Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cabaran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah Malaysia semenjak awal tahun 2020 telah mendorong masyarakat melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan seharian dalam keadaan penjarakan fizikal dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih berwaspada. Pelbagai perancangan dan pelaksanaan aktiviti mengalami penyesuaian semula dan dilaksanakan secara dalam talian mengikut kebiasaan baharu. Hal sedemikian berlaku secara ketara dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang pendidikan. Secara tidak langsung, keadaan tersebut membuka peluang kepada individu untuk menambah baik kapasiti dan kompetensi diri dengan kemahiran digital serta menjadi lebih mahir berkomunikasi secara maya di samping dapat mengurus kestabilan mental, emosi dan fizikal.

Seiring dengan persekitaran itu, perancangan dan pelaksanaan aktiviti Program MOSTI Mentor-Mentee STEM peringkat Universiti Malaya (UM) dan Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan (SRIDE), Subang Jaya turut mengalami penyelarasan semula pada tahun 2021. Signifikannya, penyelarasan tersebut telah membantu menyerlahkan keunggulan ilmu falak melalui aktiviti STEM, terutamanya apabila melibatkan penerapan tulisan Jawi dan karya Jawi ulama tempatan dalam aktiviti STEM.

Menyentuh tentang aspek pengertian ilmu falak yang secara umumnya dikenali sebagai astronomi, hasil penelitian penulis sepanjang penyelidikan dan pembangunan Pintar al-Aflak bermula daripada peringkat BK065-2017 hingga peringkat GA008-2020, pengertian tersebut tidak sesuai disamakan. Hal ini dikatakan demikian kerana astronomi lebih cenderung dan berpusatkan pengalaman cerapan inderawi dan perumusan akliah insan semata-mata. Daripada perspektif yang berbeza, ilmu falak dalam pandangan sarwa Islam adalah berpusatkan sumber wahyu dan dilengkapi dengan cerapan inderawi dan kemahiran akliah. Namun begitu, pembezaan sedemikian tidaklah memutuskan keterkaitan ilmu falak dan astronomi.

Dalam perkembangan sejarah ilmu pengetahuan mengikut peradaban, pemahaman terhadap realiti angkasa raya dan segala wujudnya dalam konteks tamadun asing adalah dipengaruhi oleh pandangan sarwa tamadun terbabit. Dalam tamadun Yunani, pemahaman tersebut berakarkan mitos kedewaan dan spekulatif akal. Berbanding dengan tamadun India yang memahami realiti angkasa raya berakarkan ajaran Hindu, manakala fahaman berasaskan budaya Cina dapat dilihat dalam tamadun Cina.

Perutusan syariah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah memurnikan pandangan insan terhadap hakikat angkasa raya dan alam tabii seluruhnya. Dalam konteks ilmu falak, sumbangan terpenting tamadun Islam adalah dengan menempatkan bidang ini berpusatkan wahyu yang menjunjung nilai ketauhidan, kehambaan, keadilan dan keihsanan sambil mendukung peningkatan kapasiti dan kompetensi insan dalam aktiviti saintifik yang melibatkan kemahiran mencerap, menaakul dan menghitung.

Menyoroti sisi keunggulan ilmu falak menerusi sejarah perkembangan sains Islam, antaranya ketika era khalifah Ar-Rasyidin dalam pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab, penyusunan taqwim Hijrah dapat dilihat menjadi tanda aras penting bahawa peranan ilmu falak bukan hanya untuk tujuan ibadah semata-mata, namun turut diperluaskan untuk kegunaan dan kemudahan awam. Keunggulan ilmu falak juga terserlah dalam ketenteraan. Misalnya, semasa era khalifah Abbasiyyah dalam pemerintahan Khalifah al-Ma’mun, ilmu falak begitu berkembang pesat kerana minat khalifah itu sendiri. Khalifah al-Ma’mun menaungi pelbagai aktiviti ilmu falak. Salah seorang tokoh terkemuka ketika itu ialah Sanad ibn Ali. Menurut al-Biruni, Sanad ibn Ali telah dapat menghitung sudut junaman matahari ketika terlibat bersama-sama dalam kempen ketenteraan memerangi Rom Byzantin yang diarahkan oleh Khalifah al-Ma’mun. Penghitungan terbabit telah memudahkan Sanad ibn Ali menghitung ukur lilit bumi dan selepas itu kaedahnya digunakan oleh al-Biruni.

Kemudian, ketika era khalifah Uthmaniyyah dalam pemerintahan Sultan Salim II dan Sultan Murad III, antara ilmuan falak dan sarjana sains yang serba mahir (polymath) terkemuka ialah Taqi al-Din ibn al-Maruf. Karya beliau bukan sahaja dalam ilmu falak, bahkan meliputi kejuruteraan, matematik, optik, mekanik dan falsafah tabii. Beliau merupakan Ketua Balai Cerap Istanbul dan telah membangunkan peralatan sfera armileri dan jam mekanikal yang telah beliau gunakan dalam cerapan peristiwa Komet Besar 1577. Berdasarkan cerapan terbabit, beliau telah memprediksi kemenangan tentera Uthmaniyyah memerangi Safavids. Ketika era Uthmaniyyah berada dalam pertengahan abad ke-19, peranan ilmu falak dalam ketenteraan begitu terserlah, terutamanya melalui dua tokoh falak Uthmaniyyah ketika itu, iaitu Mahmud Bey Hamdi dan Ismaʿil Effendi Mustafa. Selain itu, penterjemahan karya tokoh astronomi Perancis, iaitu Jérôme de Lalande bertajuk Abrégé d’Astronomie ke dalam Bahasa Arab pada tahun 1808 bertajuk al-Mukhtasar fi ʿIlm al- Falak turut membawa kemajuan ilmu falak di Turki. Karya Lalande telah membantu memantapkan peranan ilmu falak dalam ketenteraan Uthmaniyyah, terutamanya untuk tujuan navigasi kelautan.

Berdasarkan peranan ilmu falak dalam sejarah perkembangannya, secara ringkasnya terdapat dua matra yang berbeza. Pertama, aspek astrologi yang berkaitan dengan peramalan dan kedua, iaitu aspek saintifik yang terdiri daripada cerapan, taakulan, penghitungan dan kemampuan membangunkan instrumentasi. Aspek astrologi itu memang diketahui jelas bercanggahan dengan syariah Islam dan mestilah ditinggalkan. Walau bagaimanapun, aspek saintifik yang merangkumi cerapan, taakulan, penghitungan dan instrumentasi bukan sahaja menjadi signifikan dan diterima dalam kerangka syariah Islam yang membantu pelaksanaan aspek ibadah, aspek tersebut juga terbukti berperanan penting dalam menjaga kemaslahatan awam.

Justeru, dalam konteks semasa, ilmu falak perlulah sentiasa dipugarkan dan STEM merupakan wadah yang paling sesuai bagi menyerlahkan peranannya dalam persekitaran kebiasaan baharu yang berhadapan dengan COVID-19. Untuk itu, bermula pada Mac hingga April 2021, Program MOSTI Mentor-Mentee STEM UM-SRIDE telah disusun semula dengan pelaksanaan bengkel bersiri pemantapan mentor yang melibatkan seramai 22 orang mentor pelajar dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, UM (JFU, APIUM). Siri bengkel terbabit telah dijalankan dengan matlamat untuk memantapkan kemampuan para mentor membangunkan modul STEM melalui ilmu falak dan melaksanakannya secara dalam talian. Di samping itu, aspek pembinaan semangat berpasukan, kesukarelawanan dan keusahawanan turut diterapkan secara tidak langsung. Pada akhir bengkel, para mentor telah membentuk dua pasukan yang masing-masing terdiri daripada 11 orang mentor, iaitu Pintar al-Qamar yang diketuai oleh Mohamad Luqman Hakim Mohd Noor dan Pintar al-Najm yang diketuai oleh Abdullah Faiq Irfan  Abdullah.

Pasukan Pintar al-Qamar telah mengadakan Webinar STEM & Pintar al-Qamar pada 26 Mei 2021 (Rabu) dengan topik “Hikmah Bulan dalam Ibadah Umat Islam” disampaikan oleh Muhammad Adib Hakimi Muhammad Tzauazmi dan Siti Syazwani Mustafar. Sementara itu, pasukan Pintar al-Najm telah menganjurkan Webinar STEM & Pintar al-Najm pada 2 Jun 2021 (Rabu) dengan penyampaian topik berkaitan “Evolusi Bintang: Hikmah ke Atas Kehidupan Manusia” yang disampaikan oleh Naimmatul Nazuha binti Bakar dan Wan Nur Ain Sabrina binti Wan Zamri. Kedua-dua webinar ini telah melibatkan penyertaan seramai 159 orang peserta daripada peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.

Sesi penutupan Program MOSTI Mentor-Mentee STEM UM-SRIDE turut dilaksanakan secara dalam talian pada 14 Ogos 2021 (Sabtu) melalui Program Jawi STEM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan STEM Kebangsaan (NSA), Pusat STEM UM, SRIDE dan Pasukan Aljawi JFU, APIUM. Ketua Pusat STEM UM, YBhg. Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar bertindak sebagai penyelaras induk program, manakala YBhg. Dr. Mohammaddin Abdul Niri sebagai penyelaras kerja dan Puan Kamariah Nasir, Guru Besar SRIDE dilantik sebagai Penyelaras SRIDE.

Perjalanan Program Jawi STEM berlangsung dalam dua sesi. Webinar Kebangsaan JawiSTEM dengan tema “Memperkasakan Jawi Wahana STEM” telah berlangsung pada sesi pagi yang melibatkan pelajar sekolah rendah sebagai sasaran khalayaknya. Webinar tersebut telah dikendalikan oleh Muhammad Adib Hakimi Muhammad Tzauazmi dan aktiviti STEM yang turut dijalankan bersama-sama para peserta.  Sesi tersebut menekankan kemahiran menaakul dan menghitung dengan penerapan elemen Jawi melibatkan kitab al-Durr al-Thamin karangan al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani yang merupakan karya ilmu aqidah Islam dan kitab Sullam al-Nayyirain fi Ma’rifah al-Ijtima’ wa al-Kusufain karangan al-Syaikh Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Betawi, iaitu karya ilmu falak yang berkaitan dengan fenomena gerhana.

Pada sesi petang pula, forum yang bertajuk “Potensi Jawi dalam Lapangan STEM” telah diadakan. Program tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris, Pengerusi NSA. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan tokoh bahasa, YBhg. Prof. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan turut diundang untuk menyampaikan ucaptama. Turut hadir sebagai panel forum ialah YBhg. Prof. Madya. Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, pensyarah dari Universiti Putra Malaysia dan Tuan Haji Salehuddin Haji Arshad, yang merupakan Munsyi Dewan (Jawi).

Program Jawi STEM yang julung-julung kalinya diadakan menyentuh tentang potensi Jawi untuk aktiviti saintifik. Secara keseluruhannya, program ini telah dihadiri oleh 420 peserta daripada pelbagai peringkat umur merangkumi pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan awam. Maklum balas yang diterima banyak membantu dalam pembaikan dan penambahbaikan modul Pintar al-Aflak. Kini terbukti bahawa Pintar al-Aflak mampu melestarikan ilmu falak dan Jawi dalam kerangka aktiviti STEM. Tidak mustahil dengan koordinasi ilmu falak, khazanah Jawi dan aktiviti STEM, Pintar al-Aflak boleh menyerlahkan semula keunggulan sains Islam untuk membantu kemajuan  Malaysia dalam STIE, iaitu sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Content is protected !!