Diterbitkan pada 7 Februari 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rintangan antimikrob (AMR) telah diiktiraf sebagai satu daripada cabaran global dalam kerangka One Health disebabkan oleh evolusi dan penyebaran mikrob serta gen yang tahan terhadap ubat-ubatan dalam kalangan manusia, haiwan dan alam sekitar. Beberapa sektor juga dikatakan menyumbang secara signifikan kepada peningkatan AMR.

Dalam sektor kesihatan, penggunaan antibiotik yang meluas bertujuan untuk merawat dan mencegah jangkitan bakteria. Dalam industri ternakan pula, antibiotik dijadikan sebagai penggalak pertumbuhan, agen terapeutik dan metaphylaxis. Penggunaan antibiotik ini turut mengakibatkan pencemaran alam sekitar apabila bahan ini disalirkan melalui sistem pengairan, terutamanya melalui air sisa atau melalui pelupusan dan rawatan sisa yang tidak sesuai dari sektor manusia dan pertanian.

Namun begitu, terdapat kekurangan dalam penyelidikan yang menilai interaksi AMR secara merentas sektor. Penyelidikan yang lebih meluas telah menunjukkan bahawa struktur dalam pembuatan haiwan makanan mungkin menyediakan reservoir atau mempromosikan penularan AMR.

Hal ini turut menyumbang kepada peningkatan kolonisasi manusia dengan bakteria AMR yang bersifat komensal. Untuk mengatasi isu ini, pelbagai dasar pengawasan antibiotik telah dirangka dan dilaksanakan dalam sektor perubatan dan penternakan di negara berpendapatan tinggi dan sederhana untuk memperkuat tindakan pencegahan dan pengawalan terhadap penggunaan antibiotik yang tidak terkawal.

Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengisytiharkan AMR sebagai satu daripada sepuluh ancaman utama kepada kesihatan global. Kesan daripada AMR adalah serius yang mempengaruhi kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar serta mengancam pencapaian objektif Perlindungan Kesihatan Sejagat dan Matlamat Pembangunan Mampan menjelang tahun 2030.

Secara khusus, rantau Pasifik Barat dijangkakan mengalami kerugian ekonomi sebanyak AS$148 bilion (RM661.93 bilion) disebabkan oleh beban penyakit dan kos ekonomi yang berkaitan dengan AMR. Tanpa intervensi yang efektif, AMR diperkirakan akan menyebabkan kira-kira 5.2 juta kematian di rantau ini sehingga tahun 2030. Antara tahun 2025 hingga tahun 2050, bakteria yang tahan rintangan dianggarkan akan menyebabkan sekitar 39 juta kematian atau kira-kira tiga kematian setiap minit.

Berdasarkan laporan WHO, Malaysia akan menyaksikan unjuran 87,000 kematian dari tahun 2020 hingga tahun 2030 jika tiada campur tangan untuk memerangi AMR. Angka ini ialah hasil unjuran simulasi bagi memberikan gambaran yang jelas bahawa tanpa langkah intervensi yang lebih serius dan menyeluruh.

AMR memberikan kesan yang serius kepada kesihatan manusia, kesihatan haiwan, alam sekitar serta ekonomi global.

Penyelidikan tentang sikap, emosi dan kepercayaan terhadap penggunaan antimikrob yang selama ini lebih terfokus di negara berpendapatan tinggi masih belum banyak diteroka di negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia. Kajian mendalam dalam bidang mikrobiologi, epidemiologi dan sains sosial dalam komuniti dan sektor pertanian amat penting untuk mengisi jurang pengetahuan yang luas tentang AMR.

 

Pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai sektor dan disiplin diperlukan untuk mengatasi cabaran AMR.

Memanipulasi aktiviti dan perilaku manusia berkaitan dengan penggunaan antibiotik, yang merangkumi aspek pengetahuan, tingkah laku sosial, sikap, norma sosial, pengaruh sosioekonomi, tekanan rakan sebaya, pengalaman dan persekitaran biofizikal adalah penting untuk memahami dan mengembangkan dasar yang berkesan. Dasar ini perlu mencakupi semua sektor dalam konsortium One Health di Malaysia dengan tujuan untuk membendung perkembangan dan penularan AMR.

Untuk mencapai tujuan ini, peningkatan kesedaran dan pendidikan, pengukuhan aktiviti pengawasan dan penyelidikan, peningkatan pencegahan dan kawalan jangkitan serta galakan penggunaan antimikrob secara bertanggungjawab harus ditingkatkan. Kerjasama lintas sektor di bawah pendekatan One Health melalui pelaksanaan inisiatif yang lebih komprehensif adalah kritikal untuk memerangi AMR. Langkah ini tidak hanya penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat tetapi juga untuk menjaga kestabilan ekonomi negara.

Dr. Vanitha Mariappan,
Pensyarah Kanan,
Program Sains Bioperubatan,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi