Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu buli di Malaysia kian membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Data oleh Kementerian Pendidikan merekodkan 3887 kes pada tahun 2022, meningkat kepada 6528 kes pada tahun 2023 dan melonjak lagi kepada 7681 kes pada tahun 2024. Selain menunjukkan pertambahan aduan, angka ini turut menggambarkan bahawa budaya buli masih berakar dalam masyarakat kita.

Fenomena tersebut juga sering mencetuskan kemarahan awam setiap kali kes tular dalam media sosial, khususnya apabila sistem dilihat gagal melindungi mangsa. Dari perspektif kemanusiaan, buli tidak boleh dianggap sebagai salah laku remaja semata-mata, sebaliknya satu krisis kebajikan yang memerlukan campur tangan pelbagai pihak secara serius dan bersepadu. Dalam konteks ini, kehadiran doktor forensik menjadi amat penting sebagai penjaga fakta dan pembela kebenaran di sebalik tirai keadilan.

Tidak terhad di bilik rawatan, peranan doktor forensik merentasi ruang siasatan dan prosiding mahkamah. Mereka mendokumentasikan bukti, menilai kecederaan mangsa serta memberikan keterangan pakar bagi memastikan keadilan berpihak kepada yang benar. Amanah ini berat, memerlukan ketelitian serta keberanian menghadapi tekanan, namun jarang-jarang disedari oleh masyarakat umum.

Tragedi kematian seorang penuntut universiti akibat buli yang hanya mendapat pembelaan selepas tujuh tahun misalnya, memperlihatkan betapa panjang dan berlikunya perjalanan untuk menegakkan keadilan. Setiap kes meninggalkan parut emosi dan fizikal yang mendalam seperti menjejaskan prestasi akademik, keyakinan diri serta kestabilan mental mangsa. Oleh itu, pembulian dalam apa-apa jua bentuk, sama ada dalam kalangan pelajar sekolah, universiti atau dewasa perlu ditangani dengan kepekaan yang tinggi serta kesungguhan yang menyeluruh.

Kategori Buli

Untuk memahami isu ini secara menyeluruh, penting untuk meneliti bentuk utama buli yang sering berlaku.

Buli fizikal melibatkan kekerasan terhadap tubuh mangsa seperti menumbuk, menendang atau merosakkan harta benda. Jenis ini lazimnya paling mudah dikesan kerana meninggalkan kesan fizikal yang nyata dan memerlukan rawatan hospital serta siasatan polis.

Seterusnya, buli verbal terjadi apabila kata-kata digunakan sebagai senjata untuk mencederakan emosi mangsa. Ejekan, hinaan atau ugutan lisan boleh menggugat kestabilan psikologi individu dan mewujudkan rasa tidak selamat dalam persekitaran sosial.

Selain itu, buli sosial pula sering berlaku dalam bentuk pengasingan, penyebaran fitnah atau mempermalukan seseorang di hadapan khalayak. Dalam era digital kini, bentuk ini turut berkembang menjadi buli siber, apabila teknologi digunakan untuk mengugut, menyebarkan aib atau mencipta akaun palsu dengan tujuan menjatuhkan maruah mangsa. Kewujudan platform maya menjadikan sempadan antara dunia nyata dengan digital semakin kabur, sekali gus menambah kerumitan dalam usaha penguatkuasaan.

Peranan Doktor Forensik dalam Kes Buli

Dalam menangani kes buli, peranan doktor forensik amat penting untuk memastikan setiap bukti diteliti secara saintifik dan objektif. Tanpa analisis forensik yang teliti, keadilan mudah dipertikai.

1. Pendokumentasian kecederaan

Langkah pertama yang dijalankan oleh doktor forensik ialah pemeriksaan fizikal terperinci terhadap mangsa. Setiap luka, lebam dan calar diperhatikan dari segi bentuk, warna dan lokasi kerana setiap butiran kecil berpotensi menjelaskan cara kecederaan berlaku. Sebagai contoh, warna lebam boleh menunjukkan tempoh kejadian, manakala bentuk luka membantu mengenal pasti objek yang digunakan. Rekod yang lengkap menjadi asas penting ketika kes dibawa ke mahkamah, lalu membolehkan hakim menilai bukti berdasarkan fakta saintifik dan bukan sekadar dakwaan lisan.

2. Pendokumentasian fotografi

Bagi melengkapkan bukti, doktor forensik turut menjalankan dokumentasi fotografi. Melalui lensa kamera, setiap imej kecederaan dirakam bagi memastikan keadaan sebenar mangsa kekal direkod dengan tepat. Foto ini menjadi bahan bukti yang menggambarkan penderitaan mangsa secara objektif.

Di mahkamah, gambar berfungsi sebagai bukti tambahan yang membantu hakim memahami tahap kecederaan dengan lebih jelas. Tanpa pendokumentasian sebegini, kesan fizikal yang kian pulih mungkin menyebabkan bukti menjadi lemah atau diragukan.

3. Laporan perubatan forensik

Hasil pemeriksaan dan dokumentasi tersebut kemudiannya dihimpunkan dalam laporan perubatan forensik. Dokumen rasmi ini menggambarkan keadaan mangsa secara menyeluruh dalam bahasa yang boleh difahami oleh pihak bukan perubatan. Laporan ini berfungsi sebagai asas untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan menjadi rujukan utama semasa pendakwaan. Ketelitian dalam laporan akan menentukan kekuatan kes dan memastikan suara mangsa tidak terpadam dalam proses keadilan.

4. Rujukan kepada pakar lain

Walaupun doktor forensik menumpukan kepada aspek fizikal, mereka turut sedar bahawa kesan buli tidak berhenti pada tubuh badan. Oleh itu, mangsa sering dirujuk kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor bagi mendapatkan rawatan emosi dan mental yang sewajarnya. Pendekatan ini memastikan proses pemulihan mangsa lebih menyeluruh, meliputi aspek fizikal dan psikologi secara serentak.

5. Kerjasama dengan polis dan pendakwa raya

Dalam ekosistem keadilan, doktor forensik berperanan sebagai penghubung antara bukti saintifik dengan tindakan undang-undang. Mereka bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan serta memberikan keterangan di mahkamah bagi menerangkan cara kecederaan berlaku. Penjelasan pakar ini membantu pendakwa raya mengaitkan bukti dengan perlakuan buli, seterusnya meyakinkan hakim terhadap kebenaran kes.

6. Pendidikan dan kempen kesedaran

Selain terlibat dalam siasatan, doktor forensik turut memainkan peranan mendidik masyarakat. Melalui seminar dan kempen kesedaran, mereka menjelaskan kepentingan pelaporan awal kes buli serta langkah pencegahan. Pendidikan kepada guru, kaunselor dan pekerja sosial tentang tanda awal buli dapat mempercepatkan intervensi dan mencegah trauma berpanjangan kepada mangsa.

Didik Anak Agar Tidak Menjadi Pembuli

Usaha membanteras buli tidak akan berhasil tanpa peranan aktif ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap lapisan ini mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam membentuk persekitaran sosial yang sihat.

Peranan ibu bapa

Ibu bapa ialah pendidik pertama yang membentuk keperibadian anak. Nilai empati, hormat dan belas kasihan perlu diterapkan sejak awal agar anak memahami perasaan orang lain.

Komunikasi yang terbuka membantu anak untuk meluahkan emosi dan mengelak akan kecenderungan yang agresif. Dalam hal ini juga, tingkah laku ibu bapa menjadi cerminan kepada anak-anak, maka setiap perbuatan perlu menunjukkan teladan positif yang boleh dicontohi.

Peranan guru

Di sekolah, guru memainkan peranan penting sebagai pemantau dan pelindung kepada pelajar. Mereka perlu memastikan suasana pembelajaran yang selamat, bebas daripada ancaman fizikal atau emosi. Pendidikan tentang empati dan hormat wajar diterapkan dalam kurikulum agar pelajar memahami kesan buruk pembulian. Selain itu, aktiviti berpasukan yang menekankan nilai kerjasama dapat membina hubungan positif antara pelajar dan mengurangkan kecenderungan untuk membuli.

Peranan masyarakat

Masyarakat pula perlu bertindak sebagai benteng sosial. Melalui kempen kesedaran dan program komuniti, sokongan dapat diberikan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pelaku supaya mereka dapat dibimbing ke arah perubahan yang positif. Pendekatan ini membuka ruang kepada intervensi awal, sekali gus mengelakkan masalah menjadi lebih serius.

Secara keseluruhannya, buli ialah masalah sosial yang rumit dan memerlukan tindakan yang bersepadu daripada semua pihak. Dalam konteks ini, doktor forensik memainkan peranan penting sebagai penjaga kebenaran dan pelindung keadilan. Setiap laporan, gambar dan analisis yang mereka hasilkan menjadi bukti yang membantu mangsa untuk mendapat hak yang sewajarnya.

Oleh itu, masyarakat mesti berani melaporkan kes buli serta memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa. Melalui kerjasama antara doktor forensik, pihak berkuasa, ibu bapa, guru dengan komuniti, kita dapat membina generasi yang lebih berempati, berdisiplin dan berakhlak. Usaha berterusan ini juga akan menjadi langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni untuk semua pihak.

Dr. Nadiawati Dato’ Abdul Razak,
Pakar Perubatan Forensik dan Pensyarah Kanan,
Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi