28 November 2024, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sering kali kita menemukan perkataan “metanol” dalam berita harian, namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan metanol? Metanol dikenali sebagai alkohol kayu yang merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pelbagai produk harian.

Metanol wujud dalam bentuk cecair, tidak berwarna dan mudah untuk terbakar. Metanol juga merupakan bahan yang sangat berbahaya sekiranya tidak digunakan dengan betul.

Metanol (CH₃OH) ialah alkohol yang lebih berbahaya berbanding dengan etanol. Metanol digunakan dalam pelbagai produk harian seperti produk pembersihan, bahan api untuk pembakaran dan sebagai pelarut dalam beberapa produk kimia. Walaupun metanol mempunyai banyak kegunaan, metanol tidak boleh diambil atau bersentuhan dengan kulit dalam kuantiti yang banyak kerana sifatnya yang toksik.

Kegunaan Metanol dalam Kehidupan Seharian

Metanol boleh ditemukan dalam beberapa produk yang digunakan dalam kehidupan seharian. Antaranya termasuklah:

Agen pembersihan

Metanol digunakan dalam banyak produk pembersih, terutamanya pembersih kaca dan tingkap. Produk ini sering digunakan di rumah atau di tempat kerja untuk membersihkan permukaan dan kotoran. Hal ini dikatakan demikian kerana metanol membantu melarutkan kotoran dan minyak dalam tempoh masa yang singkat kerana sifatnya yang larut dalam air.

Bahan bakar

Metanol juga digunakan secara meluas sebagai bahan api alternatif. Metanol terkenal dalam industri automotif dan peralatan pembakaran kerana sifatnya yang mudah terbakar dan kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding dengan bahan api konvensional. Dalam kehidupan seharian, metanol boleh ditemukan dalam bahan api untuk pemanas alkohol dan bahan api untuk aktiviti perkhemahan.

Pelarut

Metanol juga digunakan sebagai pelarut dalam pelbagai jenis cat dan pengilat. Sebagai contoh, metanol digunakan dalam cat untuk permukaan kayu, logam dan plastik serta dalam pengilat kuku. Dalam industri pembuatan, metanol digunakan untuk melarutkan bahan pewarna yang digunakan dalam cat dan produk kosmetik.

Bahaya Metanol terhadap Kesihatan

Metanol ialah bahan kimia yang sangat berbahaya apabila terdedah kepada badan manusia. Apabila terdedah kepada metanol, sama ada melalui kulit, penyedutan wap atau minum dengan tidak sengaja, hal tersebut boleh memberikan kesan buruk. Antara kesannya termasuklah:

Gangguan sistem saraf

Metanol memberikan kesan yang buruk kepada sistem saraf pusat. Pendedahan jangka pendek atau pengambilan metanol dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan simptom seperti pening, mual dan sakit kepala.

Pendedahan dalam jumlah yang lebih besar boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk, termasuklah kejang dan koma. Hal ini berlaku apabila metanol menjejaskan saluran saraf dan aktiviti otak.

Kerosakan mata

Satu daripada kesan toksik metanol yang paling berbahaya ialah kesannya terhadap mata. Pendedahan terhadap metanol dalam jumlah yang tinggi boleh menyebabkan kerosakan retina.

Metanol menghasilkan formaldehid yang apabila diproses dalam badan akan merosakkan sel retina yang sensitif terhadap cahaya di mata. Kerosakan retina boleh menyebabkan kebutaan yang bersifat sementara atau kekal bergantung pada tahap pendedahan metanol.

Tanda awal keracunan metanol adalah seperti penglihatan kabur, mata berair dan sensitif terhadap cahaya. Sekiranya tidak dirawat dengan segera, kerosakan ini boleh berlanjutan sehingga menyebabkan kehilangan penglihatan sepenuhnya.

Kerosakan organ dalaman

Metanol boleh menyebabkan kerosakan pada organ penting seperti hati dan buah pinggang. Sebahagian besar metanol yang diambil akan diproses pada organ hati.

Metanol berlebihan yang terkumpul dalam badan boleh membebankan fungsi hati dan menyebabkan kegagalan hati. Buah pinggang yang terjejas oleh kesan toksik metanol juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang yang boleh membawa kepada keperluan untuk dialisis.

Kematian

Sekiranya keracunan metanol tidak dirawat dengan segera, keadaan itu boleh menyebabkan kematian. Metanol yang tidak dirawat boleh menyebabkan keadaan seperti pengumpulan asid dalam darah yang akan mengganggu keseimbangan pH tubuh dan berpotensi menyebabkan kegagalan pelbagai organ.

Selain itu, kematian boleh berlaku akibat kegagalan sistem pernafasan atau kegagalan jantung. Terdapat satu kes keracunan metanol yang mengakibatkan 33 mangsa terkorban selepas dipercayai meminum minuman beralkohol yang mengandungi kadar metanol yang sangat tinggi.

Langkah-Langkah Mengelakkan Pendedahan Metanol

Terdapat beberapa langkah yang penting untuk mengelakkan pendedahan metanol dalam kehidupan seharian.

Memeriksa produk dengan teliti

Sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk, pastikan untuk memeriksa label atau senarai bahan untuk memastikan produk tersebut tidak mengandungi metanol. Sekiranya produk tersebut mengandungi metanol, disarankan untuk memilih alternatif yang lebih selamat atau mencari produk yang menggunakan bahan lain.

Penyimpanan yang selamat

Simpan bahan kimia di tempat yang sesuai. Semua bahan kimia yang mengandungi metanol perlu disimpan dengan teliti dan di kawasan yang selamat. Pastikan produk tersebut disimpan jauh daripada capaian kanak-kanak. Gunakan bekas yang tertutup rapat dan pastikan disimpan di ruang yang mempunyai suhu yang stabil, jauh dari api atau sumber haba.

Memakai alat pelindung

Apabila menggunakan produk yang mengandungi metanol, pastikan untuk memakai sarung tangan pelindung dan pelitup muka. Hal ini adalah untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dengan kulit dan mengelakkan daripada terhidu metanol. Sebagai langkah tambahan, cermin pelindung mata boleh digunakan ketika menggunakan produk pembersih atau bahan kimia lain yang berpotensi mengandungi metanol untuk mengurangkan risiko bahan terpercik ke dalam mata.

Secara keseluruhannya, tidak dinafikan bahawa metanol ialah bahan kimia yang berguna dalam kehidupan seharian. Namun begitu, penggunaannya boleh menjadi bahaya sekiranya tidak dikendalikan dengan cara yang betul.

Oleh sebab itu, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam memilih dan menggunakan produk yang mengandungi metanol serta mengambil langkah keselamatan yang sesuai. Kesedaran tentang bahaya metanol penting untuk melindungi diri daripada kesan negatif yang tidak diingini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.