Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernahkah kita terfikir bahawa begitu banyak perkara di sekeliling sebenarnya wujud, namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar? Hutan yang tampak hijau dan subur dari kejauhan barangkali menyembunyikan pokok yang sedang tenat akibat kekurangan air, serangan serangga atau jangkitan penyakit. Sungai yang kelihatan jernih dan tenang pula mungkin menyimpan rahsia pencemaran logam berat dan bahan kimia berbahaya. Hakikatnya, keupayaan penglihatan manusia amat terbatas dan hanya mencakupi spektrum cahaya tampak, iaitu gabungan warna merah, hijau dan biru yang sekadar menjadi sebahagian kecil daripada spektrum elektromagnet.

Namun begitu, dunia yang tidak kelihatan ini dapat “dihidupkan semula” melalui satu teknologi luar biasa yang dikenali sebagai penderiaan jauh atau remote sensing. Melalui penggunaan alat pengimbas khas, teknologi ini membolehkan manusia “melihat” maklumat yang tersembunyi di luar kemampuan atau kebolehan mata biasa.

Dalam dunia sains, konsep “alam ghaib” yang dimaksudkan bukanlah bersifat mistik. Konsep ini merujuk dimensi data dan spektrum yang tersembunyi yang kini dapat diteroka dengan bantuan teknologi dan ilmu pengetahuan.

Melihat yang Tidak Kelihatan

Penderiaan jauh berfungsi melalui penggunaan penderia yang dipasang pada satelit di angkasa, pesawat, dron atau kenderaan darat. Penderia ini menangkap spektrum cahaya yang dipantulkan oleh objek di permukaan bumi, termasuklah cahaya tampak, sinaran inframerah, gelombang mikro dan pelbagai jenis spektrum lain yang tidak dapat dikesan oleh mata manusia. Setiap spektrum yang diterima kemudiannya diterjemahkan menjadi imej berwarna palsu (false colour image) yang mengandungi maklumat saintifik yang tersendiri.

Penderiaan jauh membantu penyelidik untuk menilai perubahan landskap secara langsung di lapangan melalui peta digital berasaskan satelit.

Setiap cahaya dalam imej penderiaan jauh menjadi simbol kepada maklumat seperti suhu, kelembapan, kesuburan tanah, ketumpatan tumbuhan atau tahap pencemaran. Dalam erti kata lain, teknologi ini bertindak seperti “mata ghaib” yang membolehkan manusia menyingkap realiti tersembunyi di sebalik pandangan kasat mata dan dapat dijelaskan secara saintifik.

Mata Langit untuk Ladang di Bumi

Dalam bidang pertanian, penderiaan jauh telah mengubah sepenuhnya cara petani memahami tanaman mereka. Sebelum ini, penilaian terhadap kesihatan tanaman dilakukan secara pemerhatian fizikal dengan melihat warna daun, batang atau bunga. Kaedah tradisional ini juga sering terlambat kerana penyakit atau kekurangan nutrien hanya ditemukan setelah kerosakan berlaku.

Teknologi penderiaan jauh membantu memetakan kesuburan tanaman dan mengurus ladang dengan ketepatan saintifik.

Kini, petani dapat “melihat” ladang mereka daripada langit. Satelit atau dron yang dilengkapi dengan penderia inframerah mampu membezakan kawasan yang subur, kurang subur atau bermasalah melalui variasi pantulan cahaya daun. Setiap petak tanaman dapat dikenal pasti dengan tepat, malah koordinatnya boleh dikesan melalui sistem kedudukan global (GPS). Pendekatan ini membolehkan tindakan pembajaan, penyiraman atau kawalan penyakit dilakukan secara terarah, sekali gus menjimatkan masa, tenaga dan kos operasi.

Penderiaan jauh juga berfungsi seperti “doktor” kepada tumbuhan. Melalui analisis pantulan cahaya inframerah, penderia dapat mengesan perubahan kecil pada daun yang menandakan kehadiran tekanan fisiologi atau penyakit, lebih awal sebelum gejala dapat dilihat dengan mata kasar. Langkah pencegahan dan rawatan pula dapat dilaksanakan dengan lebih awal, sekali gus melindungi hasil tuaian dan meningkatkan kecekapan pengurusan ladang.

Memetakan Haba dan Air

Selain bidang pertanian, penderiaan jauh turut memainkan peranan besar dalam perancangan bandar dan pengurusan sumber air. Dalam konteks kehidupan moden, teknologi ini menjadi alat penting untuk memahami fenomena “pulau haba bandar”, yakni keadaan apabila kawasan bandar mencatatkan suhu yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kawasan sekitarnya akibat penyerapan haba oleh bangunan konkrit, jalan berturap dan kekurangan kawasan hijau.

Melalui penderia satelit, suhu permukaan bandar dapat dipetakan secara terperinci. Peta suhu ini mendedahkan kawasan yang paling terjejas oleh peningkatan haba, sekali gus membantu pihak berkuasa untuk merancang langkah penyejukan seperti menambah taman, kolam air atau penanaman pokok teduhan di lokasi yang dikenal pasti kritikal. Dengan cara ini, penderiaan jauh berperanan sebagai panduan dalam membina bandar yang lebih sejuk, sihat dan lestari.

Dalam pengurusan sumber air pula, penderiaan jauh menggunakan sinaran inframerah dekat (NIR) bagi menilai kualiti air sungai, tasik dan empangan. Walaupun permukaan air mungkin kelihatan jernih, penderia dapat mengesan perubahan pada pantulan spektrum cahaya yang menjadi petunjuk kepada tahap kekeruhan, kepekatan alga atau kehadiran bahan pencemar. Gabungan data imej satelit dan analisis makmal membolehkan penyelidik menghasilkan peta taburan pencemaran air dengan tepat serta mengenal pasti puncanya. Kaedah ini juga mempercepat tindak balas terhadap ancaman pencemaran dan menyokong pengurusan lestari sumber air negara.

Peranan Ketika Bencana

Dalam situasi bencana alam, penderiaan jauh berfungsi sebagai “mata pengintai” daripada langit yang sentiasa berjaga. Misalnya, ketika kebakaran hutan berlaku di kawasan terpencil, satelit dapat mengesan titik panas (hotspot) dan kepulan asap walaupun jauh dari penempatan manusia. Isyarat suhu yang direkodkan menjadi petunjuk awal untuk mengaktifkan amaran dan membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti lokasi yang perlu diselamatkan segera.

Data suhu yang diperoleh daripada penderiaan jauh menjadi petunjuk awal kepada bencana yang sukar dikesan oleh mata manusia.

Dalam kejadian banjir pula, imej satelit beresolusi tinggi membolehkan keluasan kawasan yang ditenggelami air dikenal pasti dalam masa singkat. Corak aliran air, kedalaman banjir dan tahap kerosakan juga dapat dinilai dengan lebih menyeluruh tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada pemerhatian di darat. Data yang diperoleh secara pantas dan tepat ini membantu pasukan penyelamat untuk membuat keputusan operasi seperti menentukan laluan bantuan, menyalurkan bekalan dan mengutamakan kawasan yang paling terjejas dengan lebih efisien.

Penderiaan jauh juga menjadi sistem sokongan keputusan yang mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda. Dalam era perubahan iklim yang semakin tidak menentu, teknologi ini menjadi barisan pertahanan awal dalam memahami dan menanggapi isyarat alam yang kian sukar diramal.

Antara Sains dengan Keajaiban Alam

Kepelbagaian aplikasi penderiaan jauh membuktikan bahawa setiap objek fizikal di dunia ini memantulkan spektrum cahaya sinar dan lutsinar dengan caranya yang tersendiri. Ada yang mampu kita lihat, ada yang tersembunyi di luar jangkauan mata, namun semuanya berhubung dalam jaringan sistem alam yang kompleks. Daripada sinaran inframerah hingga gelombang mikro, setiap spektrum cahaya membawa maklumat tentang kewujudan dan perubahan, seolah-olah bumi sedang berbicara dalam bahasa yang kini dapat ditafsirkan melalui sains.

Gabungan spektrum ini juga membuka ruang baharu kepada manusia untuk memahami planet ini dengan lebih mendalam melalui penelitian corak iklim, penjejakan kesan aktiviti manusia dan pengenalpastian isyarat awal perubahan alam. Lebih menarik, teknologi yang dahulunya hanya digunakan oleh saintis dan agensi besar kini berada dalam genggaman masyarakat umum. Dron dan kamera penderiaan jauh bersaiz kecil menjadikan petani, pelajar atau pengkaji bebas turut berpeluang meneroka dunia yang tidak kelihatan.

Dunia ilmu kini terbuka luas dan melangkau sempadan makmal dan institusi. Penderiaan jauh menjadi jendela yang menghubungkan manusia dengan bumi dengan mengingatkan kita bahawa sains adalah cara manusia untuk memahami keajaiban alam dengan mata baharu.

Menjelajah Masa Hadapan dengan Penderiaan Jauh

Masa hadapan teknologi penderiaan jauh dijangka jauh lebih mengagumkan. Gabungan antara penderiaan jauh dengan kecerdasan buatan (AI) sedang membuka lembaran baharu dalam dunia analisis data bumi.

Melalui keupayaan untuk memproses berjuta-juta imej satelit dalam masa singkat, AI dapat mengesan perubahan pada suhu, corak hujan, pertumbuhan tumbuhan atau tanda awal pencemaran sebelum kesannya dirasakan oleh manusia. Sistem ini juga menjadi benteng pertahanan awal yang mampu menyelamatkan nyawa dan membantu dunia untuk bersedia bagi menghadapi perubahan iklim yang semakin tidak menentu.

Secara keseluruhannya, penderiaan jauh telah mengubah cara manusia melihat dunia. Teknologi ini menjadikan yang tersembunyi dapat difahami, yang ghaib menjadi nyata dan yang rumit dapat dijelaskan melalui bahasa data. Teknologi ini juga menjadi wahana ilmu yang membolehkan manusia menyingkap keajaiban ciptaan Tuhan dengan lebih dalam dan penuh rasa kagum.

Melalui penderiaan jauh, kita juga mempelajari bahawa bumi ini masih sarat dengan rahsia yang menunggu untuk ditinjau. Setiap spektrum cahaya, pantulan tenaga dan setiap imej yang dirakam dari angkasa merupakan bisikan alam yang mengajak manusia untuk terus memahami dan menghargai rumah yang kita diami pada hari ini.

Sr. Dr. Abdul Hakim Salleh,
Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam,
Kampus Kejuruteraan,
Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi