Diterbitkan pada 3 November 2025, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap pergerakan kecil yang dilakukan oleh anak seperti menggenggam ibu jari, merangkak di ruang tamu dan melangkah buat kali pertama menandakan perjalanan penting dalam proses tumbesaran mereka. Bukan sekadar aktiviti fizikal, gerakan ini menjadi latihan awal bagi otak dan tubuh untuk berkomunikasi serta berfungsi secara harmoni.

Kemahiran yang mudah seperti mengikat tali kasut, menulis dengan menggunakan pensel atau memakai baju sendiri menjadi asas kepada keyakinan dan kebolehan berdikari dalam kalangan kanak-kanak. Keupayaan ini berpunca daripada perkembangan kemahiran motor, iaitu aspek penting dalam pembentukan kecekapan fizikal dan pengurusan diri.

Dalam hal ini, ibu bapa berperanan besar dalam memastikan anak membesar dengan sihat dan seimbang. Sejak lahir, kasih sayang, perhatian dan rangsangan awal daripada ibu bapa menjadi asas pembentukan diri anak. Dalam tempoh usia sifar hingga enam tahun, perkembangan kemahiran motor berfungsi sebagai asas kepada keupayaan tubuh untuk mengawal serta menyelaraskan pergerakan ketika melaksanakan tugasan harian dengan berkesan

Kemahiran Motor Kasar dan Halus

Kemahiran motor terbahagi kepada dua kategori, iaitu kemahiran motor kasar yang melibatkan pergerakan berskala besar seperti berjalan, berlari, melompat dan menendang bola. Kemahiran motor halus pula melibatkan pergerakan kecil dan tepat seperti memegang pensel, menyuap makanan, mengoyak kertas atau memasang butang baju.

Aspek kemahiran motor juga menjadi asas kepada kebolehan berdikari dalam pengurusan diri. Kanak-kanak yang mempunyai kawalan motor yang baik mampu melakukan aktiviti harian seperti berpakaian, menyikat rambut serta menggunakan sudu dan garfu secara kendiri. Perkembangan yang baik dalam kemahiran motor turut membantu membina keyakinan diri dan menggalakkan kebebasan dalam aktiviti seharian.

Kelewatan dalam perkembangan motor boleh menjejaskan keupayaan anak mengurus diri dan meningkatkan pergantungan terhadap orang dewasa. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak tipikal lazimnya mencapai tahap kematangan kemahiran motor sekitar umur enam tahun setengah. Namun begitu, sebahagian kanak-kanak di Malaysia menunjukkan kelewatan perkembangan motor yang boleh menjejaskan keupayaan berdikari dalam aktiviti asas seperti makan, menulis dan berpakaian.

Kesan Kelewatan Perkembangan Motor

Kelewatan perkembangan motor memberikan kesan bukan sahaja terhadap pembelajaran, malah melibatkan aspek emosi dan sosial. Kanak-kanak yang lambat menguasai kemahiran asas sering berasa rendah diri, malu dan cenderung untuk menjauhkan diri daripada rakan sebaya. Dalam keadaan tertentu, mereka mungkin menjadi sasaran ejekan atau buli kerana pergerakan mereka kelihatan berbeza daripada rakan lain.

Selepas pandemik, isu ini semakin ketara apabila peluang untuk melakukan aktiviti fizikal dan permainan luar semakin berkurangan. Banyak kanak-kanak menghabiskan masa di hadapan skrin televisyen, telefon pintar dan permainan video. Situasi ini mengehadkan penerokaan dan pergerakan bebas yang penting untuk merangsang perkembangan kemahiran motor secara semula jadi.

Rangsangan yang Tepat

Kemahiran motor dapat dipertingkat melalui rangsangan yang betul dan konsisten. Latihan berterusan sekurang-kurangnya empat minggu mampu menghasilkan perubahan yang ketara. Aktiviti seperti bermain di taman, memanjat, melompat, menyusun blok, menggunting atau bermain plastisin dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan serta kekuatan otot.

Jurupulih pekerjaan (occupational therapist) memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak. Pendekatan klinikal berasaskan permainan digunakan untuk memberikan rangsangan yang terancang dan menyeronokkan mengikut tahap keupayaan setiap individu. Setiap sesi terapi dirancang berdasarkan matlamat tertentu sama ada untuk meningkatkan kekuatan otot, memperbaiki koordinasi, menajamkan kemahiran manipulatif seperti menulis atau menggunting serta meningkatkan kecekapan dalam aktiviti pengurusan diri seperti berpakaian dan makan sendiri.

Pendekatan berstruktur dan sokongan berterusan daripada ibu bapa dapat mempercepat kemajuan perkembangan anak. Dalam kebanyakan kes, perubahan positif dapat diperhatikan dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas intervensi dilaksanakan dengan konsisten.

Nilai Terapeutik Aktiviti SebenarĀ 

Dalam era digital pada masa ini, banyak ibu bapa memperkenalkan gajet kepada anak seawal usia prasekolah dengan harapan dapat membantu proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, penggunaan gajet tidak mampu menggantikan nilai terapeutik aktiviti sebenar dalam pembangunan kemahiran motor.

Sebenanrnya, gerakan seperti menatal (scroll) dan meleret (swipe) pada skrin hanya melibatkan pergerakan kecil dengan tekanan yang minimum. Aktiviti menulis pula menggunakan pensel dan kertas melibatkan koordinasi otot halus, tekanan jari, kawalan pergelangan tangan serta integrasi deria. Proses ini membantu menguatkan otot tangan, memperbaiki koordinasi mata-tangan dan meningkatkan tumpuan anak.

Kajian menunjukkan bahawa aktiviti menulis di atas kertas mempunyai kesan terapeutik yang lebih menyeluruh kerana merangsang pelbagai sistem deria seperti proprioseptif (kesedaran kedudukan tubuh) dan sentuhan. Oleh itu, penggunaan gajet wajar dilihat sebagai alat sokongan pembelajaran dan bukan pengganti kepada pengalaman sebenar yang memberikan manfaat terapeutik serta fizikal kepada perkembangan anak.

Secara keseluruhannya, perkembangan anak memerlukan masa, kesabaran dan latihan yang berterusan. Setiap ibu bapa mempunyai keupayaan untuk membantu anak menjadi lebih berdikari melalui rangsangan yang sesuai. Pendedahan terhadap aktiviti fizikal, permainan dan pengalaman sebenar dapat mengukuhkan asas perkembangan kemahiran motor.

Kemahiran motor tidak berkembang secara automatik, sebaliknya perlu diasah melalui latihan yang konsisten dan sokongan daripada persekitaran yang kondusif. Melalui bimbingan yang betul, bantuan jurupulih pekerjaan serta aktiviti yang dilakukan secara berjadual sekurang-kurangnya selama empat minggu, perubahan positif dapat diperhatikan dalam aspek fizikal, keyakinan diri dan kebolehan anak untuk berdikari.

Dr. Noor Amiera Alias,
Fakulti Sains Kesihatan,
UiTM Cawangan Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi