Oleh Mazni Mat Zin
14 Oktober 2021, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan antara pengeluar makanan laut terbesar di Asia Tenggara, maka tidak hairan jika hasil laut merupakan hidangan protein utama masyarakat setempat. Berdasarkan kajian The Worldwide Fund for Nature (WWF), menjelang tahun 2050, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan berdasarkan berat.

Malaysia merupakan antara negara Asian yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa plastik kepada alam sekitar. Sifat plastik yang tahan lama, murah, dan mudah didapati menjadikan penggunaanya meluas bukan sahaja di sektor industri, malah dalam kalangan masyarakat.

Peningkatan pengeluaran plastik dunia merupakan punca penyelewengan dalam penggunaan dan pengurusan bahan tersebut. Oleh hal yang demikian, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan Roadmap Towards Zero SingleUse Plastic 2018–2030 untuk mengawal pengeluaran dan pengurusan sisa plastik.

Pembuangan sisa plastik, terutamanya di persekitaran akuatik mengundang isu dan masalah sejagat. Kesan tindakan alam semula jadi seperti cahaya matahari, ombak dan kesan jangka panjang akan menyebabkan sisa plastik berubah kepada partikel yang dikenali sebagai mikroplastik.

Mikroplastik ialah kepingan plastik kecil yang kurang daripada 5 milimeter panjang yang boleh membahayakan hidupan lautan dan akuatik. Sifat mikroplastik yang kecil inilah yang mengancam hidupan marin.

Berdasarkan kajian, ada hidupan marin yang mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik. Yang lebih membimbangkan ialah bahan plastik yang dimakan oleh hidupan marin masih tersimpan dalam sistem badannya. Keadaan ini sekali gus mencetus fenomena mikroplastik yang menjadi tumpuan masyarakat dunia hari ini. Hal ini demikian kerana mikroplastik menjadi sebab kewujudan plastik dalam sistem pencernaan manusia.

Kajian membuktikan bahawa mikroplastik wujud dalam haiwan laut  yang menjadi sumber protein utama manusia. Kerang hijau atau nama saintifiknya Perna veridis, adalah antara haiwan yang menjadi tumpuan kerana sifatnya sebagai pemakan menuras atau filter feeder dan menjadi sumber protein kepada manusia. Kerang hijau banyak ditemukan di selatan tanah air, iaitu di Johor yang merupakan pengeluar kerang utama di Malaysia.

Peningkatan kawasan perindustrian, sikap masyarakat dan kegiatan perikanan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pembuangan plastik ke dalam air sekali gus menyumbang kepada peningkatan mikroplastik.

Mikroplastik dalam kerang dan makanan laut yang lain menjejaskan kesihatan manusia kerana manusia memakan isi kerang secara menyeluruh tanpa mengasingkan saluran pencernaan kerang. Makananan laut tersebut terkumpul dalam tubuh manusia melalui rantaian makanan, menjejaskan kesihatan sejagat Walaupun risikonya terhadap kesihatan manusia masih pada peringkat kajian, tetapi beberapa jenis plastik yang dikenal pasti, boleh melarut resapkan toksin.

Bagi menjamin hasil makanan laut yang sihat dan selamat, masyarakat digesa agar bertindak secara positif dan proaktif dengan mengurangkan pembuangan sisa plastik ke persekitaran, terutamanya  ke dalam sungai dan laut. Makanan laut yang terancam ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada kesihatan individu dan masyarakat, malah menjadi beban kepada sistem kesihatan awam.

Tinjauan penulis di sekitar kawasan peternakan kerang hijau di Selat Tebrau, Johor.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penulis membuat pengecaman mikroplastik dalam kerang hijau di dalam makmal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.