Oleh Hasnah Haron
13 Jun 2024, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Makan terlalu banyak garam secara kerap boleh meningkatkan risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi. Masalah ini merupakan punca utama bagi strok dan serangan jantung. Kedua-duanya juga merupakan punca kematian terbesar di seluruh dunia yang menyebabkan sebanyak 17.9 juta kematian pada setiap tahun berdasarkan data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kebanyakan penyakit kardiovaskular (CVD) boleh dicegah sepenuhnya sekiranya langkah diambil dengan lebih awal dalam menjaga kesihatan. Tindakan pencegahan juga boleh mengelakkan daripada penyakit CVD menjadi lebih parah.

Mengurangkan garam dalam diet merupakan satu daripada cara yang paling cepat dan berkesan untuk mengurangkan tekanan darah bagi mereka yang menghidap hipertensi. Untuk individu yang belum mempunyai penyakit hipertensi, kandungan garam di dalam badan tidak menyebabkan peningkatan tekanan darah.

Namun demikian, kebanyakan orang tidak menyedari jumlah garam yang dimakan sehari-hari. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan garam yang dimakan sudah pun terkandung dalam makanan yang dibeli.

Secara umumnya, semua orang, yakni tanpa mengira umur, jantina atau etnik boleh mendapat manfaat daripada pengurangan pengambilan garam. Lebih awal seseorang itu menyesuaikan diri dengan diet rendah garam, maka semakin kurang kerosakan terhadap jantungnya.

WHO mengesyorkan cadangan pengambilan garam adalah tidak melebihi lima gram atau 2000 miligram (mg) natrium (sodium) sehari. Hal ini bermakna bahawa jumlah pengambilan garam daripada sarapan, makan tengah hari dan makan malam tidak boleh melebihi 2000 mg. Namun begitu, secara global, pengambilan garam adalah lebih daripada nilai itu.

Jika pengambilan garam penduduk dunia dikurangkan kepada lima gram sehari, kira-kira 1.65 juta kematian boleh dicegah daripada penyakit CVD pada setiap tahun. Oleh sebab itu, untuk mengingati akan kepentingan pengurangan pengambilan garam, Minggu Kesedaran Garam Sedunia telah diadakan pada 13 Mei hingga 19 Mei 2024, manakala Hari Hipertensi Sedunia disambut pada 17 Mei 2024.

Garam ialah sebatian ionik yang terdiri daripada nisbah natrium dan klorida sebanyak 40:60. Oleh sebab itu, penentuan kandungan garam dalam makanan adalah berdasarkan kepada kandungan natrium.

Makanan jalanan memberikan sumbangan yang besar kepada pemakanan masyarakat, khususnya di negara yang membangun. Makanan jalanan juga dikenali sebagai bentuk makanan yang boleh disediakan dengan cepat, mudah dan murah.

Dalam kajian Haron et al. (2022), satu tinjauan telah dijalankan untuk melihat kekerapan jenis makanan jalanan di seluruh Malaysia. Hal ini dikuti dengan pensampelan makanan jalanan di setiap negeri di seluruh Malaysia untuk dianalisis kandungan garamnya dengan menggunakan instrumen Spektrometri Serapan Atom.

Makanan jalanan berasaskan mi mengandungi kandungan garam yang tinggi. Kandungan garam dalam satu hidangan atau semangkuk soto adalah paling tinggi (kira-kira 3169 mg natrium per mangkuk). Jumlah ini adalah jauh melebihi keperluan natrium dalam sehari, iaitu sebanyak 2000 mg. Hal ini mungkin disebabkan oleh penggunaan ramuan seperti garam, penambah perisa dan kuah kicap pedas yang menambah kandungan natrium dalam hidangan soto.

Makanan jalanan di Malaysia yang mempunyai kandungan garam yang tinggi.

Kandungan garam dalam hidangan mi bersup seperti bakso dan mihun sup juga adalah tinggi, iaitu melebihi keperluan natrium sehari sebanyak 2000 mg. Setiap mangkuk atau hidangan bakso mengandungi kandungan natrium sebanyak 2577 mg, manakala semangkuk mihun sup mengandungi 2163 mg natrium. Hal ini terjadi kerana bakso mengandungi bebola daging atau ayam yang juga mengandungi penambah perisa serta garam yang menambah kandungan natrium dalam hidangan tersebut.

Semangkuk kuetiau sup mengandungi sejumlah 2076 mg natrium. Hal ini disebabkan oleh penggunaan ramuan seperti bebola ikan atau ayam serta kek ikan yang sememangnya tinggi kandungan garam. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghabiskan keseluruhan kuah sup yang dihidangkan bersama-sama mi kerana tindakan ini menyebabkan pertambahan pengambilan natrium. Selain itu, setiap hidangan mi yang digoreng seperi mi goreng, char kuetiau, kuetiau goreng biasa mengandungi kandungan natrium dalam julat 1478 mg antara 2186 mg.

Mi goreng mengandungi natrium yang tinggi (2185 mg per hidangan) kerana bahan yang digunakan dalam penyediaannya. Mi goreng dimasak dengan menggunakan sos seperti kicap pekat, sos tiram dan sos cili yang menyumbang kepada kandungan natrium yang tinggi. Sos ditambah untuk menambahkan rasa pada makanan dan menjadikannya lebih sedap untuk dimakan.

Selain itu, mi kuning itu sendiri mengandungi jumlah natrium yang tertentu. Sekiranya mi goreng disediakan di rumah, tidak perlu lagi ditambahkan garam kepada mi goreng. Hal ini dikatakan demikian kerana sos lain yang ditambah ke dalam hidangan ini juga mengandungi natrium.

Kandungan natrium dalam char kuetiau (1568 mg natrium per hidangan) dan kuetiau goreng biasa (1478 mg per hidangan) adalah di bawah 2000 mg dan tidak setinggi hidangan mi berkuah. Walau bagaimanapun, penyediaan char kuetiau dan kuetiau goreng biasa yang disediakan di pasar malam melibatkan penggunaan kicap pekat kicap dan sos tiram yang menyebabkan kandungan garam yang bertambah. Antara langkah yang boleh diambil oleh orang ramai termasuklah membuat permintaan kepada penjual agar mengurangkan garam dan sos yang digunakan ketika penyediaan hidangan.

Laksa Penang atau laksa Utara mengandungi kuah berasaskan ikan yang mengandungi kira-kira 1800 mg hingga 1900 mg sodium bagi setiap hidangan, yakni menghampiri pengambilan maksimum natrium sebanyak 2000 mg pada setiap hari. Kandungan sodium yang tinggi juga disebabkan oleh penggunaan pes udang dan garam dalam penyediaannya.

Sama seperti hidangan mi berkuah yang lain, orang ramai dinasihatkan tidak perlu mengambil keseluruhan kuah laksa bagi mengurangkan pengambilan garam. Laksam merupakan hidangan yang popular dari pantai timur dan sering ditemukan di gerai jalanan di seluruh Malaysia. Semangkuk hidangan laksam mengandungi kandungan natrium terendah (520 mg) berbanding dengan hidangan mi berkuah yang lain.

Diharapkan perkongsian ringkasan makanan jalanan tinggi garam dalam rencana ini membolehkan orang ramai membuat pilihan yang bijak ketika membeli makanan untuk keluarga. Semoga usaha ini juga akan mampu menggalakkan orang ramai untuk membuat perubahan kecil pada pola pemakanan. Langkah kecil ini juga diharapkan dapat mengurangkan pengambilan garam dalam kalangan masyarakat Malaysia agar mencapai pengambilan garam maksimum yang disyorkan oleh WHO, iaitu sebanyak lima gram sehari bagi mencegah penyakit CVD.

Professor Madya Dr. Hasnah Haron,
Pensyarah Kanan,
Program Sains Pemakanan,
Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.