10 Februari 2022, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Perkembangan sektor agromakanan berdasarkan Laporan Suku Ketiga Tahun 2021 mencatatkan angka yang memberangsangkan menerusi peningkatan sebanyak lima peratus. Selain itu, sumbangan sektor agromakanan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus. Namun begitu, cabaran pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan kesan daripada banjir telah menjejaskan aktiviti rantaian sektor makanan di Malaysia,” kata Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia dalam program wawancara “Dialog Industri AgroMakanan: Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan” yang bersiaran secara langsung menerusi program Malaysia Hari Ini di TV3 pada 8 Februari 2022 lalu.

Dato’ Haslina Abdul Hamid dalam program wawancara “Dialog Industri AgroMakanan: Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan”.

Secara keseluruhannya, program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ini membincangkan tentang penganjuran dialog industri makanan di Malaysia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh MAFI bersama-sama semua pemain industri demi memastikan kualiti bekalan makanan di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Hal ini dapat memastikan kualiti bekalan makanan di Malaysia sentiasa mencukupi meskipun keadaan dunia kini terus menempuh cabaran pandemik COVID-19, bencana banjir dan pelbagai bencana alam.

Tema yang difokuskan dalam dialog ini, iaitu “Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan” telah menzahirkan hasrat kerajaan dalam memastikan semua objektif yang digariskan dalam pelan tindakan agromakanan tercapai menerusi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025. Ringkasnya, MAFI mempelawa pihak yang berkepentingan untuk menyerlahkan transformasi industri agromakanan di Malaysia.

“Misi dan matlamat MAFI adalah untuk memastikan sekuriti makanan di Malaysia dan pemain industri makanan di Malaysia terpelihara,” kata Dato’ Haslina Abdul Hamid semasa diwawancara dalam program tersebut.

Antara barisan panel yang terlibat dalam program ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Turut hadir memberi sokongan dalam program ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I dan Yang Berhormat Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.