Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh kecemerlangan akademik dan kompetensi profesional melalui penganjuran Lawatan Penasihat Luar (Akademik) Program Dietetik serta bengkel Practical Approaches to Obesity Management: Integrating Guidelines and Pharmacotherapy yang menampilkan pakar antarabangsa dari Deakin University, Australia.

Program tersebut menampilkan YBhg. Profesor Dr. Judi Porter yang merupakan Penasihat Luar (Akademik) Program Dietetik dan menurut Timbalan Pengerusi program, YBrs. Dr. Munirah Ismail, kehadiran beliau membuka peluang kepada warga akademik untuk mendapatkan pandangan pakar antarabangsa dalam menilai kurikulum sedia ada serta mengenal pasti penambahbaikan yang selari dengan perkembangan semasa dan piawaian pendidikan dietetik global.

Barisan pensyarah Program Dietetik, FSK, UKM bergambar bersama-sama YBhg. Profesor Dr. Judi Porter dari Deakin University, Australia.

Sepanjang lawatan, satu sesi libat urus bersama-sama pensyarah Program Dietetik telah diadakan bagi membincangkan pembangunan kurikulum, hasil pembelajaran program serta kompetensi graduan yang diperlukan dalam amalan dietetik pada masa ini, di samping pembentangan kurikulum oleh mantan Ketua Program Dietetik, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Aini Jamil dan Penyelaras Program Sarjana Dietetik Klinikal, YBrs. Dr. Havinder Kaur Gilcharan Singh yang menerima ulasan, pandangan strategik serta cadangan penambahbaikan daripada YBhg. Profesor Dr. Judi Porter bagi memperkukuh kualiti kurikulum dan kesediaan graduan memenuhi keperluan amalan dietetik pada peringkat antarabangsa.

Sesi pembentangan pertama oleh mantan Ketua Program Dietetik, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Aini Jamil.

Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan, YBhg. Profesor Dr. Judi Porter turut dibawa meninjau kemudahan pengajaran Program Dietetik yang merangkumi makmal antropometri, bilik simulasi dan makmal diet terapeutik bagi memperkenalkan fasiliti yang menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman serta latihan klinikal pelajar.

Sesi lawatan kemudahan pengajaran Program Dietetik YBhg. Profesor Dr. Judi Porter bersama-sama YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Aini Jamil dan beberapa orang pensyarah program ini.

Pada hari berikutnya, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Aini Jamil mengiringi beliau melawat Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk meninjau pelaksanaan latihan klinikal pelajar di wad pengajaran dan dapur hospital, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan perkhidmatan dietetik, penyediaan diet terapeutik, operasi perkhidmatan makanan serta penggunaan amalan dietetik dalam persekitaran klinikal, selain mengadakan sesi perkongsian bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan serta pegawai dietetik katering yang mengukuhkan jaringan kerjasama antara ahli akademik dan pengamal dietetik.

Sesi perkongsian bersama-sama kumpulan Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Lawatan akademik itu diteruskan ke Hospital Pakar Kanak-kanak UKM bagi memberikan pendedahan kepada perkhidmatan dietetik pediatrik dan kemudahan yang menyokong latihan klinikal pelajar, sekali gus memperkukuh integrasi antara pendidikan, penyelidikan dan amalan klinikal demi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan profesion pada peringkat antarabangsa.

Bersempena dengan lawatan tersebut, Program Dietetik turut menganjurkan bengkel Practical Approaches to Obesity Management: Integrating Guidelines and Pharmacotherapy yang menghimpunkan pelajar prasiswazah dan siswazah, pegawai dietetik, pegawai sains pemakanan serta ahli profesional kesihatan bagi meningkatkan kefahaman mengenai pendekatan pengurusan obesiti berasaskan bukti melalui integrasi garis panduan klinikal terkini, terapi pemakanan perubatan dan perkembangan farmakoterapi, selain disokong dengan perbincangan kes klinikal serta sesi soal jawab yang membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi amalan sebenar.

Bengkel Practical Approaches to Obesity Management: Integrating Guidelines and Pharmacotherapy disampaikan oleh YBhg. Profesor Dr. Judi Porter.

Penganjuran kedua-dua program ini mencerminkan komitmen Program Dietetik FSK, UKM dalam memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan semasa, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan pembangunan profesional berterusan, di samping menyokong aspirasi fakulti untuk memacu kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan profesional serta melahirkan graduan dietetik yang kompeten dan berdaya saing pada peringkat global.

Sesi perbincangan kes klinikal dan soal jawab yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi amalan sebenar.
Sesi fotografi YBhg. Profesor Dr. Judi Porter bersama-sama barisan pensyarah Program Dietetik dan pegawai dietetik Klinik FSK, UKM.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi