Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHuman Immunodeficiency Virus (HIV) merupakan virus yang menyerang sel dalam sistem imun manusia, khususnya sel CD4 yang memainkan peranan penting dalam perlindungan tubuh daripada jangkitan. Sejak kali pertama dikenal pasti pada awal 1980-an, HIV telah menjadi satu daripada cabaran kesihatan global yang signifikan. Di Malaysia, walaupun kesedaran tentang HIV semakin meningkat, masih terdapat jurang pemahaman yang luas dalam kalangan masyarakat tentang penyakit ini dan rawatannya. Lebih membimbangkan, stigma yang menyelubungi pesakit HIV terus menjadi halangan utama kepada rawatan yang berkesan.
Seiring dengan kemajuan dalam bidang perubatan, ubat antiretroviral didapati berkesan untuk membantu menjadikan HIV sebagai jangkitan kronik yang dapat diurus dengan baik. Rawatan ART merupakan gabungan ubat-ubatan yang bertindak dengan menghalang pembiakan virus HIV dalam badan. Fungsi ART dapat mengelakkan sistem imun pesakit menjadi terjejas akibat jangkitan yang dihidapi.
Rawatan ART kebiasaannya melibatkan kombinasi tiga atau lebih ubat antiretroviral yang berbeza. Kombinasi ubat antiretroviral ini dapat meningkatkan keberkesanan rawatan kerana setiap ubat tersebut akan bertindak pada pelbagai peringkat kitaran hayat virus HIV dan sekali gus mengurangkan risiko kerintangan virus HIV terhadap ubat-ubatan.
Satu daripada indikator yang digunakan untuk menunjukkan keberkesanan rawatan menggunakan ART ialah konsep undetectable=untransmittable (U=U). Konsep ini menjelaskan bahawa apabila seseorang pesakit HIV yang mengambil ART secara konsisten hingga jumlah virus dalam darah (viral load) mereka mencapai tahap yang tidak dapat dikesan (undetectable), maka risiko untuk mereka menularkan HIV kepada individu lain adalah sangat rendah (untransmittable).
Keberkesanan ART juga dapat dilihat melalui kualiti hidup pesakit yang meningkat secara ketara. Dengan mengawal paras viral load, sistem imun dapat dipulihkan dan pesakit dapat menjalani kehidupan normal seperti bekerja, bersekolah dan berkeluarga. Kepatuhan terhadap rawatan ART juga dapat meningkatkan purata jangka hayat pesakit HIV berbanding dengan pesakit yang tidak mendapatkan rawatan.
Walaupun ART terbukti berkesan mengurangkan risiko komplikasi HIV, isu kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan sentiasa menjadi cabaran. Ketidakpatuhan bermaksud pesakit tidak mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan atau berhenti mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu ketidakpatuhan.
Antaranya termasuklah stigma dan diskriminasi. Terdapat sebilangan besar pesakit HIV yang berdepan dengan diskriminasi daripada ahli keluarga, di tempat kerja dan komuniti. Kebimbangan sekiranya status diri pesakit diketahui menyebabkan mereka enggan mengambil ubat secara terbuka atau menghadiri janji temu perubatan secara berkala. Malah, segelintir pesakit tidak mengambil ubat-ubatan seperti diarahkan kerana ingin mengelakkan pertanyaan atau pandangan serong daripada orang sekeliling.
Selain itu, kesan sampingan ubat-ubatan juga menjadi cabaran kepada kepatuhan pesakit. Sesetengah pesakit mengalami kesan sampingan seperti loya, sakit kepala atau keletihan pada peringkat awal rawatan. Kebanyakan kesan sampingan akan berkurangan dengan sendiri selepas beberapa minggu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesan sampingan yang lebih serius dan dapat memberikan kesan kepada kualiti hidup pesakit. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan pesakit menjadi tidak bermotivasi untuk meneruskan rawatan.
Faktor peribadi pesakit turut mempengaruhi tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatan ART. Sebagai contoh, masalah kemurungan dan keresahan yang dialami serta ketiadaan sokongan moral daripada orang sekeliling memberikan cabaran kepada pesakit untuk kekal patuh. Di samping itu, sebilangan pesakit berdepan dengan kesukaran untuk hadir ke fasiliti kesihatan akibat terbeban dengan kos pengangkutan dan keperluan untuk hadir bekerja setiap hari.
Langkah untuk menangani punca bagi isu ketidakpatuhan harus dilakukan bagi memastikan rawatan HIV berjaya. Punca utama, iaitu stigma dan diskriminasi perlu dielakkan dalam kalangan masyarakat. Antara strategi yang boleh dilaksanakan temasuklah menerusi program kesedaran awam. Apabila masyarakat memahami bahawa individu yang mematuhi rawatan ART tidak berisiko untuk menularkan jangkitan, kebimbangan dan prasangka dalam masyarakat akan berkurangan.
Bukan itu sahaja, stigma dalam kalangan anggota kesihatan juga hendaklah dikurangkan. Anggota kesihatan harus melayan pesakit HIV tanpa prejudis, sama seperti pesakit lain. Kemudahan kesihatan yang mesra dan menjamin kerahsiaan akan menggalakkan pesakit untuk terus mendapatkan rawatan tanpa perasaan bimbang atau malu. Pesakit akan lebih terbuka untuk berbincang dengan anggota kesihatan tentang perkara yang menyumbang kepada ketidakpatuhan.
Di samping itu, inovasi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan rawatan harus dimanfaatkan untuk mempermudah akses rawatan kepada pesakit HIV. Contohnya, perkhidmatan teleperubatan boleh dipertimbangkan untuk membolehkan pesakit dipantau dengan lebih rapat oleh anggota kesihatan. Kerahsiaan pesakit juga dapat ditingkatkan. Bekalan ubat-ubatan antiretroviral pula boleh dihantar kepada pesakit melalui perkhidmatan nilai tambah seperti penghantaran terus ke rumah. Dengan mengurangkan halangan dari segi logistik, pesakit akan lebih bermotivasi untuk meneruskan rawatan.
Pesakit HIV bukan sahaja memerlukan sokongan dari segi perubatan, tetapi juga dari segi emosi dan psikologi. Kaunseling secara berkala dan perkongsian pengalaman dengan kumpulan sokongan dapat membantu pesakit menangani kemurungan, kebimbangan dan perasaan keseorangan. Nasihat yang diperoleh daripada sesi kaunseling boleh dijadikan panduan untuk pesakit menambah baik pengurusan penyakit dan ubat-ubatan di rumah.
Kesimpulannya, rawatan dengan ART terbukti berkesan untuk mengelakkan komplikasi HIV dan membolehkan penyakit HIV menjalani kehidupan yang sihat dan produktif. Namun demikian, kejayaan rawatan ini bergantung pada kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan. Oleh sebab itu, faktor yang menyebabkan ketidakpatuhan, seperti stigma dan diskriminasi, kesan sampingan ubat-ubatan serta isu logistik dan psikososial haruslah ditangani dengan baik.