11 Januari 2022, 22:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pandemik menuntut masyarakat untuk sentiasa bersedia dengan segala perubahan. Kebanyakan pekerja telah kembali bekerja di pejabat masing-masing sepenuhnya setelah sekian lama bekerja dari rumah. Perubahan ini menyebabkan segelintir masyarakat mengalami stres kerana perlu berhadapan dengan faktor kesesakan jalan raya dan sebagainya. Oleh itu, Sekretariat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan webinar yang bertajuk Apa Kesan Stres terhadap Kesihatan Jantung? hari ini secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan Facebook rasmi Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Webinar yang berlangsung selama satu jam setengah itu dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Darfizzi Derawi, pensyarah UKM selaku moderator, manakala tetamu jemputan dalam program tersebut ialah Dr. Iskandar Mirza Amran, Felow Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara yang juga merupakan ahli MedTweetMY.

Menurut Dr. Iskandar Mirza, setiap orang mempunyai stres. Walau bagaimanapun, stres yang berlaku dalam masa panjang adalah suatu yang tidak sihat. Hal ini demikian kerana terdapat rembesan hormon yang boleh merosakkan kesihatan jantung apabila berlaku stres. Seseorang yang mengalami stres akan merembeskan dua jenis hormon, iaitu kortisol dan adrenalina. Kedua-dua hormon ini menyebabkan degupan dan tekanan jantung meningkat seterusnya menyebabkan peningkatan tenaga dan gula dalam darah.

Tambah beliau, jika stres berlaku dalam tempoh masa yang singkat, keadaan ini adalah normal. Walau bagaimanapun, jika situasi ini berlaku dalam jangka masa panjang, individu tersebut berisiko untuk menghidap darah tinggi. Keadaan ini menyebabkan otot jantung membengkak sehingga menyebabkan darah yang masuk ke dalam jantung berkurangan. Akhirnya, fungsi jantung akan terjejas sehingga mengakibatkan serangan jantung dan strok.

Dr. Iskandar Mirza turut menjelaskan pelbagai faktor yang membolehkan seseorang itu mengalami stres adalah seperti masalah keluarga, masalah di tempat kerja dan paling utama pada zaman pandemik ini ialah masalah kewangan. Setiap orang mempunyai tahap stres yang berlainan dan cara yang berlainan untuk mengawal stres tersebut, termasuklah melakukan sesuatu aktiviti yang tidak sihat.

Beliau berkata, “Ada antara individu memilih merokok untuk mengawal stres sehingga merokok secara berlebihan dan akhirnya menyebabkan individu tersebut mendapat serangan jantung dan strok. Terdapat juga golongan yang memilih untuk makan secara berlebihan dan memakan makanan yang tidak sihat apabila stres sehingga mengalami obesiti, akhirnya mendapat serangan jantung. Seseorang yang stres juga kebanyakannya memilih untuk tidak aktif sehingga membawa kepada serangan jantung.”

Mengulas lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda awal seseorang itu mengalami stres, iaitu sakit kepala, sakit belakang dan sakit perut. Bagi seseorang yang telah mengalami stres kronik pula mungkin mempunyai simptom seperti rasa kurang bertenaga, tidur tidak lena, mudah marah, dan pelupa.

Menurut Dr. Iskandar Mirza lagi, antara kesihatan mental negatif yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat serangan jantung dan strok ialah kemurungan, stres yang kronik, kebimbangan, kemarahan, pesimisme, dan rasa tidak puas hati dengan kehidupan. Hal ini demikian kerana kesan kesihatan mental negatif dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan degupan jantung tidak sekata, masalah pencernaan, peningkatan tekanan darah, peningkatan tahap keradangan dalam badan, dan pengurangan pengaliran darah ke otot jantung.

Kesihatan mental positif sangat penting dalam diri seseorang kerana mampu mengurangkan tekanan darah, kawalan gula yang optimum, pengurangan kadar keradangan dan pengurangan paras kolesterol yang boleh mengelakkan diri daripada serangan jantung dan strok.

Beliau turut mencadangkan beberapa aktiviti untuk mengurangkan stres seperti bersukan, meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, mendapat tidur yang secukupnya, mengamalkan teknik relaksasi, dan mencari hobi yang membina.

Dr. Iskandar Mirza turut menasihatkan agar individu yang mengalami stres untuk berjumpa dengan kaunselor, ahli psikologi atau pakar psikiatrik bagi mendapatkan pandangan dan rawatan lanjut jika segala usaha yang dilakukan tidak berhasil bagi mengelakkan stres tersebut berlanjutan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.