Diterbitkan pada 11 Mac 2026, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ancaman Senyap di Malaysia: Penyakit Lama Berulang Kembali

Penyakit berjangkit umpama musuh yang tidak kelihatan dan merebak dengan senyap sama ada di bandar pesat membangun mahupun di kawasan pinggir bandar. Tuberkulosis (Tibi), penyakit yang disangkakan telah terkawal kini kembali meningkat. Malaysia dikategorikan sebagai negara dengan jumlah kes yang sederhana, namun jumlah kes yang meningkat sejak kebelakangan ini menunjukkan trend yang amat membimbangkan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dan garis panduan kesihatan telah disediakan, tibi masih menjadi cabaran berterusan yang boleh meragut nyawa dan membebankan sistem kesihatan negara.

Peningkatan kes bukan sekadar statistik, malah realiti harian. Penyakit ini boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui udara. Seseorang yang menghidap tibi yang aktif boleh menjangkiti orang lain hanya melalui batuk, bersin ataupun ketika bercakap. Tanpa rawatan susulan, penyakit ini boleh merosakkan paru-paru dan akan merebak ke organ lain. Sungguhpun begitu, pesakit boleh sembuh sekiranya dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan betul. Namun demikian, peningkatan jumlah kes menunjukkan banyak orang yang mungkin tidak sedar bahawa mereka telah terdedah dengan jangkitan penyakit ini.

Memahami Tuberkulosis

Penyakit tibi berlaku disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis, sejenis bakteria berjangkit yang biasanya menyerang paru-paru. Bakteria ini merebak melalui titisan udara apabila pesakit batuk atau bersin. Berbeza dengan selesema biasa, penyakit tibi tidak menunjukkan gejala serta-merta. Seseorang boleh membawa jangkitan ini selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun tanpa menyedarinya. Antara gejala tibi termasuklah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, sakit dada, batuk berdarah, demam, berpeluh pada waktu malam dan penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas. Di Malaysia, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun mereka yang tinggal di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi dan individu dengan sistem imun yang lemah lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Mengapakah Kes Semakin Meningkat di Malaysia?

Terdapat beberapa faktor penyumbang kepada peningkatan kes tibi. Antaranya termasuklah kepadatan penduduk di kawasan bandar. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam, kehidupan yang padat dan interaksi sosial yang kerap memudahkan penyebaran penyakit ini. Pergerakan penduduk dan kemasukan pekerja asing juga memainkan peranan dalam penyebaran penyakit ini. Mobiliti manusia yang tinggi boleh membawa jangkitan daripada satu komuniti kepada komuniti yang baharu. Selain itu, faktor seperti kemiskinan, pengangguran, tahap pendidikan rendah dan keadaan tempat tinggal yang kurang memuaskan meningkatkan lagi risiko seseorang menghidap tibi aktif.

Penyelesaian Tradisional untuk Cabaran Moden: Halia Memberikan Harapan

Sementara pakar sedang berusaha mencari vaksin dan ubat baharu, sains kini kembali melihat kehebatan perubatan tradisional. Halia (Zingiber officinale), rempah yang telah digunakan ribuan tahun dalam masakan dan perubatan Asia, kini dikaji kerana potensinya dalam menyokong fungsi kesihatan pernafasan dan sistem imun. Halia mengandungi lebih 100 sebatian aktif termasuk gingerol dan shogaol yang mempunyai pelbagai manfaat biologi. Halia bukan sekadar penambah rasa dalam masakan, tetapi berpotensi membantu tubuh melawan jangkitan dan menguatkan pertahanan semula jadi badan.

Keupayaan Antimikrob Halia

Satu daripada kelebihan utama halia ialah sifat antimikrobnya. Kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak halia boleh menghalang pertumbuhan pelbagai bakteria berbahaya, termasuk bakteria yang kebal terhadap sesetengah antibiotik. Kehebatan ini berpunca daripada gabungan minyak pati dan sebatian fenolik unik yang terkandung secara semula jadi dalam halia. Tahap keberkesanannya juga dipengaruhi oleh kaedah pemprosesan serta tahap kepekatannya. Perkara ini amat penting kerana rintangan antibiotik kini menjadi ancaman kesihatan global. Lebih menarik, halia juga menunjukkan kemampuannya melawan bakteria tahan asid, iaitu kumpulan bakteria yang menjadi punca penyakit tibi. Walaupun lebih banyak kajian diperlukan, penemuan ini menunjukkan halia mungkin berpotensi sebagai sokongan tambahan kepada rawatan konvensional.

Menguatkan Sistem Imun Secara Semula Jadi

Selain membunuh bakteria, halia membantu menguatkan sistem imun. Sistem imun yang kuat membantu tubuh melawan jangkitan tibi dengan lebih berkesan dan mempercepat proses penyembuhan. Halia bertindak sebagai agen imunomodulator, membantu mengawal dan menstabilkan tindak balas imun. Halia juga mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif, dua faktor yang boleh melemahkan sistem pertahananan badan. Sifat antioksidannya membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas. Kesan antiradang halia juga memainkan peranan penting. Walaupun keradangan merupakan tindak balas semula jadi terhadap jangkitan, namun keradangan berlebihan boleh merosakkan tisu badan. Selain itu, halia turut membantu mengekalkan keseimbangan supaya sistem imun berfungsi secara optimum. Memandangkan tibi menyerang sistem pernafasan, manfaat halia terhadap kesihatan paru-paru amat relevan. Secara tradisionalnya, halia digunakan untuk merawat batuk dan masalah tekak. Sebatian aktif dalam halia membantu membuka saluran pernafasan dan menyokong kesihatan paru-paru.

Cara Mudah untuk Mengamalkan Halia

Halia mudah didapati dan sudah menjadi sebahagian daripada budaya makanan Malaysia. Halia segar boleh dijadikan sebagai pengganti teh dengan merendamnya ke dalam air panas selama lima minit hingga 10 minit. Halia juga boleh ditambah ke dalam sup, kari atau tumisan. Serbuk halia juga boleh digunakan sebagai alternatif. Namun demikian, penting untuk difahami bahawa halia bukan pengganti rawatan tibi, sebaliknya hanya berperanan sebagai sokongan kepada kesihatan secara keseluruhan.

Pendekatan Sokongan, Bukan Pengganti Rawatan

Jika anda mengalami batuk berpanjangan, demam, berpeluh pada waktu malam, atau penurunan berat badan yang mendadak tanpa punca, segera dapatkan pemeriksaan doktor. Rawatan tibi memerlukan antibiotik khusus yang perlu diambil secara konsisten selama sekurang-kurangnya enam bulan. Dengan menghentikan rawatan terlalu awal boleh menyebabkan kerintangan ubat yang jauh lebih sukar untuk dirawat. Halia boleh membantu menyokong imuniti, tetapi tidak boleh menggantikan rawatan perubatan. Gabungan rawatan moden dan gaya hidup sihat ialah pendekatan terbaik.

Kesimpulan: Rempah Lama untuk Cabaran Kini

Lonjakan kes tibi di Malaysia ialah satu “isyarat kecemasan” buat kita semua. Penyakit lama ini kembali mencabar kesihatan masyarakat moden hari ini. Walaupun puncanya rumit, kita mempunyai kelebihan, iaitu gabungan rawatan moden yang berkesan serta sokongan daripada amalan tradisional seperti penggunaan halia. Halia bukan ubat ajaib, tetapi mempunyai sifat antimikrob dan sokongan imun yang bermanfaat. Dengan menjadikan halia sebagai amalan harian dalam diet seimbang merupakan langkah mudah, kos efektif dan terbukti secara saintifik untuk menjaga kesihatan. Dalam menghadapi cabaran tibi, setiap usaha kecil amat bermakna. Pengetahuan, kesedaran, rawatan yang betul dan gaya hidup sihat ialah kunci untuk melindungi diri dan keluarga.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi