24 Ogos 2021, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun jumlah pendaratan ikan pari sedikit, tetapi nilai pasarannya adalah tinggi. Fakta ini dikupas oleh Dr. Ahmad Ali, mantan Pengarah Kanan, Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) yang juga penulis Ensiklopedia Pari dalam rancangan “Peka Bahasa: Ensiklopedia Pari: Kenali Ikan Pari” yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebentar tadi.

Menurut Ahmad, ikan pari mempunyai banyak perbezaan daripada ikan lain. Insang ikan pari ada di bawah badannya. Selain itu, ikan pari membiak secara beranak. Gigi ikan pari leper dan ususnya pula pendek. Tulang ikan pari ialah tulang rawan dan boleh dimakan.

Beliau menjelaskan alat pembiakan ikan pari yang dinamakan “klasper” dapat menentukan tahap kematangan ikan pari jantan. Klasper terletak di pangkal ekor ikan pari. Nelayan atau individu yang ingin menentukan status kematangan ikan pari boleh memegang klasper dengan menggunakan jari. Klasper yang keras menandakan kematangan ikan pari. Manakala, klasper yang lembik menandakan bahawa ikan pari itu belum matang.

Sesi penerangan tentang ikan pari bersama-sama Dr. Ahmad Ali.

Tambah beliau, Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) melalui ISMAT menjalankan beberapa kajian di beberapa batang sungai. Sebagai contohnya, di sungai sekitar Gua Musang, Sungai Jeli dan Sungai Pergau yang sememangnya terdapat ikan pari air tawar walaupun jumlahnya sedikit.

Penemuan spesies ikan pari air tawar ini telah dimaklumkan kepada JPM untuk tindakan agar dapat diuruskan secara lestari bagi mengelakkan kepupusan jika dieksploitasi secara tidak terkawal.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 1990, terdapat sebanyak 84 spesies ikan pari, termasuklah ikan pari air tawar daripada 14 keluarga di Malaysia. Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas Indonesia yang memiliki sebanyak 106 spesies ikan pari.

Tambah Ahmad lagi, sebanyak 1.5% ikan pari adalah daripada pendaratan ikan marin. Walaupun jumlah pendaratan ikan pari sedikit, tetapi nilai pasarannya adalah tinggi. Oleh itu, status sumber ikan pari di Malaysia masih konsisten dan stabil berbanding dengan negara-negara jiran.

Para nelayan dinasihati agar melepaskan anak-anak ikan pari bagi memastikan kelestarian sumber ikan pari. Jika kita menangkap induk ikan pari dan anaknya, lama-kelamaan populasi ikan pari akan pupus.

Mengakhiri bicara, Ahmad berharap agar Ensiklopedia Pari yang menyenaraikan 100 spesies ikan pari daripada hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik JPM bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mampu dijadikan rujukan kepada masyarakat di samping memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk melestarikan ikan pari.

Ensiklopedia Pari yang ditulis oleh Dr. Ahmad Ali, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Video rancangan “Peka Bahasa: Ensiklopedia Pari: Kenali Ikan Pari” boleh ditonton di sini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.