9 Ogos 2024, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Busy book atau diterjemahkan secara langsung sebagai buku sibuk ialah buku yang mempunyai halaman interaktif untuk menggalakkan kanak-kanak menggunakan tangan dan minda mereka untuk menyelesaikan pelbagai aktiviti. Pada asasnya, busy book membolehkan kanak-kanak aktif melakukan aktiviti yang menyeronokkan yang terdapat dalam buku tersebut.

Halaman busy book diperbuat daripada kain flanel, kapas atau kartun tebal. Busy book merangkumi halaman aktiviti interaktif yang membolehkan kanak-kanak bersama-sama ibu bapa meneroka buku ini atau menggalakkan anak-anak mereka bermain secara bebas.

Terdapat dua jenis busy book, iaitu felt busy book dan busy book bercetak. Sifat yang terdapat pada busy book yang diperbuat daripada kain felt yang dijahit atau digam melibatkan proses yang memakan masa, kos yang tinggi untuk dihasilkan atau dibeli. Sementara itu, busy book bercetak pula hanya perlu dicetak dan dilaminasi, ringkas serta mudah untuk dihasilkan. Harganya juga sangat berpatutan dan sangat baik untuk pembelajaran interaktif.

Busy book lazimnya menyertakan elemen permainan interaktif seperti butang, dan teka-teki. Unsur ini menggalakkan kanak-kanak untuk berinteraksi dengan buku dan bermain bersama-sama dengan sesebuah jalan penceritaan. Melalui permainan interaktif ini, kanak-kanak belajar tentang perkongsian, bergilir-gilir dan kerjasama serta kemahiran sosial lain yang penting dalam perkembangan mereka.

Busy book juga memberikan kesan yang sangat baik untuk menghiburkan kanak-kanak tanpa menggunakan teknologi. Jika ibu bapa mahukan anak-anak fokus dalam melaksanakan sesuatu aktiviti, maka mereka boleh memberikan busy book kepada anak anda.

Busy book mempunyai imej yang berwarna-warni dan teka-teki yang mudah difahami akan membuatkan kanak-kanak terpesona dengan bahan bacaan ini. Penggunaan busy book sesuai untuk perjalanan kapal terbang atau perjalanan kereta yang jauh. Ibu bapa juga boleh memanfaatkan busy book ketika menghadiri janji temu di hospital atau klinik, restoran dan aktiviti yang lain yang memerlukan perhatian dan tumpuan yang lebih daripada kanak-kanak.

Sejak kebelakangan ini, busy book semakin diberikan perhatian dan pertimbangan sebagai satu daripada bahan bantu belajar yang bernilai untuk kanak-kanak. Bahan bacaan ini memberikan banyak kebaikan terhadap perkembangan kanak-kanak merentasi pelbagai domain dan memainkan peranan dalam meningkatkan kemahiran dan keupayaan kanak-kanak dalam perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif mereka.

Dari aspek perkembangan kemahiran motor halus, busy book direka khas untuk melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti bersifat guna tangan seperti memasukkan dan mengetip butang, menarik zip, mengait tali yang menyumbang kepada perkembangan kemahiran motor halus. Aktiviti ini memerlukan pergerakan yang tepat dan koordinasi otot kecil yang penting untuk tugas seperti menulis dan memanipulasi objek kecil.

Busy book juga memberikan bantuan dalam membandingkan secara visual melalui penyediaan aktiviti seperti padanan bentuk, warna dan corak. Hal ini membantu kanak-kanak untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk membezakan butiran visual yang merupakan kemahiran yang penting untuk kemahiran membaca, menulis dan mengenali perbezaan dalam stimulasi visual.

Sementara itu, melalui aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak memanipulasi objek dalam halaman buku, busy book turut memperbaik koordinasi mata–tangan. Aktiviti seperti meletakkan objek di dalam slot yang ditetapkan atau menggelungkan manik memerlukan pergerakan tangan yang tepat berdasarkan petunjuk visual yang membina koordinasi yang lebih baik antara tangan dengan mata.

Banyak aktiviti dalam busy book turut menggalakkan koordinasi bilateral apabila kanak-kanak menggunakan kedua-dua tangan secara serentak untuk aktiviti seperti membuka dan menutup sesuatu penutup seperti sampul surat atau menarik objek melalui gelung. Kemahiran ini penting untuk aktiviti rutin seperti mengikat tali kasut, menggunakan gunting dan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan.

Selain itu, aktiviti seperti teka-teki dan permainan padanan dalam busy book merangsang kemahiran kognitif seperti penyelesaian masalah, pemikiran logik dan memahami hubungan spatial. Hal ini memberikan cabaran kepada kanak-kanak untuk berfikir secara kritis dan mengembangkan strategi untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Busy book turut menggabungkan aktiviti yang menitikberatkan pengenalan terhadap asas nombor dan huruf. Pelibatan unsur ini secara berulang melalui teka-teki dan permainan padanan, kanak-kanak dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk mengenal pasti dan membezakan huruf dan nombor.

Aktiviti seperti memicit, mencubit dan mencengkam pelbagai objek dalam busy book juga menguatkan otot tangan dan jari kanak-kanak. Hal ini meningkatkan keupayaan mereka untuk menangkap dan memanipulasi objek melalui kawalan dan ketangkasan tangan dan jari mereka. Busy book juga mengandungi elemen interaktif yang dapat menggalakkan perkembangan bahasa dengan memperkenalkan perbendaharaan kata, merangsang perbualan dan memupuk kemahiran bercerita.

Banyak busy book menampilkan situasi permainan imaginatif seperti berpakaian watak atau mencipta adegan dengan pelekat. Melibatkan diri dalam permainan sebegini menggalakkan kreativiti, imaginasi dan perkembangan sosial dan emosi mereka.

Busy book berakar umbi dalam beberapa teori pembelajaran utama. Teori tersebut termasuklah teori konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean Piaget dan Lev Vygotsky. Teori ini berpendapat bahawa kanak-kanak membina pengetahuan melalui pengalaman dan interaksi mereka dengan persekitaran mereka.

Busy book juga mengaplikasikan kaedah Montessori yang dibangunkan oleh Maria Montessori. Kaedah ini menekankan pembelajaran secara langsung dan terarah. Busy book selaras dengan prinsip Montessori yang membenarkan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti mengikut kadar mereka sendiri, menggalakkan kebebasan dalam belajar, meningkatkan kemahiran motor halus dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Teori behaviorisme pula memberikan tumpuan kepada pembelajaran hasil daripada pelaziman dan peneguhan. Busy book lazimnya mengandungi tugasan berulang dan maklum balas segera yang boleh mengukuhkan pembelajaran melalui peneguhan dan latihan positif.

Sementara itu, teori kecerdasan pelbagai (theory of multiple intelligences) yang diperkenalkan oleh Howard Gardner pula mencadangkan bahawa kanak-kanak belajar dengan cara yang berbeza. Busy book memenuhi pelbagai jenis kecerdasan seperti spatial (melalui teka-teki), kinestetik (melalui manipulasi fizikal bahan) dan logik–matematik (melalui tugasan pengkategorian).

Teori beban kognitif pula menekankan kepentingan beban kognitif untuk mengoptimumkan pembelajaran. Busy book melibatkan aktiviti yang lebih mudah dan boleh dilaksanakan dalam kemampuan mereka, membantu mengurangkan beban kognitif dan memudahkan pembelajaran dan pengekalan pengetahuan yang lebih baik.

Yang terakhir, teori pembelajaran sosial yang diperkenalkan oleh Albert Bandura menekankan pemerhatian dan peniruan dalam pembelajaran. Walaupun busy book boleh digunakan pada bila-bila masa, bahan ini juga boleh menyokong pembelajaran sosial apabila kanak-kanak memerhati dan meniru interaksi orang lain dengan buku tersebut.

Baru-baru ini, penulis dianugerahkan Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 4.0 oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri untuk menghasilkan sebuah busy book yang dinamakan Iskandar Puteri Kesayanganku sebagai satu daripada intervensi awal kepada kanak-kanak akan kepentingan menjaga alam sekitar. Busy Book Iskandar Puteri Kesayanganku ini akan mengandungi aktiviti menjaga alam sekitar seperti membuang sampah ke dalam tong sampah, berbasikal, menanam pokok bakau, membawa makanan dengan bekas sendiri dan banyak lagi.

Iskandar Puteri Kesayanganku bakal menjadikan tempat ikonik di sekitar Bandar Raya Iskandar Puteri seperti Taman Tema Legoland, Masjid Kota Iskandar, kampus Universiti Teknologi Malaysia dan Kampung Sungai Melayu sebagai latar belakang. Komuniti sasaran ialah kanak-kanak prasekolah di wilayah Iskandar Puteri. Projek ini diharapkan dapat menghasilkan busy book yang bukan sahaja dapat memupuk sikap positif kanak-kanak terhadap alam sekitar dari awal, malah meningkatkan pelbagai kemahiran merentas domain yang menyokong perkembangan holistik mereka.

 

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.