16 November 2024, 21:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anda sudah bosan dengan kesulitan untuk mengingati kata laluan yang berbeza-beza untuk setiap aplikasi yang ada dalam telefon bimbit? Jemu membawa pelbagai dokumen pengenalan diri pada satu-satu masa? Anda juga mungkin sudah jelak menunggu berjam-jam untuk berurusan dengan pihak kerajaan?

Kini, semua kerumitan ini bakal menjadi kenangan lampau dengan pelancaran MyDigital ID oleh kerajaan Malaysia. Sistem baharu ini bukan sekadar platform digital biasa, malah merupakan kunci ke arah kehidupan digital yang lebih mudah dan lancar.

MyDigital ID ialah wadah pengesahan pengenalan diri secara digital yang diwujudkan untuk keselamatan dan kecekapan urusan dalam talian.

Pengenalan atau identification (ID) digital bukanlah perkara baharu. Majoriti daripada kita sebenarnya sudah pun mempunyai beberapa ID digital yang sering digunakan. ID digital ini dibekalkan oleh syarikat teknologi gergasi dunia seperti Google, Facebook dan lain-lain. Kini, kita berada pada zaman yang membolehkan kita mencapai perkhidmatan komersial dalam talian tanpa perlu membuat pendaftaran, yakni cukup sekadar log masuk dengan menggunakan ID digital yang dipilih.

MyDigital ID ia merupakan sistem identiti digital nasional yang rasmi dan dikawal selia oleh kerajaan. Tidak seperti ID digital komersial yang sering digunakan untuk log masuk dalam pelbagai aplikasi tetapi kurang terjamin untuk urusan rasmi, MyDigital ID dicipta khusus untuk memenuhi piawaian keselamatan tinggi serta menawarkan kawalan penuh kepada pengguna ke atas data peribadi dan disokong oleh undang-undang tempatan untuk keselamatan dan privasi. MyDigital ID juga tidak menetapkan perkongsian data pengguna dengan pihak penyedia ID digital komersial.

MyDigital ID diperkenalkan sebagai penyelesaian menyeluruh untuk memenuhi keperluan sistem pengenalan diri yang bersepadu, selamat dan mesra pengguna. Sebagai sebahagian daripada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, sistem ini menawarkan kemudahan capaian kepada pelbagai perkhidmatan dalam talian sambil mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi untuk rakyat Malaysia.

Bayangkan betapa mudahnya apabila anda boleh memohon pinjaman bank, memperbaharui lesen memandu atau melanggan pelan telefon baharu, semuanya dalam masa beberapa minit sahaja melalui telefon pintar. Mungkin kedengaran seperti fantasi tetapi inilah realiti yang dibawakan oleh MyDigital ID. Sistem ini bukan sekadar platform pengenalan digital biasa, malah merupakan gabungan teknologi terkini yang bakal mengubah cara rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan digital.

Mungkin banyak yang tertanya-tanya, bagaimanakah sebenarnya MyDigital ID berfungsi? Secara ringkasnya, MyDigital ID ialah sijil identiti digital yang telah diperakui keabsahannya pada peringkat pendaftaran.

Sebagaimana kita perlu mengesahkan identiti di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika memohon MyKad, pengguna juga perlu mengesahkan identiti semasa mendaftar MyDigital ID. Pendaftaran MyDigital ID di kiosk, contohnya, memerlukan individu untuk memasukkan MyKad ke dalam pembaca kad pintar dan mengimbas cap ibu jari bagi mengesahkan padanan dengan maklumat cap ibu jari yang telah sedia disimpan dalam MyKad.

Setelah itu, maklumat yang dibaca daripada MyKad akan dihantar kepada sistem JPN untuk pengesahan peringkat seterusnya. Setelah mendapat pengesahan daripada JPN, sistem MyDigital ID akan menjana satu sijil digital dalam telefon pintar yang dimiliki oleh pengguna. Sijil digital ini membuktikan bahawa identiti digital pengguna telah pun diperakui sebagai tulen dan tidak perlu lagi melalui langkah keselamatan ketika mencapai mana-mana sistem yang telah berintegrasi dengan MyDigital ID.

Sijil digital dalam telefon pintar akan dilindungi dengan kata laluan yang ditetapkan oleh pemilik sijil digital tersebut. Kata laluan itu tidak akan disimpan dalam pangkalan data MyDigital ID. Tindakan ini penting bagi menjadikan data tersebut selamat daripada dicuri oleh penggodam.

Keistimewaan MyDigital ID terletak pada teknologi yang menggabungkan tiga elemen utama, iaitu kriptografi tahan kuantum, pengesahan biometrik dan Infrastruktur Kunci Awam (PKI). Walaupun istilah ini kedengaran rumit, fungsinya mudah difahami. Elemen ini bertindak sebagai pengawal keselamatan digital peribadi yang sentiasa berjaga-jaga untuk melindungi identiti pengguna dalam dunia maya pada setiap masa.

Tunjang keselamatan MyDigital ID terletak pada sistem PKI yang membekalkan setiap pengguna dengan sepasang kunci digital yang unik untuk mengesahkan identiti mereka. Untuk memahami konsep ini dengan mudah, bayangkan sebuah peti besi istimewa yang mempunyai dua kunci.

Kunci pertama yang dipanggil kunci awam hanya boleh mengunci peti tersebut. Kunci kedua pula ialah kunci peribadi yang hanya boleh membuka peti besi tersebut.

Pelayan MyDigital ID menyimpan kunci awam, manakala telefon pintar anda menyimpan kunci peribadi. Setiap transaksi dari pelayan akan “dikunci” dengan kunci awam dan hanya pengguna yang memiliki kunci peribadi boleh “membukanya”. Sistem ini mengurangkan risiko pemalsuan identiti dengan berkesan.

Pengguna tidak perlu risau jika kunci awam dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana kunci awam yang dicuri tetap tidak boleh membuka peti besi individu. Ingat, hanya kunci peribadi dalam telefon pengguna sahaja mampu membuka peti tersebut.

MyDigital ID juga bakal dilengkapi dengan teknologi kriptografi tahan kuantum untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Teknologi ini memberikan perlindungan tambahan terhadap ancaman komputer kuantum yang berkeupayaan menembusi sistem keselamatan biasa. Ciri ini membolehkan keselamatan identiti digital rakyat Malaysia kekal terjamin walaupun teknologi terus berkembang.

Sistem ini turut diperkukuh dengan pengesahan biometrik melalui cap jari dan MyKad. Berbeza dengan sistem lain yang menyimpan data biometrik dalam pangkalan data pusat, MyDigital ID hanya menggunakan maklumat cap jari untuk pengesahan sementara dengan pangkalan data JPN.

Selepas pengesahan, maklumat ini akan dipadamkan serta-merta. Hal ini bermakna walaupun berlaku pencerobohan ke atas pangkalan data MyDigital ID, tiada maklumat peribadi yang boleh dicuri kerana yang tersimpan hanyalah sijil awam identiti digital pengguna.

Keselamatan dan privasi pengguna menjadi keutamaan dalam reka bentuk MyDigital ID. Sistem ini menggunakan pendekatan tanpa akses berpusat apabila pengguna menguasai sepenuhnya data mereka sendiri.

Ibaratkan pangkalan data MyDigital ID sebagai sebuah peti besi kosong yang tiada apa-apa yang boleh dicuri kerana kata laluan dan sijil identiti digital hanya disimpan dalam telefon peribadi pengguna. Pendekatan ini memberikan kuasa kepada pengguna untuk mengawal akses kepada maklumat peribadi mereka, sekali gus menjadikan MyDigital ID sebuah sistem yang benar-benar menghormati privasi penggunanya.

Setiap pengguna MyDigital ID akan menerima sijil digital khas yang disahkan oleh pihak berkuasa pensijilan. Sijil ini memudahkan proses pengesahan identiti anda dengan pelbagai penyedia perkhidmatan.

Lupakan kesukaran untuk mengingati pelbagai kata laluan dan nama pengguna, MyDigital ID membolehkan pengguna mencapai semua perkhidmatan, dari urusan kerajaan hinggalah platform e-dagang dengan satu cara log masuk yang selamat. Hal ini bukanlah sekadar tentang kemudahan, malah menandakan anjakan cara hidup pengguna dalam era digital.

Bayangkan, dengan menggunakan MyDigital ID, pembayaran cukai boleh diselesaikan dengan mudah, dokumen undang-undang boleh ditandatangani secara digital dalam beberapa saat, malah pembukaan akaun bank baharu tidak lagi memerlukan dokumen fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana identiti digital pengguna yang terdapat dalam MyDigital ID sudah mencukupi sebagai pengesahan.

Sistem ini turut memberikan manfaat kepada pihak perniagaan, institusi dan organisasi yang memerlukan pengesahan identiti pelanggan. MyDigital ID juga boleh disepadukan dengan aplikasi Internet benda (IoT) untuk mengawal akses fizikal seperti pengesahan untuk dron penghantaran atau peti simpanan pintar. Kepelbagaian fungsi ini menjadikannya sistem yang amat berkesan untuk pelbagai kegunaan.

MyDigital ID direka untuk semua lapisan masyarakat. Bagi memastikan tiada yang tercicir, kios pendaftaran MyDigital ID ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk memudahkan pendaftaran secara bersemuka, terutamanya bagi warga emas dan penduduk luar bandar.

Penggunaan MyDigital ID dimudahkan lagi dengan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun bagi telefon Android dan iOS. Pengguna boleh menguruskan identiti digital dan menjalankan pelbagai urusan dalam talian dengan mudah dan selamat melalui satu aplikasi sahaja. Sokongan untuk pelbagai peranti ini menjadikan MyDigital ID benar-benar mesra pengguna tanpa mengira tahap kemahiran teknologi atau latar belakang pengguna.

MyDigital ID bukan sahaja memberikan manfaat pada peringkat tempatan, malah meletakkan Malaysia sebagai pelopor pengurusan identiti digital di rantau Asia Tenggara. Melalui usaha sama dengan World ID, sistem ini bakal mendapat pengiktirafan antarabangsa dan membolehkan rakyat Malaysia menggunakan identiti digital untuk mencapai perkhidmatan di seluruh dunia.

Kehadiran MyDigital ID membawa pelbagai kebaikan kepada semua pihak. Bagi sektor perniagaan, platform ini  mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan proses pendaftaran pelanggan. Pihak kerajaan pula dapat memberikan perkhidmatan dengan lebih cekap sambil mengurangkan kes penipuan. Bagi rakyat biasa pula, MyDigital ID membebaskan kita daripada kerumitan urusan dokumen, memberikan capaian pantas kepada perkhidmatan dan memberikan ketenangan fikiran kerana identiti digital pengguna terjamin selamat.

Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara digital sepenuhnya, MyDigital ID menjadi tunjang utama dalam transformasi ini. Bukan sekadar mengikut arus kemajuan teknologi, Malaysia kini berada di barisan hadapan sebagai peneraju. Sistem ini direka untuk terus berkembang dengan penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas pengguna dan kemunculan teknologi baharu.

Perancangan masa hadapan MyDigital ID, termasuklah penyepaduan dengan teknologi blok rantai dan peranti IoT, membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan menarik. Bayangkan betapa mudahnya apabila pengguna boleh membuka pintu rumah, menghidupkan kereta atau membuat pembayaran.

Walaupun semua perkara ini yang sebenarnya anda sudah mampu lakukan sekarang, namun masih memerlukan platform yang berbeza-beza untuk berfungsi. MyDigital ID memudahkan kesemuanya hanya dengan menggunakan satu identiti digital yang selamat. Inilah masa hadapan yang bakal dibentuk oleh MyDigital ID.

Kejayaan sebenar MyDigital ID bergantung kepada satu perkara, iaitu penerimaan anda sebagai pengguna. Semakin banyak yang menggunakan sistem ini, semakin besar manfaat yang dapat dikongsi bersama-sama. Maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada pengguna awal juga membuktikan keberkesanan sistem ini.

MyDigital ID adalah lebih daripada sekadar projek kerajaan. Platform ini merupakan lambang kesungguhan negara untuk melangkah ke era digital. Sistem ini bukan sekadar mengubah cara pengguna mengesahkan identiti, malah mentransformasikan keseluruhan cara hidup, bekerja dan berhubung dalam dunia digital.

Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada revolusi digital Malaysia. Masa hadapan identiti digital anda kini di depan mata dan percayalah, inisiatif ini lebih mengujakan daripada apa-apa yang anda bayangkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.