Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNematod merupakan kumpulan cacing yang berbentuk nipis dan panjang. Nematod juga dikenali dengan nama cacing gelang atau cacing bulat berdasarkan keratan melintang pada badannya.
Pelbagai saiz nematod boleh ditemukan dalam persekitaran. Terdapat nematod yang terlalu kecil dan hanya boleh dilihat melalui mikroskop. Selain itu, wujud juga nematod yang mampu membesar hingga 90 sentimeter panjang.
Dianggarkan sebanyak satu juta spesies nematod wujud dalam filum Nematoda. Kini, hanya 25 ribu spesies nematod telah dikenal pasti.
Dari segi ekologi, nematod ada di mana-mana. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat spesies nematod ditemukan dalam persekitaran melampau seperti di lombong emas di Afrika Selatan hingga ke kawasan kutub.
Badan nematod berbentuk silinder dan bersimetri dua hala. Nematod mempunyai sistem pencernaan, saraf, perkumuhan serta pembiakan, namun tidak mempunyai sistem peredaran darah.
Badan nematod juga tidak bersegmen dan diselubungi dengan kutikel tebal yang melindungi nematod daripada persekitaran luaran serta membentuk rangka luar yang fleksibel. Kebanyakan nematod jantan adalah lebih kecil daripada nematod betina.
Nematod terbahagi kepada empat kumpulan berdasarkan fungsi dan perumahnya, iaitu nematod bebas; nematod parasit haiwan dan manusia; nematod perosak tanaman; dan nematod entomopatogen.
Nematod bebas merupakan jenis nematod yang paling banyak di dalam tanah dan persekitaran marin. Nematod ini memakan bakteria, alga, kulat dan menguraikan bahan organik bagi membekalkan semula nutrien kepada tumbuhan di samping memperbaik struktur tanah dan kapasiti pegangan air. Contoh nematod bebas ialah Caenorhabditis elegans yang memakan bakteria.
Nematod bebas merupakan komponen penting dalam indeks penunjuk kesihatan tanah. Dalam persekitaran berair, nematod bebas memakan bahan organik di dalam pasir dan kerikil, alga atau nematod lain yang boleh menyumbang kepada pengawalan spesies perosak.
Nematod parasit haiwan dan manusia pula menjangkiti dari semua habitat. Terdapat kira-kira 342 spesies nematod yang menjangkiti manusia. Dianggarkan sebanyak 3.5 bilion manusia dijangkiti nematod pada setiap tahun dan kebanyakannya di kawasan tropika dan negara membangun.
Nematod yang menjangkiti manusia termasuklah cacing Ascaris atau cacing gelang, cacing filaria, cacing kerawit dan cacing rambu atau cacing cambuk. Cacing ini boleh menyerang otot, saluran pencernaan, mata dan tisu badan yang lain. Nematod parasit haiwan dan manusia boleh masuk ke dalam badan perumah melalui kulit, makanan yang tercemar dengan telur nematod atau gigitan vektor yang dijangkiti seperti nyamuk yang membawa cacing filaria.
Terdapat juga nematod yang menyerang tanaman sehingga menyebabkan pengurangan hasil dan kualiti tanaman. Spesies nematod perosak tanaman biasanya berukuran antara 250 mikrometer hingga 12 mikrometer panjang dan lebar antara 15 mikrometer hingga 35 mikrometer.
Nematod perosak tanaman boleh menyerang hampir semua bahagian tumbuhan, terutamanya bahagian akar. Sesetengah spesies pula berupaya menyerang bahagian pokok, daun dan batang.
Nematod perosak tanaman merupakan perosak yang biasa ditemukan di kawasan pertanian di Malaysia. Keadaan iklim yang panas dan lembap, jenis tanah yang berpasir serta aktiviti pertanian monokultur yang berterusan menggalakkan pertumbuhan populasi pelbagai jenis nematod perosak tanaman. Antara nematod perosak tanaman yang berbahaya dan mampu menyebabkan kerugian hasil termasuklah nematod Meloidogyne, Pratylenchus, Radophulus dan Paratylenchus.
Nematod entomopatogen pula ialah nematod yang menjangkiti serangga, terutamanya dari genus Heterorhabditis dan Steinernema. Nematod ini memasuki badan serangga melalui bukaan semula jadi perumah, membiak dan memakan tisu perumah dan seterusnya menyebabkan kematian perumah. Sesetengah spesies nematod boleh diperoleh secara komersial di luar negara sebagai kawalan biologi untuk serangga perosak tanaman dan urban seperti anai-anai.
Nematod entomopatogen berkembang dan membiak di dalam perumah. Pada keadaan optimum, nematod keluar daripada badan perumah antara tujuh hari hingga 15 hari selepas jangkitan untuk mencari perumah baharu.
Sesetengah spesies nematod entomopatogen mempunyai bakteria mutualistik seperti Xenorhabdus (Steinernema) dan Photorhabdus (Heterorhabditis) yang membunuh serangga perumah dan memakan tisu perumah yang mencair. Bakteria mutualistik juga menghasilkan pelbagai antibiotik bagi menghalang persaingan untuk mendapatkan perumah oleh infektif juvenil lain.
Penggunaan nematod entomopatogen sebagai agen kawalan biologi untuk serangga perosak telah berkembang pesat disebabkan oleh kemudahan pengeluaran secara besar-besaran, julat perumah yang luas serta selamat kepada mamalia dan alam sekitar. Antara negara yang menghasilkan biopestisid daripada nematod entomopatogen termasuklah Belanda, Switzerland, Kanada, Amerika Syarikat dan Jerman. Di Malaysia, kajian keberkesanan nematod entomopatogen tempatan terhadap perosak tanaman kelapa (kumbang palma merah, Rhynchophorus ferrugineus) dan jagung (ulat ratus FAW, Spodoptera frugiperda) sedang giat dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Oleh itu, menjawab kepada persoalan sama ada nematod ialah kawan atau lawan, jawapannya bergantung pada jenis dan spesiesnya. Namun begitu, segala ciptaan Tuhan pasti memiliki tujuan dan manfaat. Tugas kita sebagai manusia adalah mencari dan menelitinya.
Apabila tujuan dan manfaat itu berjaya diperoleh, maka patut kita syukuri dan menggunakannya sebagaimana semestinya. Jika belum, maka itu sebagai suatu peringatan dan usaha penelitian itu harus diteruskan.