Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerkataan “impak” sering digunakan dalam bidang penyelidikan untuk mencirikan kepentingan dan keberkesanan sesuatu kajian. Realitinya, impak tidak berdiri dengan sendiri, namun terdiri daripada beberapa ciri lain yang membentuk impak bagi sesuatu penyelidikan. Ciri tersebut ialah inovasi, metrik, dasar, analisis, kerjasama dan terjemahan.
Fungsi utama penyelidikan adalah untuk memperkenalkan konsep baharu. Namun begitu, penyelidikan inovatif dikatakan mampu menawarkan “pembetulan” untuk isu sedia ada. Inovasi juga akan memastikan sesuatu penyelidikan adalah terkini, berdaya saing serta penting untuk kemajuan dalam pelbagai sektor, termasuklah teknologi dan perubatan.
Metrik pula memberikan jaminan bahawa keputusan kajian boleh dinilai secara saksama dan membantu dalam mengukur keberkesanan penyelidikan. Untuk menentukan nilai sesuatu penyelidikan dan pada masa yang sama mampu memenangi sokongan dari aspek politik dan kewangan yang amat diperlukan dalam penyelidikan, metrik yang baik adalah penting bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, istilah dasar menerangkan cara hasil penyelidikan boleh memberikan kesan dan membentuk dasar awam. Dalam hal ini, masyarakat dilihat sebagai komponen utama yang perlu memperoleh banyak manfaat dalam jangka panjang daripada dasar yang disokong oleh data saintifik.
Tafsiran yang tepat bagi data yang dikumpulkan dalam sesuatu penyelidikan perlu dipastikan dengan pemeriksaan yang menyeluruh. Penyelidikan berkualiti bermula dengan analisis yang baik yang juga boleh membantu dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengannya.
Untuk penyelidikan yang menyeluruh dan memberikan impak yang besar, kerjasama antara ahli akademik, organisasi dengan pihak berkepentingan lain ialah perkara yang perlu diberikan keutamaan. Kerjasama yang baik akan memudahkan pertukaran maklumat dan sumber yang secara tidak langsung meningkatkan kaliber dan jangkauan penyelidikan.
Akhir sekali, ilmu yang diperoleh juga seharusnya dapat diguna pakai untuk kebaikan masyarakat dengan menjadikan penemuan penyelidikan sebagai sesuatu yang berguna. Kemajuan perubatan baharu, inovasi teknologi atau strategi dasar yang dipertingkatkan merupakan antara beberapa contoh terjemahan daripada penyelidikan. Penyelidikan juga boleh memberikan impak yang tinggi dan mengubah masyarakat dengan ketara jika tumpuan diberikan kepada faktor ini.
Penyelidikan kini berhadapan dengan pelbagai halangan. Pembiayaan yang tidak mencukupi untuk menjalankan kajian komprehensif sentiasa menjadi kebimbangan bagi para penyelidik. Skop dan takat penyelidikan yang terhad juga menjadi bebanan oleh kebanyakan penyelidik. Kekurangan pembiayaan bukan sahaja menjejaskan kualiti penyelidikan, malah menghalang keupayaan penyelidik untuk merekrut dan mengekalkan keanggotaan yang cekap.
Penerimaan masyarakat terhadap penemuan penyelidikan merupakan satu lagi kebimbangan dalam dunia penyelidikan. Komunikasi yang tidak berkesan antara penyelidik dengan pihak berkepentingan boleh mengakibatkan pengabaian hasil penyelidikan yang signifikan dan berpotensi transformatif. Penemuan penyelidikan mungkin disalah tafsir atau dianggap tidak relevan oleh orang ramai akibat komunikasi yang tidak mencukupi.
Kebimbangan etika juga terdapat dalam penyelidikan. Penyelidikan berimpak tinggi mestilah mematuhi piawaian etika yang ketat, termasuklah pencegahan konflik antara pihak yang berkepentingan, pertimbangan kebajikan bagi subjek penyelidikan dan pengekalan ketelusan. Kebimbangan ini penting untuk disedari bagi menjamin bahawa penyelidikan bukan sahaja berkesan tetapi juga beretika dan bertanggungjawab.
Cabaran untuk mendapatkan pembiayaan yang mencukupi merupakan satu daripada isu utama dalam bidang penyelidikan. Eksperimen, pengumpulan data dan penglibatan pakar dalam penyelidikan memerlukan pembiayaan. Penyelidik mungkin terpaksa menyekat penyelidikan mereka atau bergantung pada sumber suboptimum sekiranya tiada sokongan kewangan yang mencukupi yang boleh memberikan kesan negatif terhadap kualiti dan keberkesanan dalam sesuatu penemuan.
Selain itu, penyelidik mungkin terhalang dalam mengejar konsep novel dan inovatif kerana kekurangan dana. Banyak idea yang berpotensi berjaya mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa pembiayaan yang mencukupi kerana penyelidikan inovatif sering memerlukan pelaburan yang besar. Hal ini juga boleh menyebabkan kehilangan peluang untuk penyelidik membuat penemuan yang boleh memberikan kesan yang besar kepada masyarakat.
Selain itu, kualiti dan kebolehpercayaan penemuan penyelidikan boleh dipengaruhi oleh tekanan terhadap penyelidik untuk menghasilkan keputusan yang cepat dan segera, yang seterusnya mengurangkan masa yang diperuntukkan untuk analisis dan penilaian yang komprehensif akibat kekurangan dana. Oleh itu, adalah penting untuk menjamin bahawa penyelidik mempunyai akses kepada sumber kewangan yang mencukupi untuk menjalankan penyelidikan mereka dengan secukupnya dengan cara yang bertanggungjawab dan berkesan.
Di samping kebimbangan pembiayaan, penyelidik sering menghadapi ketiadaan kerjasama dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan. Untuk menjamin penyelidikan berimpak tinggi, universiti, industri, kerajaan dan orang ramai perlu bekerjasama. Namun begitu, kerjasama yang berkesan sering terganggu akibat beberapa halangan. Halangan ini merangkumi perbezaan dalam budaya organisasi, kepentingan yang bercanggah atau komunikasi yang tidak mencukupi.
Penyelidikan yang tidak sesuai dengan keperluan sebenar masyarakat atau industri berpotensi terjadi akibat kurangnya kerjasama. Masalah ini sekali gus mampu mengurangkan keberkesanan dan penerimaan penemuan penyelidikan.
Selain itu, peluang untuk perkongsian pengetahuan dan sumber akan menjadi terhad sekiranya tidak berlakunya kerjasama yang berkesan. Masalah ini boleh mengehadkan skop dan skala penyelidikan yang seterusnya memberikan kesan kepada potensi impak penyelidikan yang boleh direalisasikan.
Oleh sebab itu, hubungan yang boleh dipercayai adalah penting untuk diwujudkan dengan pelbagai pihak berkepentingan. Komunikasi yang baik, peningkatan kesedaran tentang kepentingan kerjasama dan penubuhan mekanisme untuk memudahkan dan menyokong kerjasama boleh mencapai matlamat ini. Penyelidikan juga boleh mencapai potensi maksimum dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat melalui kerjasama yang berkesan.
Penekanan terhadap kepentingan kesan penyelidikan dalam meningkatkan kualiti hidup merupakan matlamat utama dalam artikel ini. Penyelidikan berimpak tinggi bukan sahaja perlu menjana wawasan baharu, malah perlu menawarkan penyelesaian praktikal untuk isu sosial yang mendesak.
Sebagai contohnya, penyelidikan seperti pengenalan teknologi baharu atau kaedah rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa boleh memberikan kesan yang bermakna kepada masyarakat. Dalam bidang perubatan misalnya, penyelidikan yang mempunyai pembiayaan yang terhad tetapi tertumpu boleh menghasilkan pembangunan farmaseutikal baharu atau kaedah rawatan yang lebih kos efektif dan lebih murah. Penyelidikan seumpama ini bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti hidup, malah boleh menyelamatkan nyawa golongan yang kurang bernasib baik dengan memberikan mereka akses yang lebih baik kepada rawatan.
Pembangunan teknologi hijau yang boleh mengurangkan pencemaran dan memelihara alam sekitar juga boleh dipermudahkan melalui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang teknologi. Pemberian yang sederhana tetapi tertumpu ini menjadi gambaran bahawa setiap ringgit yang diperuntukkan untuk penyelidikan mempunyai kapasiti untuk menjana penambahbaikan yang ketara apabila dilaksanakan dengan berkesan dan berhemat.
Untuk memaksimumkan kesan dana penyelidikan, hasil penyelidikan adalah penting untuk digunakan dengan cara yang paling berkesan dan boleh dilaksanakan. Penyelidikan berimpak tinggi membolehkan banyak sumbangan penting boleh dijangkakan serta menawarkan penyelesaian yang menjanjikan kepada isu yang mencabar pada masa ini.
Teknologi, ubat atau strategi baharu untuk menyelesaikan cabaran masyarakat mungkin terhasil daripada penemuan penyelidikan berimpak tinggi. Penemuan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat, malah meningkatkan reputasi dan prestij institusi serta penyelidik yang terlibat.
Penyelidikan berimpak tinggi juga boleh menyumbang kepada pembangunan dasar awam yang lebih berkesan yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan. Dasar kerajaan yang dibuktikan dengan bukti saintifik adalah lebih berkesan dan boleh menawarkan penyelesaian yang lebih mampan dalam tempoh jangka panjang kepada cabaran yang dihadapi oleh masyarakat.
Akhir sekali, kesan penyelidikan yang berkesan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu kritikal dan menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif. Pengetahuan baharu bukanlah satu-satunya faedah yang diperoleh daripada penyelidikan berimpak tinggi, malah hasil daripadanya mampu mendorong masyarakat untuk mengambil tindakan yang lebih proaktif dan bertanggungjawab dalam menangani apa-apa isu yang kritikal.
Secara ringkasnya, penyelidikan berimpak tinggi adalah penting untuk pelaksanaan transformasi masyarakat. Penyelidikan boleh mencapai keberkesanan yang maksimum apabila tumpuan diberikan kepada komponen impak itu sendiri yang terdiri daripada inovatif, metrik, dasar, analisis, kerjasama dan terjemahan.
Usaha dan sokongan berterusan daripada pelbagai sumber juga boleh menjamin bahawa penyelidikan terus memberikan sumbangan yang besar, walaupun terdapat halangan seperti kekurangan dana. Penyelidikan berimpak tinggi juga mampu menghasilkan penemuan yang bermakna melalui penggunaan geran secara berhemat. Selain itu, penyelidikan berimpak tinggi boleh memupuk kemajuan, memotivasikan generasi akan datang dan mewujudkan masa hadapan yang lebih mampan untuk semua pihak.
Dr. Siti Hasanah Osman,
Pensyarah Kanan/Felow Penyelidik,
Institut Sel Fuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia.