Diterbitkan pada 3 Mac 2026, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bayangkan seorang murid kecil yang sebelum ini keliru mengenal huruf, kini tersenyum apabila huruf tersebut “hidup” di hadapan matanya. Dalam dunia pendidikan moden yang semakin dipacu oleh sains dan teknologi, pembelajaran tidak lagi terhad kepada helaian buku dan papan putih. Teknologi pintar mula memainkan peranan penting dalam membantu murid memahami ilmu melalui pengalaman visual dan interaktif. Persoalannya, sejauh manakah inovasi digital benar-benar mampu membentuk cara murid belajar, khususnya dalam menguasai kemahiran asas yang menjadi tunjang kepada pembelajaran sepanjang hayat?

Apabila Membaca Menjadi Cabaran Awal

Kemahiran membaca sering dianggap sebagai kebolehan asas yang akan terbina secara semula jadi apabila kanak-kanak melangkah ke alam persekolahan. Hakikatnya, membaca ialah satu proses kognitif yang kompleks dan berlapis dan melibatkan keupayaan mengenal simbol tulisan, memadankan bunyi dengan huruf, mentafsir makna, serta memahami hubungan antara teks, visual dan konteks. Kegagalan menguasai kemahiran ini pada peringkat awal bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap keyakinan diri dan motivasi belajar murid.

Dalam konteks pendidikan bahasa Melayu di sekolah rendah, isu kelemahan kemahiran asas bacaan masih menjadi kebimbangan pendidik. Sebahagian murid masih menghadapi kesukaran mengenal huruf dan suku kata, manakala sebahagian yang lain sukar mentafsir bahan grafik dan bukan grafik. Kaedah pengajaran konvensional yang bergantung pada teks statik dan latih tubi sering kali gagal menepati cara otak kanak-kanak memproses maklumat dalam persekitaran digital hari ini. Keadaan ini menuntut pendekatan baharu yang lebih berasaskan sains pembelajaran dan sejajar dengan dunia visual yang semakin mendominasi kehidupan murid.

Teknologi sebagai Hasil Sains Kognitif

Perkembangan sains dan teknologi telah membuka ruang kepada pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan berasaskan pengalaman. Satu daripada teknologi yang semakin mendapat perhatian dalam bidang pendidikan ialah realiti terimbuh atau augmented reality (AR). Teknologi ini membolehkan elemen digital seperti imej tiga dimensi, animasi dan bunyi digabungkan dengan persekitaran sebenar secara serentak melalui peranti mudah alih.

Dari sudut sains kognitif, AR menyokong proses pembelajaran dengan merangsang pelbagai deria secara serentak. Otak manusia lebih mudah membina kefahaman apabila maklumat disampaikan melalui gabungan visual, auditori dan interaksi fizikal. Dalam pembelajaran membaca, pendekatan ini membantu murid mengaitkan bentuk huruf dengan bunyi dan makna secara lebih berkesan berbanding dengan pembelajaran berasaskan teks semata-mata. Integrasi pelbagai rangsangan ini sejajar dengan teori pembelajaran multimedia yang menegaskan bahawa pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila maklumat dipersembahkan melalui lebih daripada satu saluran kognitif.

Apabila Huruf Tidak Lagi Statik

Berpandukan potensi tersebut, sebuah aplikasi pembelajaran berasaskan AR dikenali sebagai Didik Baca-AR telah dibangunkan bagi menyokong penguasaan kemahiran asas bacaan bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun satu. Aplikasi ini direka untuk menjadikan huruf dan suku kata lebih “hidup” melalui gabungan visual, animasi dan bunyi, sekali gus membantu murid memahami konsep bacaan secara lebih konkrit.

Dalam Didik Baca-AR, huruf tidak lagi dipersembahkan sebagai simbol statik pada kertas atau skrin. Sebaliknya, huruf dan suku kata dipaparkan dalam bentuk animasi tiga dimensi yang disertai dengan sebutan bunyi dan elemen visual yang menarik. Pendekatan ini membolehkan murid belajar melalui pengalaman dan penerokaan, bukan sekadar melalui hafalan. Pembelajaran berasaskan pengalaman ini selari dengan pandangan sains pendidikan moden yang menekankan kepentingan interaksi aktif dalam membina kefahaman jangka panjang.

Guru dan Teknologi: Hubungan Simbiotik

Penggunaan teknologi dalam pendidikan sering menimbulkan persoalan sama ada peranan guru akan digantikan oleh mesin dan aplikasi digital. Namun begitu, realitinya teknologi pendidikan yang berkesan tidak pernah bertujuan untuk menggantikan guru. Sebaliknya, teknologi seperti AR berfungsi sebagai alat sokongan yang memperkasa pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pelaksanaan Didik Baca-AR, guru berperanan sebagai pemudah cara yang merancang aktiviti pembelajaran, membimbing murid dan memastikan penggunaan teknologi selari dengan objektif kurikulum. Maklum balas daripada guru menunjukkan bahawa aplikasi ini membantu memudahkan pengajaran kemahiran asas bacaan, terutamanya bagi murid yang lemah. Guru tidak lagi perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang rumit, sebaliknya dapat memanfaatkan aplikasi sebagai medium interaktif untuk menarik minat murid. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan kualiti pengajaran dan mewujudkan suasana bilik darjah yang lebih dinamik.

Murid, Motivasi dan Pembelajaran Bermakna

Dari perspektif murid, penggunaan AR menawarkan pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada kaedah konvensional. Murid didapati lebih terlibat secara aktif apabila elemen visual dan interaksi digunakan. Proses membaca yang sebelum ini dianggap sukar dan membosankan bertukar menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan mencabar minda.

Selain itu, interaksi secara langsung dengan elemen digital membantu murid memahami bentuk huruf dan suku kata dengan lebih jelas. Kesalahan bacaan dapat dikurangkan kerana murid dapat mengaitkan bunyi dengan visual yang dipaparkan. Lebih penting, pendekatan ini meningkatkan keyakinan murid untuk cuba membaca secara kendiri tanpa rasa takut melakukan kesilapan. Motivasi intrinsik yang terbina melalui pengalaman positif ini menjadi asas penting dalam pembentukan budaya membaca sejak peringkat awal.

Cabaran dalam Dunia Teknologi Pendidikan

Walaupun teknologi menawarkan pelbagai potensi, penggunaannya dalam pendidikan tidak terlepas daripada cabaran. Keberkesanan sesuatu teknologi bergantung pada reka bentuk yang mesra pengguna, kesesuaian kandungan dengan tahap murid serta tahap kesediaan guru dan sekolah. Teknologi yang terlalu kompleks atau sarat dengan elemen hiasan boleh mengganggu fokus pembelajaran dan membebankan pengguna.

Oleh itu, pembangunan aplikasi pendidikan perlu berpaksikan prinsip pedagogi dan sains pembelajaran. Teknologi harus berfungsi sebagai alat yang menyokong pembelajaran, bukannya menguasainya. Dalam konteks ini, penyelidikan pendidikan memainkan peranan penting untuk memastikan inovasi yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada murid dan guru, bukan sekadar memenuhi keperluan teknologi semata-mata.

Pendidikan Abad ke-21 dan Masa Hadapan Literasi

Penggunaan AR dalam pembelajaran membaca mencerminkan usaha ke arah pendidikan abad ke-21 yang menekankan literasi digital, kreativiti dan pemikiran kritis. Pendedahan awal kepada teknologi pendidikan membantu murid membina sikap positif terhadap pembelajaran dan inovasi. Pada masa yang sama, pendedahan ini menyediakan murid untuk menghadapi dunia yang semakin dipacu oleh teknologi.

Dalam kerangka Revolusi Industri 4.0, pendidikan tidak lagi terhad kepada penguasaan kandungan akademik, sebaliknya turut menekankan keupayaan menggunakan teknologi secara bermakna dan beretika. Aplikasi seperti Didik Baca-AR menunjukkan bagaimana sains dan teknologi boleh dimanfaatkan untuk membentuk asas literasi yang kukuh dalam kalangan generasi muda.

Sains, Teknologi dan Tanggungjawab Pendidikan

Kesimpulannya, AR menawarkan satu pendekatan baharu dalam pembelajaran membaca yang menggabungkan sains kognitif, teknologi digital dan pedagogi bahasa. Apabila dirancang dengan teliti, teknologi mampu memperkasakan guru, meningkatkan pelibatan murid dan menjadikan pembelajaran lebih bermakna.

Dalam dunia digital yang semakinn pesat berkembang, cabaran sebenar bukanlah tentang teknologi perlu digunakan dalam pendidikan, tetapi cara atau kaedah teknologi digunakan secara bijaksana. Apabila huruf tidak lagi sekadar simbol, sebaliknya menjadi pengalaman interaktif, pembelajaran membaca berubah daripada satu tugas rutin kepada satu penerokaan ilmu yang mengujakan. Inilah wajah sains dan teknologi apabila diaplikasikan untuk memanusiakan pendidikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi