan satu daripada komponen dalam ekosistem ini boleh mengganggu kitaran nutrien dan memberikan kesan kepada keseluruhan hidupan dalam gua.
Selain itu, penyelidikan berkala perlu dilakukan bagi menilai kesihatan ekosistem gua serta mengumpul data untuk langkah pemuliharaan yang lebih efektif. Kajian ini dapat mengenal pasti sebarang ancaman terhadap habitat gua dan membolehkan tindakan segera diambil untuk melindunginya.
Spesies terancam di dalam juga gua perlu dipelihara, sementara kawasan perlindungan harus ditetapkan bagi memastikan biodiversiti gua terus terjaga. Perlindungan ini bukan sahaja penting untuk kelangsungan hidup spesies yang bergantung pada gua tetapi juga bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem secara keseluruhan.
Secara keseluruhannya, dengan melaksanakan kesemua langkah ini, kelangsungan hidup ekosistem gua dapat dipastikan, sekali gus menyokong kelestarian sumber alam bagi generasi akan datang. Usaha pemuliharaan yang berterusan bukan sahaja membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem gua, malah memastikan bahawa setiap spesies yang bergantung kepada habitat ini dapat terus hidup dalam persekitaran yang stabil.
Selain itu, perlindungan terhadap gua turut memberikan manfaat kepada manusia, terutamanya dalam aspek penyelidikan saintifik, ekopelancongan yang lestari serta pemeliharaan biodiversiti yang menjadi sebahagian daripada warisan semula jadi negara. Dengan komitmen yang berterusan daripada pelbagai pihak, ekosistem gua dapat terus berfungsi sebagai habitat yang unik, menyokong rantaian makanan yang seimbang dan menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar secara keseluruhan.
Dr. Nur Atiqah Abd Rahman,
Pegawai Penyelidik,
Bahagian Biodiversiti Hutan,
Cawangan Zoologi,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).