13 September 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saban tahun, apabila tiba sahaja musim perayaan, terutamanya sambutan Aidilfitri di Malaysia, antara isu yang sering diperkatakan termasuklah kesesakan jalan raya. Kesesakan ini bukan sahaja berlaku di lebuh raya utama di Malaysia, malah di jalan negeri dan kampung.

Ketika berjuta-juta rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman untuk berkumpul bersama-sama keluarga mereka, rangkaian kenderaan di jalan raya saban tahun semakin meningkat. Hal ini seterusnya menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Berdasarkan kenyataan daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan di Malaysia melonjak 18 peratus kepada 68 665 unit hingga Mei 2024. Statistik ini turut menyumbang kepada kadar peningkatan kenderaan di jalan raya mahupun lebuh raya semasa sambutan perayaan utama di Malaysia.

Semasa sambutan Aidilfitri pada April lalu ketika banyak perantau terkandas dalam kesesakan jalan raya luar biasa, timbul pula isu berkaitan dengan sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina pada tahun 2029 dan tahun 2030 yang bakal disambut pada minggu yang sama. Banyak yang berpendapat bahawa kesesakan jalan pasti akan bertambah teruk atau sekurang-kurangnya meningkat dua kali ganda pada ketika itu.

Namun demikian, penulis tidak berhasrat untuk berkongsikan pandangan mengenai isu kesesakan jalan raya. Sebaliknya, penulis ingin berkongsikan bagaimana sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina jatuh pada minggu yang sama pada kedua-dua tahun berkenaan.

Pertama sekali, kita perlu mengetahui bahawa tarikh 1 Syawal ditentukan berdasarkan kalendar Islam atau dikenali juga sebagai kalendar Hijrah. Tahun Baharu Cina pula ditetapkan berdasarkan kalendar Cina.

Kalendar Islam

Kalendar Islam bermula selepas penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Permulaan bagi setiap bulan dalam kalendar Islam bergantung pada keternampakan bulan pada penghujung bulan sebelumnya. Sebaik sahaja bulan kelihatan, maka bulan baharu akan bermula.

Dengan bermulanya bulan baharu, maka pusingan bulan yang baharu akan bermula semula. Oleh itu, kalendar Islam memberikan gambaran keseluruhan bagi tarikh peristiwa penting dalam Islam seperti awal Ramadan dan 1 Syawal akan datang.

Kadar penglihatan bulan baharu yang disebabkan oleh pergerakan bulan bergantung pada pelbagai faktor seperti cuaca dan sebagainya. Kalendar Islam terdiri daripada 12 bulan yang menyerupai kalendar Gregori.

Walau bagaimanapun, kalendar Islam tidak seperti kalendar biasa yang terdiri daripada 365 hari hingga 366 hari setahun. Sebaliknya, kalendar Islam mengandungi 354 hari hingga 355 hari.

Kalendar tahun baharu Islam bermula dengan bulan Muharam, diikuti oleh Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah serta Zulhijjah. Hari Raya Aidilfitri disambut pada penghujung Ramadan, yakni bulan kesembilan dalam kalendar Islam. Kalendar Islam juga adalah berasaskan bulan yang panjangnya selama 29 hari atau 30 hari, bergantung pada keterlihatan anak bulan.

Kalendar Cina

Kalendar Cina ialah kalendar yang digunakan secara tradisional di China dan negara Asia Timur lain. Kalendar ini menggabungkan unsur lunar dan suria untuk memastikan tahun kalendar sejajar dengan musim.

Kalendar Cina ialah kalendar lunisolar yang bermakna kalendar ini menggunakan fasa bulan dan tahun suria. Bulan adalah berdasarkan kitaran lunar, manakala tahun diselaraskan untuk dipadankan dengan tahun suria untuk memastikan kalendar selari dengan musim. Tidak seperti kalendar Gregori yang berdasarkan solar, kalendar Cina mempunyai bulan yang sejajar dengan kitaran lunar.

Tahun Baharu Cina jatuh pada bulan baharu pertama dalam kalendar lunar. Bulan baharu ini berlaku antara 21 Januari dan 20 Februari. Tarikh yang tepat berbeza dari tahun ke tahun kerana bergantung kepada kitaran bulan.

Kalendar lunar Cina dibahagikan kepada 12 bulan lunar. Setiap bulan lunar bermula pada bulan baharu. Memandangkan tahun kalendar lunar adalah kira-kira 354 hari panjang (12 bulan lunar kira-kira 29.5 hari setiap satu), kalendar ini kira-kira 11 hari lebih pendek daripada tahun solar.

Untuk memastikan tahun kalendar sejajar dengan tahun suria dan musim yang berubah-ubah, satu bulan tambahan (dikenali sebagai bulan interkalari atau lompat) ditambah kira-kira setiap dua tahun hingga tiga tahun. Pelarasan ini memastikan perayaan penting yang dikaitkan dengan musim tertentu kekal pada masa yang sesuai.

Bulan baharu pertama tahun kalendar Cina menandakan permulaan Tahun Baharu Cina. Bulan baharu berlaku apabila bulan berada di antara bumi dengan matahari dan menjadikannya tidak kelihatan dari bumi. Hal ini adalah perkara utama dalam pengiraan bulan lunar.

Untuk menentukan tarikh tepat bulan baharu, ahli astronomi mengira waktu fasa bulan akan beralih ke bulan baharu. Hal ini melibatkan pemerhatian dan pengiraan astronomi yang tepat. Kaedah tradisional melibatkan pemerhatian kitaran bulan dan pengiraan tarikh bulan baharu berdasarkan pemerhatian ini. Kaedah moden pula menggunakan algoritma astronomi untuk meramalkan masa bulan baharu dengan ketepatan yang tinggi.

“Kalendar kuda” sangat sinonim dengan rakyat di Malaysia yang merujuk jenis kalendar yang digunakan secara tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya dalam kalangan orang Cina. Kalendar ini juga dikenali sebagai “kalendar Cina” atau “kalendar lunar Cina.” Sehubungan dengan itu, disebabkan terdapat perbezaan dalam menentukan tarikh 1 Syawal dan Tahun Baharu Cina, maka kebarangkalian untuk kedua-dua sambutan perayaan utama di Malaysia untuk berlaku pada masa yang lebih kurang sama tetap ada.

Jadual 1 Tarikh jangkaan dan situasi masa untuk 1 Syawal dan Tahun Baharu Cina pada tahun 2025 hingga tahun 2030.

Sebagai rumusan, walaupun tarikh 1 Syawal dan Tahun Baharu Cina tidak berlaku pada minggu yang sama sepanjang tahun 2025 hingga 2028, namun situasi yang berbeza bakal berlaku pada tahun 2029 dan 2030 apabila kedua-dua perayaan itu diraikan pada minggu yang sama. Secara khusus, kedua-dua perayaan itu jatuh dalam minggu yang sama, yakni dari 11 Februari hingga 17 Februari pada tahun 2029 dan sekali lagi dari 3 Februari hingga 9 Februari pada tahun 2030. Pertembungan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina pada tahun-tahun ini menyerlahkan pertindihan yang unik dalam kalendar Islam dan Cina, sekali gus menunjukkan situasi yang jarang-jarang berlaku untuk meraikan kedua-dua perayaan tersebut secara serentak.

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.