4 November 2024, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penuaan penduduk kini menjadi isu global yang semakin mencabar dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Seiring dengan peningkatan jangka hayat serta penurunan kadar kelahiran, populasi warga emas terus bertambah di seluruh dunia, termasuklah Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melalui buku Perangkaan Penting Malaysia 2024, jumlah warga emas di Pulau Pinang telah mencapai 1.8 juta pada tahun 2023. Dari segi jangka hayat ketika lahir di Pulau Pinang, secara purata, seorang bayi perempuan yang lahir pada 2024 dijangka akan hidup sehingga 77.3 tahun, manakala seorang bayi lelaki dijangka akan hidup sehingga 72.5 tahun. Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyedari perubahan demografi dan cabaran yang akan berlaku ini dan telah merangka strategi yang efektif untuk menangani isu berkaitan dengan warga emas.

Melalui kerjasama antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Women’s Development Corporation (PWDC) dengan Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia telah dilancarkan. Pelan ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang menyokong kehidupan aktif serta sihat bagi warga emas, di samping memastikan mereka dapat terlibat secara menyeluruh dalam komuniti.

Pelan ini meliputi pelbagai aspek penting seperti penyediaan infrastruktur mesra pengguna, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta program sosial yang menggalakkan interaksi antara generasi. Melalui pelibatan semua lapisan masyarakat dalam pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan negeri berharap untuk mencipta suasana inklusif yang menyokong warga emas, sekali gus memperkukuh ikatan sosial dalam komuniti.

Inisiatif ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-3 yang menekankan pentingnya memastikan kehidupan yang sihat serta meningkatkan kesejahteraan bagi semua peringkat umur. Dengan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik serta penyertaan dalam aktiviti sosial, Pulau Pinang berusaha meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Di samping itu, inisiatif ini juga sejajar dengan SDG ke-11 yang bertujuan menjadikan bandar dan penempatan manusia lebih inklusif, selamat, tahan lasak serta lestari.  Pembangunan infrastruktur mesra usia dan penyediaan ruang awam yang selamat serta akses yang lebih baik kepada pengangkutan awam merupakan sebahagian daripada komitmen Pulau Pinang dalam usaha mencipta persekitaran yang lebih baik untuk semua warganya. Selain meningkatkan kualiti hidup warga emas, inisiatif ini juga akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih harmoni dan seimbang.

Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia

Pada 7 September 2024, Majlis Pelancaran dan Sesi Publisiti Awam Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia telah diadakan untuk membentangkan dan menghebahkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia Pulau Pinang kepada orang awam. Langkah ini penting dalam menyahut inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah Bandar Mesra Usia.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan usaha kerajaan negeri, malah menandakan komitmen Pulau Pinang dalam menyediakan persekitaran yang kondusif bagi warga emas. Majlis pelancaran ini melibatkan pelbagai pihak, termasuklah pegawai kerajaan, wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

Tujuan utama majlis ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang inisiatif Bandar Mesra Usia dan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat mengenai pelaksanaan pelan tersebut. Dalam sesi tersebut, pihak MBPP telah menerangkan objektif utama Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia. Hal ini termasuklah meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan yang sesuai, membangunkan infrastruktur yang menyokong gaya hidup aktif serta menggalakkan penyertaan sosial dan aktiviti pelbagai generasi. Selain itu, sesi publisiti awam ini juga memberikan peluang kepada masyarakat untuk memberikan pandangan dan cadangan mereka mengenai pelaksanaan inisiatif ini.

Objektif Inisiatif Bandar Mesra Usia: Fokus kepada Lapan Domain Utama

Inisiatif Bandar Mesra Usia di Pulau Pinang adalah untuk mencapai beberapa objektif utama yang berasaskan lapan domain utama yang ditetapkan oleh WHO. Setiap domain ini menyasarkan keperluan khusus bagi memastikan kesejahteraan warga emas dalam persekitaran bandar.

Satu daripada fokus utamanya ialah ruang luar dan bangunan, iaitu mengenai laluan pejalan kaki yang selamat, kawasan rehat yang mencukupi dan taman awam yang mesra pengguna akan diperbaik. Ruang ini direka khas untuk memastikan warga emas dapat menikmati persekitaran luaran dengan selesa dan selamat.

Selain itu, elemen pengangkutan turut diberikan perhatian penting melalui penambahbaikan aksesibiliti dan pengangkutan awam yang lebih mudah diakses oleh warga emas. Kenderaan akan direka untuk memudahkan pengguna yang mempunyai mobiliti terhad, manakala jadual perjalanan akan diselaraskan untuk keperluan mereka.

Pada masa yang sama, inisiatif ini juga memberikan tumpuan kepada perumahan mesra usia, iaitu melibatkan perancangan perumahan akan memastikan adanya pilihan yang sesuai bagi warga emas. Perkara ini meliputi pembinaan perumahan awam mampu milik yang direka dengan aksesibiliti tinggi seperti lif dan kemudahan untuk pengguna kerusi roda.

Pengasingan sosial merupakan isu besar bagi warga emas yang akan diatasi melalui objektif penyertaan sosial dan penghormatan. Program komuniti dan intergenerasi akan diwujudkan untuk mengurangkan pengasingan sosial dan memperkukuh hubungan antara generasi muda dan tua. Pembinaan pusat komuniti yang menyediakan aktiviti dan program sosial jugaakan membantu membina jaringan sokongan yang lebih kuat untuk warga emas.

Bagi meningkatkan penyertaan aktif warga emas dalam masyarakat, penyertaan sivik dan pekerjaan juga menjadi satu daripada objektif inisiatif ini. Warga emas akan diberikan peluang untuk terus bekerja dan menyumbang kepada komuniti yang akan membantu mereka mengekalkan kestabilan kewangan serta kesihatan mental dan fizikal.

Dari segi komunikasi dan maklumat, bandar ini akan memastikan bahawa warga emas mempunyai akses yang mencukupi kepada maklumat penting melalui pelbagai saluran komunikasi. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan pelibatan mereka dalam keputusan komuniti, malah membantu mengurangkan jurang maklumat yang boleh menjejaskan kualiti hidup mereka.

Akhir sekali, sokongan komuniti dan perkhidmatan kesihatan akan diperkukuh melalui penubuhan pusat kesihatan yang mesra usia dan penyediaan perkhidmatan sokongan yang komprehensif. Pendidikan pencegahan dan tindakan awal akan menjadi elemen penting dalam memastikan warga emas kekal sihat dan berdaya tahan. Secara keseluruhannya, objektif inisiatif ini adalah untuk memastikan bandar yang inklusif dan mesra usia dan memberikan sokongan penuh kepada golongan warga emas agar mereka dapat menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan sejahtera.

Secara keseluruhanya, Pulau Pinang berhasrat untuk berkembang sebagai sebuah bandar yang mesra dan inklusif bagi semua golongan, terutamanya warga emas melalui pelaksanaan inisiatif ini. Usaha ini selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 yang menekankan kepentingan menyediakan sokongan dan penjagaan yang mencukupi kepada warga emas, di samping membolehkan golongan ini kekal aktif dan terus terlibat dalam masyarakat.

Pembentukan bandar mesra usia bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti hidup warga emas tetapi juga memperkaya masyarakat dengan pengalaman serta kebijaksanaan mereka. Dalam menghadapi cabaran demografi yang semakin mencabar, usaha meningkatkan kesejahteraan warga emas di Pulau Pinang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat dan warga emas itu sendiri.

Komitmen yang bersepadu juga dapat memastikan bahawa setiap warga emas di Pulau Pinang menikmati kehidupan yang bermakna dan berharga dalam komuniti mereka. Pulau Pinang juga berpotensi menjadi contoh terbaik bagi negeri lain dalam menyediakan persekitaran yang mesra untuk golongan berusia serta memastikan kumpulan ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat.

Pengiktirafan oleh WHO sebagai Bandar Mesra Usia merupakan pencapaian penting yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas. Perkara ini turut memberikan inspirasi kepada bandar lain untuk mengikuti jejak langkah Pulau Pinang dalam mewujudkan persekitaran yang inklusif dan mesra usia. Pelaksanaan berterusan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia yang melibatkan semua lapisan masyarakat turut membolehkan Pulau Pinang untuk terus kekal maju sebagai contoh bandar yang menyokong penuaan aktif dan inklusif di Malaysia.

 

Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang demografi dan geografi penduduk. Fokus kajian beliau meliputi pelbagai aspek yang berkaitan dengan perubahan demografi, kelahiran, migrasi dan isu yang berkaitan dengan penuaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.