Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan mampan menerusi penganjuran Sustainability Excellence Awards (SEA) 2025 bagi mengiktiraf kecemerlangan warga PPPJJ dalam memperkasakan amalan kelestarian merentas bidang penyelidikan, pendidikan, inovasi dan khidmat komuniti.
Majlis yang berlangsung di Laman Lestari PPPJJ itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, YBhg. Profesor Dr. Azlan Amran dengan kehadiran para pensyarah, staf serta para penerima anugerah.
Memasuki edisi kedua penganjurannya, SEA 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan terhadap pencapaian individu dan kumpulan, malah berperanan sebagai pemangkin dalam membudayakan inovasi, kecemerlangan dan tanggungjawab sosial bagi memperkukuh amalan kelestarian secara menyeluruh dalam kalangan warga universiti.
Bertemakan “Fostering Sustainability, Driving Transformation”, program ini mencerminkan aspirasi USM untuk terus menerajui transformasi masyarakat melalui pendekatan pembangunan lestari yang inklusif dan holistik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Anugerah yang dipertandingkan meliputi kategori penyelidikan, penerbitan, perundingan, komuniti, institusi dan pelajar, yang masing-masing menyumbang kepada pembentukan ekosistem kelestarian universiti yang mampan, berimpak tinggi dan berdaya saing.
Penganjuran SEA 2025 turut diraikan seiring dengan kejayaan USM menduduki tempat kelima dunia dalam Times Higher Education Sustainability Impact Rankings 2026, sekali gus membuktikan komitmen berterusan universiti dalam menerajui agenda kelestarian pada peringkat global.
Lebih membanggakan, USM turut mengekalkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan Asia dalam penarafan tersebut, selain diiktiraf sebagai Universiti Nombor 1 Dunia bagi SDG 17: Partnership for the Goals, hasil kerjasama erat antara warga universiti, rakan industri, agensi kerajaan, komuniti dan jaringan antarabangsa.
Pencapaian berprestij itu diharapkan menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi, memperluas jaringan kolaborasi strategik serta memperhebat pelaksanaan inisiatif kelestarian yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengajaran Inovatif 2025, selain penyampaian sijil penyertaan dan anugerah kepada para penerima SEA 2025 sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkukuh agenda kelestarian universiti.
Program itu turut diisi dengan ceramah yang bertajuk “Membudayakan Kelestarian di Universiti: Menterjemah Komitmen kepada Transformasi” yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, USM, YBhg. Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd serta sesi perkongsian tentang Penang Hill Biosphere Reserve: Living Laboratory for Sustainability, Conservation and Community Engagement oleh Pegawai Projek Kanan Unit Pengurusan Rizab Biosfera, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, YBrs. Dr. Yang Kok Lee.
Melalui penganjuran SEA 2025, budaya kelestarian diharapkan akan terus diperkasakan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi serta jaringan komuniti, sekali gus menyokong aspirasi USM untuk kekal sebagai peneraju pembangunan lestari yang diiktiraf pada peringkat global.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab; timbalan-timbalan dekan, para pensyarah serta barisan pegawai utama pusat pengajian berkenaan.