30 Mei 2024, 22:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu pokok berusia tumbang yang menyebabkan kemalangan jiwa merupakan cabaran yang memerlukan perhatian segera dan pengurusan yang berkesan. Hal ini melibatkan konflik antara kepentingan memelihara alam sekitar dengan keselamatan orang awam di persekitaran pokok warisan yang berisiko tinggi untuk tumbang, terutamanya pada musim hujan.

Pada masa yang sama, pokok berusia yang juga dikenali sebagai pokok warisan tersebut menjadi suatu keperluan yang dikaitkan dengan sejarah, kenangan manis, bahkan sebagai sumber oksigen kepada pelbagai hidupan di persekitaran. Hendak ditebang salah, tidak ditebang boleh membahayakan nyawa pula bak kata pepatah, ditelan mati emak diluah mati bapa.

Sejak kebelakangan ini juga, aspek cuaca adalah sesuatu yang sukar diramalkan. Hal ini pastinya menjadi cabaran bagi pihak berkaitan bagi memastikan pokok yang terdapat dalam negara ini adalah kekal relevan. Malaysia juga perlu menyesuaikan kaedah yang sesuai dengan perubahan cuaca tempatan ini.

Yang lebih membimbangkan, kejadian pokok tumbang seperti yang berlaku di ibu kota dan beberapa lokasi lain di negara ini mempunyai potensi untuk berulang. Rantaian akar pokok di kawasan tersebut dikatakan saling berhubung, sekali gus memberikan kesan kepada ketahanan usia sesebuah pokok.

Walau apa pun, sebagai manusia yang menguruskan kehidupan kita tidak boleh cepat melatah. Jangan salahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pelbagai cara dan kaedah perlu diusahakan agar isu yang menjadi dilema kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur terutamanya, dapat ditangani sebaik mungkin supaya rambut yang ditarik tidak putus, tepung pula tidak berselerak.

Pokok, menurut definisi Bahagian Perundangan dan Kawal Selia Perancangan PLANMalaysia KPKT merupakan tumbuhan berkayu, berbatang dominan, berdaun, mempunyai bentuk silara dan mempunyai jangka hayat kehidupan yang lama. Pokok tumbuh secara individu di mana-mana lokasi serta mudah dikenal pasti mengikut saiz, umur dan spesies masing-masing.

Memetik akta Perintah Pemeliharaan Pokok di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Berdasarkan Peruntukan Bahagian VA, Akta 172 Sub Seksyen 35A, “jika didapati oleh pihak berkuasa perancang tempatan bahawa adalah suai manfaat bagi kepentingan keselesaan untuk memelihara mana-mana pokok, pokok-pokok atau kelompok pokok… ia boleh membuat suatu perintah.. ”. Hal ini menunjukkan terdapatnya keperluan untuk menyediakan kemudahan ini. Sememangnya, wajar dipertimbangkan usaha untuk memelihara dan menambah baik serta mengekalkan pokok warisan.

Tambahan pula, pemeliharaan dan pemuliharaan pokok tersebut adalah untuk tujuan keselesaan, memiliki tujuan unik atau istimewa bagi kawasan tersebut, mewujudkan pembangunan persekitaran bandar yang seimbang dan menyumbang kepada usaha pencapaian bandar rendah karbon. Pokok yang termasuk dalam definisi ini juga menyediakan fungsi teduhan dan pemecah angin jika berlakunya ribut.

Selain menjadi habitat untuk burung, serangga, fauna, sumber makanan atau ubatan, pokok sangat berfungsi dijadikan sebagi alat untuk mengurangkan kesan pulau haba, mengurangkan hakisan, risiko banjir dan tanah runtuh. Oleh hal yang demikian, tindakan yang sesuai adalah perlu untuk dijalankan mengikut klausa akta tersebut.

Antara faedah Perintah Pemeliharaan Pokok ini adalah memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pokok atau kelompok pokok tertentu diberikan perlindungan yang sewajarnya melalui perancangan dan kawalan pembangunan. Selain itu, hal tersebut juga memastikan keadilan dan kefleksibelan kepada pemilik tanah dan pemaju yang terlibat tanpa menjejaskan keperluan pembangunan melalui proses penilaian kesan pembangunan terhadap pokok ganti rugi penggantian pokok dan sebagainya.

Satu daripada contoh keperluan atau kepentingan pokok warisan termasuklah apabila pokok tersebut menjadi daya tarikan pelancong, sama ada dari dalam mahu pun dari luar negara. Pokok yang ditanam oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Yang pertama pada tahun 1958 yang diberikan nama Juniperus Chinensis pastilah mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Tun Dr. Mahathir pula pernah menanam pokok kembang semangkuk semasa perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani. Pokok tanaman orang kenamaan ini pasti akan dipelihara sebaik mungkin.

Setelah memahami keperluan penanaman pokok warisan, barulah kita wajar meneroka kesan jangka panjang atau kesan buruk jika pokok ini gagal diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkaitan. Sehinggalah kejadian meragut nyawa dan harta benda boleh terjadi.

Terdapat juga masalah yang menghambat usaha menanam dan memelihara pokok warisan ini. Misalnya, kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat dan pihak berkepentingan berkenaan kepentingan pokok dan Perintah Pemeliharaan Pokok menyebabkan kurang diambil kira dalam proses pembangunan.

Selain itu, kriteria dan cara penentuan pokok Perintah Pemeliharaan Pokok adalah tidak jelas dan tidak seragam antara pihak berkuasa tempatan. Ditambah lagi dengan kekurangan sumber kakitangan, kepakaran, kewangan dan teknologi di pihak berkuasa tempatan dalam pemuliharaan dan pengurusan pokok, khususnya di majlis daerah.

Dalam hal ini, lepakaran seperti arboris dan arkitek landskap adalah penting, terutamanya dalam memeriksa menilai serta memantau keadaan pokok di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok, khususnya di tempat awam dalam kawasan pihak berkuasa tempatan terlibat. Sehingga akhirnya menjadi masalah lain pula, iaitu isu pokok warisan yang tumbang sehingga menghempap kenderaan, jalan raya, bangunan dan kemudahan awam yang lain. Paling menyayat hati adalah apabila sesuatu insiden itu meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Melihat kepada keseriusan isu pokok tumbang ini, antara yang turut menyuarakan kebimbangan termasuklah Perdana Menteri Malaysia yang menyarankan agar setiap pohon yang terpaksa ditebang, digantikan dengan 100 pokok baharu yang wajib ditanam semula. Dalam hal ini, dengan melaksanakan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, pemantauan berterusan, pengurusan landskap yang berkelanjutan, pendidikan awam, penguatkuasaan undang-undang dan penyelidikan, isu pokok tumbang yang membawa kemalangan jiwa dapat ditangani dengan lebih berkesan pada jangka masa panjang.

Antara langkah proaktif yang boleh diambil tindakan ialah memahami keperluan pokok berusia dikekalkan. Pada masa yang sama, nasihat dan pandangan pakar, terutama ahli botani perlu diambil kira dalam isu ini.

Dari aspek biologi dan ekologi, pokok berusia sering mempunyai sistem akar dan batang yang besar dan kompleks yang menyumbang kepada habitat dan sumber makanan bagi pelbagai spesies haiwan dan mikroorganisma. Kumpulan hidupan ini memainkan peranan yang penting dalam kitaran nutrien dan menyokong kepelbagaian biologi dalam ekosistem tersebut. Pokok tua juga bertindak sebagai pemangkin regenerasi bagi spesies lain melalui penyebaran biji benih.

Untuk itu, antara aspek penjagaan terbaik yang perlu diamalkan adalah dengan menyelenggara dan memelihara. Pakar botani boleh mengesyorkan pemangkasan dan penyingkiran cawangan atau cabang yang rosak atau mati secara berkala untuk mengurangkan risiko pokok tumbang demi keselamatan.

Selain itu, pengawalan perosak, penyakit dan kulat yang merosakkan pokok perlu dilakukan dengan teliti dengan menggunakan kaedah yang mesra alam. Pembajaan dan pengairan yang mencukupi juga perlu dilakukan terutama semasa musim kering untuk mengekalkan kesihatan pokok.

Disebabkan pokok berusia sering mempunyai nilai sejarah, budaya dan estetika yang tinggi, hal ini menjadikannya sebagai sebahagian daripada warisan semula jadi masyarakat setempat. Pakar botani juga mengesyorkan pendekatan pemuliharaan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti komuniti setempat, pihak berkuasa dan kumpulan penggiat alam sekitar. Pada masa yang sama, pendidikan dan peningkatan kesedaran awam mengenai kepentingan pokok berusia perlu dipergiatkan.

Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tempatan mengenai kepentingan pokok berusia dan langkah untuk menjaga keselamatan, beberapa pendekatan pendidikan boleh dilaksanakan, sama ada dalam kalangan orang awam mahu pun pada peringkat sekolah. Penganjuran kempen secara berkala di kawasan awam seperti di taman dan kawasan lapang dengan pameran, ceramah dan aktiviti guna tangan, pastinya menarik minat khalayak untuk lebih memahami dan mendekati kepentingan dan keperluan pokok berusia dikekalkan.

Pada peringkat sekolah, sudah sampai masanya untuk Kementerian Pendidikan memperkenalkan modul atau kurikulum khusus mengenai pokok berusia dalam subjek sains, biologi atau alam sekitar. Para pelajar dengan bimbingan para guru boleh mengadakan lawatan pembelajaran ke kawasan pokok berusia terpilih untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada mereka.

Menyedari akan bencana yang bakal menimpa orang awam jika mereka lalai akan keburukan menyimpan pokok warisan, pihak yang berkenaan juga boleh mengadakan bengkel atau kelas di pusat komuniti untuk mendidik penduduk tempatan mengenai teknik pemeliharaan dan pemangkasan pokok yang selamat. Komuniti awam juga boleh bekerjasama dengan pakar botani, pegawai taman dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan profesional melalui sesi dialog atau seminar untuk membincangkan isu berkaitan dengan pokok berusia dan keselamatan awam.

Tidak salah juga jika kita menoleh kepada negara maju dengan mencontohi kaedah mereka mengekalkan pokok warisan di samping menjaga keselamatan orang awam di persekitaran kawasan tersebut. Mereka mempunyai pelbagai teknik yang boleh disuai padan dengan situasi dan cuaca di negara ini.

Di United Kingdom, negara tersebut mempunyai program pemuliharaan pokok tua yang dipanggil Ancient Tree Preservation. Program ini dikendalikan oleh agensi pemuliharaan semula jadi yang dikenali sebagai Natural England. Program ini memberikan fokus kepada pengurusan profesional pokok berusia, termasuklah penilaian risiko, pemeliharaan dan pemulihan. Terdapat garis panduan khusus untuk pengurusan pokok berusia di kawasan awam dan perumahan yang mengambil kira aspek keselamatan dan pemeliharaan habitatnya.

Jerman pula mempunyai undang-undang yang ketat untuk melindungi pokok yang berusia daripada pengalihan atau pemotongan tanpa kebenaran. Setiap bandar pula mempunyai pegawai pokok yang bertanggungjawab memantau kesihatan dan keselamatan pokok berusia di kawasan awam. Terdapat juga program pendidikan dan kesedaran awam yang aktif mengenai kepentingan pokok berusia dan cara menjaganya.

Daripada penerangan di atas, jelaslah bahawa antara langkah proaktif yang boleh dilaksanakan agar pokok berusia dilindungi tanpa mengabaikan keselamatan awam adalah dengan menggabungkan pendekatan undang-undang, pengurusan berasaskan risiko dan pendidikan awam. Tindakan yang diketengahkan itu juga haruslah melibatkan kerjasama antara pihak berkuasa, komuniti tempatan dan pakar dalam bidang berkaitan demi mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dengan keselamatan orang awam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.