17 Oktober 2024, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul baru-baru ini bahawa hari Rabu akan menjadi hari tanpa gula di Parlimen Malaysia merupakan langkah positif ke arah memperbaik kesihatan dan menyemai gaya hidup sihat. Inisiatif ini diadakan untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan ahli parlimen negara dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat Malaysia.

Mengurangkan pengambilan gula merupakan satu daripada cara yang berkesan untuk menangani masalah kesihatan yang berkaitan dengan gula. Usaha ini mempunyai potensi untuk menginspirasikan perubahan yang lebih luas di seluruh negara.

Gula ialah sejenis karbohidrat ringkas yang sering terdapat dalam pelbagai makanan dan minuman. Gula membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh badan.

Gula boleh didapati daripada pelbagai sumber dan dalam pelbagai bentuk. Pertama, terdapat gula yang secara semula jadi terdapat dalam makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu. Jenis gula ini umumnya dianggap kurang berbahaya kerana menjadi sebahagian daripada makanan yang padat dengan nutrien di samping mempunyai serat, vitamin dan mineral.

Jenis kedua dikenali sebagai gula bebas, iaitu gula yang ditambahkan ke dalam makanan dan minuman semasa pemprosesan, penyediaan atau sewaktu makan. Gula bebas juga merangkumi gula yang terdapat secara semula jadi dalam madu, sirap dan jus buah-buahan. Gula inilah yang sering disarankan untuk dikurangkan dalam diet harian kerana pengambilan gula tambahan yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Di Malaysia, kerajaan menyediakan panduan tentang jumlah gula bebas atau gula tambahan yang sepatutnya boleh diambil pada setiap hari. Garis Panduan Diet Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan bahawa orang dewasa perlu mengehadkan pengambilan gula tambahan kepada tidak lebih daripada 10 peratus daripada jumlah tenaga harian mereka. Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 50 gram atau sekitar 10 sudu teh gula sehari.

Jumlah 10 sudu teh gula sehari ini meliputi gula yang ditambah semasa menyediakan minuman, termasuklah dalam makanan seperti kuih, lauk-pauk, pelbagai snek manis dan sebagainya. Kebanyakan rakyat Malaysia tanpa sedar mengambil lebih banyak gula daripada yang disarankan disebabkan oleh jumlah gula yang besar dalam makanan dan minuman yang diproses.

Pengambilan gula yang berlebihan telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang serius. Sebagai contoh, seseorang yang mengambil banyak makanan dan minuman bergula cenderung untuk mengalami penambahan berat badan dengan lebih mudah. Keadaan ini meningkatkan risiko berat badan berlebihan atau obes.

Obesiti ialah punca utama kepada banyak masalah kesihatan, termasuklah penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes jenis dua. Apabila mengurangkan pengambilan gula, individu boleh mengawal berat badan dengan lebih baik dan seterusnya mengurangkan risiko masalah obesiti.

Kepentingan inisiatif ini menjadi lebih jelas apabila melihat keadaan kesihatan awam di Malaysia pada masa ini. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang terbaharu, kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan hipertensi sangat tinggi.

Tinjauan tersebut mendedahkan bahawa satu daripada enam orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala satu daripada tiga mengalami tekanan darah tinggi. Selain itu, lebih separuh daripada populasi dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Statistik ini menunjukkan betapa mendesaknya untuk mengambil tindakan bagi mencegah NCD dan pengurangan pengambilan gula merupakan satu daripada strategi utama yang boleh dilakukan.

Manfaat lain mengurangkan pengambilan gula ialah peningkatan kesihatan metabolik. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan badan sukar memproses insulin, iaitu hormon yang membantu mengawal paras gula dalam darah. Lama-kelamaan, masalah ini boleh menyebabkan kerintangan insulin yang meningkatkan risiko menghidap penyakit diabetes jenis dua. Pengurangan pengambilan gula dapat membantu menstabilkan paras gula dalam darah dan mencegah terjadinya kerintangan insulin.

Di samping itu, pengurangan pengambilan gula juga mempunyai manfaat untuk kesihatan pergigian. Gula boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria berbahaya di dalam mulut yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan masalah pergigian lain. Dengan mengurangkan pengambilan gula, risiko kerosakan gigi dapat dikurangkan dan turut memperbaik kesihatan mulut.

Keputusan untuk memperkenalkan hari Rabu tanpa gula di Parlimen memberikan mesej yang kuat tentang pentingnya menjaga kesihatan, terutamanya dalam persekitaran tempat kerja yang sibuk apabila jadual yang padat dan situasi tekanan sering membawa kepada tabiat pemakanan yang tidak sihat. Melalui kempen ini, ahli parlimen bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan mereka, malah memberikan contoh yang baik untuk diikuti oleh orang ramai. Inisiatif ini berfungsi sebagai peringatan bahawa perubahan kecil seperti mengurangkan pengambilan gula boleh memberikan impak yang besar terhadap kesejahteraan keseluruhan.

Selera dan deria rasa individu sebenarnya boleh dilatih untuk menerima makanan dan minuman tanpa gula tambahan. Dalam konteks jamuan yang dihidangkan semasa mesyuarat, hidangan kopi atau teh tanpa gula akan membantu membiasakan deria rasa dengan rasa asli minuman tersebut. Lama-kelaman, keperluan untuk menambah gula akan hilang. Minuman manis juga boleh digantikan dengan menghidangkan air kosong.

Selain itu, buah-buahan segar yang dipotong boleh digandingkan dengan pilihan kuih pedas (savoury) seperti pau ayam atau sandwic telur sebagai alternatif kepada kuih manis. Selain mendapatkan rasa manis asli daripada buah, tindakan ini akan turut meningkatkan pengambilan serat selain vitamin dan mineral.

Walaupun inisiatif ini bermula di Parlimen, amalan ini tidak seharusnya terhenti di situ. Konsep hari tanpa gula boleh diperluaskan ke pejabat kerajaan lain, persekitaran korporat, sekolah dan institusi awam serta swasta.

Usaha sebegini akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih sedar tentang pengambilan gula dan memupuk tabiat yang lebih sihat. Tindakan menjadikan pengurangan gula sebagai keutamaan, persekitaran tempat kerja dapat menyokong kesihatan pekerja mereka yang membawa kepada kesihatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti dan kualiti hidup.

Mengurangkan pengambilan gula bukan sahaja memberikan manfaat kesihatan tetapi boleh membawa manfaat kepada ekonomi. Kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan rawatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung merupakan beban yang berat kepada sistem kesihatan Malaysia. Langkah pencegahan seperti mengamalkan diet yang lebih sihat dapat membantu kerajaan mengurangkan kos dan memastikan sumber tersedia untuk perkhidmatan kesihatan penting yang lain.

Kesimpulannya, inisiatif hari tanpa gula di Parlimen merupakan inisiatif yang baik. Langkah untuk mengurangkan pengambilan gula, bukan hanya di Parlimen tetapi juga oleh seluruh rakyat di mana jua memungkinkan kita bekerjasama untuk membina Malaysia yang lebih sihat, produktif dan makmur.

 

Dr. Nurul Huda Razalli,
Pensyarah Kanan,
Program Dietetik,
Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.