Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam meniti arus kemodenan, kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) merupakan bidang teknologi yang kian menjadi topik perbincangan hangat dan memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan manusia sehari-hari. AI didefinisikan sebagai sistem atau robot yang mampu menjalankan tugasan harian seperti pengenalan suara, pengesanan wajah, penterjemahan bahasa dan analisis perniagaan. Teknologi ini juga dikatakan telah dicipta sebagai ujian untuk mengukur keupayaan intelek manusia dalam melaksanakan amanah yang harus disempurnakan dengan jayanya.
Sejak kebelakangan ini, perkembangan AI telah meningkat dengan pesat, terutamanya disebabkan oleh kemajuan teknologi pengkomputeran dan digital. Fenomena ini telah membawa perubahan yang besar dalam cara manusia bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian.
Peningkatan ini bukan sahaja memudahkan urusan harian manusia, malah meningkatkan kualiti hidup manusia secara signifikan. AI kini mampu meniru keupayaan otak manusia dan memperbaik mutu kerja yang dilakukan dengan kecekapan yang lebih tinggi dan kesilapan yang minimum, lalu menjadikannya sebuah inovasi yang memberikan impak yang besar kepada masyarakat.
AI merangkumi pelbagai bidang, termasuklah sektor pendidikan yang kini dahagakan inovasi untuk menarik minat pelajar agar tetap konsisten dalam pembelajaran mereka. Sektor pendidikan perlu sentiasa dinamik dan terus berkembang mengikut peredaran masa.
Melalui penerapan teknologi AI, pelbagai aspek dalam pendidikan dapat ditingkatkan seperti kaedah pengajaran, proses penilaian dan penyediaan bahan pembelajaran yang lebih efektif. Sektor ini juga perlu bersiap sedia dalam menghadapi kekangan dan cabaran yang dibawa oleh arus perdana semasa.
Untuk menyesuaikan dengan perubahan semasa, metodologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) turut mengalami transformasi dengan beralih daripada pendekatan konvensional kepada berteraskan teknologi moden. Pengenalan AI dalam bidang pendidikan memungkinkan tugasan dilaksanakan dengan lebih tepat sasaran, mempercepatkan perkongsian pengetahuan secara inovatif. Hal ini juga berpotensi untuk memupuk minat dalam kalangan generasi masa ini dan masa hadapan agar lebih terbuka terhadap penerimaan fenomena baharu.
Penggunaan AI dalam pendidikan juga dikenal pasti dapat meningkatkan pelibatan dan motivasi pelajar, menyediakan pembelajaran yang kos efektif dan interaktif serta membawa kepada penambahbaikan jangka panjang dalam sesi PdP. Usaha ini dilihat berupaya untuk membentuk generasi yang holistik dan berkemahiran yang akan menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat madani.
AI juga berpotensi untuk mengubah sepenuhnya kaedah PdP dengan menghasilkan kualiti pendidikan yang lebih kemas, efektif dan mudah diakses. Meskipun demikian, teknologi ini masih tidak dapat menandingi kesarjanaan ilmu yang dimiliki oleh tenaga pengajar yang memiliki sentuhan dan empati tersendiri.
Masa hadapan PdP juga banyak dipengaruhi oleh kemajuan dalam AI yang dijangka akan membuka pelbagai peluang dan cabaran. Sehingga hari ini, kemajuan dalam teknologi AI telah membuahkan hasil yang positif dalam pelbagai aspek, termasuklah dalam bidang pendidikan.
Memang benar, AI telah menjadi komponen dalam evolusi teknologi pendidikan sejak berpuluh tahun lalu, namun baru-baru ini teknologi tersebut mula mendapat penerimaan umum. Kemajuan pesat dalam teknologi pengkomputeran dan digital sepanjang 10 tahun kebelakangan ini telah banyak memacu keupayaan AI.
Antara perisian AI yang sudah lama wujud termasuklah enjin carian Google yang memudahkan akses maklumat, Google Maps yang merancang perjalanan dan media sosial yang menghubungkan kenalan. Kesemuanya dilihat memainkan peranan penting yang sering kali tidak disedari sebagai aplikasi AI.
ChatGPT yang merupakan salah satu aplikasi AI mampu menjana pelbagai aktiviti rancangan PdP yang bersesuaian dengan kemampuan pelajar. Hasil multimedia seperti video pembentangan boleh dihasilkan melalui platform Canva, Gamma, Synthesis dan Animoto.
Untuk meningkatkan kualiti penulisan, Grammarly dan Murf yang menukarkan teks kepada audio serta Quillbot yang menukarkan frasa ke dalam ayat alternatif tanpa mengubah maksud asal sangat membantu. Selain itu, penilaian atau penggredan pelajar juga dapat dilakukan dengan bantuan teknologi AI seperti Gradescope. Ringkasnya, terdapat banyak aplikasi yang tersedia dalam pasaran yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan PdP.
Baru-baru ini, melalui usaha bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sasaran untuk membangunkan sebanyak 900 pemula niaga (startup) dan 13,000 bakat baharu dalam bidang AI telah ditetapkan menjelang tahun 2026 melalui program perintis AI Sandbox 2024. Penubuhan Fakulti AI pertama di Malaysia yang telah dibangunkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuktikan bahawa Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan dunia teknologi alaf moden. Pada masa yang sama, pada peringkat KPT, beberapa tindakan sedang dilaksanakan untuk menunjukkan kesediaan Malaysia dalam menghadapi cabaran AI dengan berkesan.
Namun begitu, seperti mana-mana teknologi, penggunaan AI juga perlu dilakukan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa teknologi ini memberikan manfaat yang maksimum kepada masyarakat. Ketergantungan berlebihan terhadap teknologi boleh mengakibatkan kekurangan kreativiti, kemerosotan kemahiran sosial dan kesukaran dalam beradaptasi dengan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.
Selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat madani, AI harus dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasakan manusia, bukan untuk menggantikannya. Hasrat utama Malaysia MADANI adalah untuk membina masyarakat yang maju dari segi intelektual, fizikal dan spiritual. Oleh itu, penggunaan AI perlu disesuaikan untuk menyokong pembangunan modal insan yang seimbang, berdaya tahan dan mempunyai kesedaran sosial yang tinggi. Masyarakat madani tidak hanya berfokuskan kemajuan teknologi semata-mata, malah pada pembangunan holistik manusia yang meliputi aspek teknologi, sosial dan moral.
Tuntasnya, AI ialah alat yang berpotensi besar dalam membentuk masa hadapan yang lebih cerah, terutamanya dalam membina masyarakat madani di Malaysia. Melalui penerapan yang bertanggungjawab dan bijaksana, AI dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup, pelibatan sosial dan pembangunan ekonomi negara. Namun begitu, teknologi ini juga memerlukan keseimbangan dengan nilai kemanusiaan agar kemajuan yang dicapai tidak mengorbankan aspek yang penting seperti kreativiti, empati dan tanggungjawab sosial.
Masyarakat madani yang diimpikan oleh kerajaan adalah sebuah masyarakat yang berteknologi tinggi tetapi pada masa yang sama masih berpegang pada nilai integriti, keadilan dan kesaksamaan. Dalam usaha mencapai impian ini, AI harus dilihat sebagai alat pemudah cara yang membantu manusia mencapai potensi tertinggi mereka, selaras dengan visi untuk membina Malaysia sebagai negara yang progresif, berdaya tahan dan seimbang dalam segala aspek pembangunan. Pada masa yang sama, penerapan AI yang beretika dan bertanggungjawab akan memastikan bahawa teknologi ini berfungsi sebagai pendorong kepada kemajuan sosial dan ekonomi tanpa mengesampingkan nilai kemanusiaan yang asas.
Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan,
Universiti Malaysia Kelantan.
Profesor Madya Ts. Dr. Zuraimi Abdul Aziz,
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan,
Universiti Malaysia Kelantan