Diterbitkan pada 3 Oktober 2025, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hutan tropika yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia berperanan sebagai sumber biodiversiti yang menyediakan pelbagai keperluan untuk kelangsungan hidup. Pada masa yang sama, hutan tropika turut menjadi landskap akustik yang kaya dengan suara alam yang menzahirkan keindahan semula jadi serta membina hubungan harmoni antara manusia dengan alam sekitar. Suara akustik ini mempunyai nilai estetik yang memberikan ketenangan, ilham dan inspirasi kepada manusia untuk memahami alam rimba dari perspektif yang lebih mendalam.

Deruan sungai yang mengalir di tengah hutan tropika membentuk latar harmoni semula jadi sertamenjadi simbol keseimbangan antara air, tanah dengan kehidupan.

Setiap makhluk yang menghuni hutan menghasilkan bunyi yang unik dan tersendiri. Bunyi ini berfungsi sebagai medium komunikasi serta interaksi antara pelbagai spesies serangga, haiwan dan hidupan liar lain. Kepelbagaian lapisan bunyi tersebut telah membentuk ekologi sonik yang istimewa dan menggambarkan keseimbangan biodiversiti dalam ekosistem hutan tropika.

Bunyi-bunyian hutan dapat ditafsirkan daripada sudut komunikasi biologi antara spesies, di samping berperanan sebagai sumber inspirasi dalam bidang seni, muzik dan kerohanian. Keunikan ini telah melahirkan disiplin ekomuzikologi, iaitu bidang ilmu yang menghubungkan suara alam dengan dimensi budaya dan ekologi. Dalam kerangka tersebut, suara alam dikaji dalam konteks akustik dan pada masa yang sama ditafsirkan sebagai warisan estetik yang simbolik melalui seni alunan suara dan harmoni hutan tropika.

Secara konseptual, ekomuzikologi merupakan bidang kajian rentas disiplin yang merangkumi muzik, ekologi, antropologi dan budaya. Kesatuan konsep ini memberikan ruang untuk memahami, menghayati serta mengekspresikan alam melalui bunyi yang terhasil daripada interaksi muzik, suara alam dan persekitaran. Bidang ini turut membuka peluang kepada pengkaji untuk menilai suara hutan dalam konteks bioakustik, geoakustik dan akustik manusia.

Dalam konteks hutan tropika, adunan suara alam yang terhasil daripada interaksi haiwan, persekitaran geografi dan manusia telah melahirkan komposisi orkestra rimba yang unik. Keharmonian yang terbentuk menzahirkan keindahan bunyi alam serta memperlihatkan interaksi ekologi yang halus. Setiap elemen memainkan peranan penting dalam membentuk keseimbangan dan memberikan inspirasi kepada manusia untuk memahami nilai kelestarian.

Derapan gajah di hutan tropika bukan sahaja menandakan kelangsungan hidupan liar, malah menyumbang kepada kepelbagaian bunyi semula jadi dalam rimba.

Apabila manusia menyedari bahawa setiap kicauan burung, geseran dedaun, aliran sungai dan dentuman guruh merupakan estetik suara alam, maka timbul kesedaran bahawa pemeliharaan hutan ialah prasyarat kepada kelestarian hidup. Dalam kerangka ekomuzikologi, suara alam difahami bukan hanya sebagai bunyi semula jadi yang melambangkan interaksi dengan ekosistem, malah turut dilihat sebagai komponen penting dalam pendidikan, pengurusan lestari dan dasar pemuliharaan supaya simfoni alam ini terus terpelihara.

Suara katak pada waktu malam melengkapkan lapisan sonik hutan, berfungsi sebagai komunikasi biologi dan tanda vitaliti ekosistem.

Perbincangan ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Isrā’, ayat 44 yang bermaksud langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah; dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka.

Ayat ini menegaskan bahawa suara alam adalah sebahagian daripada tasbih berterusan makhluk kepada Allah SWT. Setiap kicauan burung, desir angin, deruan air terjun dan dentuman guruh merupakan irama tasbih semesta. Keseluruhan harmoni ini seakan-akan orkestra yang bertasbih dengan penuh tadabbur, mendamaikan jiwa serta mengingatkan manusia bahawa seluruh alam tunduk memuji pencipta-Nya.

Kicauan burung di celah dedaun hutan menjadi sebahagian daripada orkestra akustik rimba yang mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Selaras dengan kesedaran terhadap suara akustik alam, kerajaan telah melancarkan Dasar Alam Sekitar Negara yang turut memberikan perhatian kepada pemeliharaan hutan tropika. Usaha ini menjamin kelangsungan ekologi bunyi yang menjadi khazanah negara. Beberapa kawasan perlindungan seperti taman negara, hutan simpan kekal dan geopark diberikan penekanan untuk mengekalkan suasana harmoni suara alam yang dihasilkan oleh kepelbagaian biodiversiti.

Pada masa yang sama, kerajaan turut menyokong penyelidikan saintifik dalam bidang bioakustik dan ekologi bunyi yang dijalankan oleh universiti dan agensi penyelidikan. Antaranya termasuklah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia. Selain tertumpu pada dokumentasi suara hutan, kajian ini juga membantu memahami keseimbangan ekologi. Selari dengan perspektif ekomuzikologi, suara akustik alam dilihat sebagai sumber ilmu yang memberikan inspirasi kepada seni dan muzik, selain menyumbang kepada pemahaman saintifik tentang hubungan manusia dengan hutan tropika.

Namun begitu, ancaman pencemaran alam semakin menjejaskan kelestarian ekosistem akustik. Pencemaran bunyi yang berpunca daripada aktiviti manusia seperti pembalakan, pembinaan infrastruktur, penggunaan kenderaan bermotor dan pelancongan tidak terkawal telah mengganggu orkestra rimba.

Gangguan ini menjejaskan keupayaan manusia untuk menghayati keindahan hutan dan pada masa yang sama, mengganggu komunikasi hidupan liar yang bergantung pada bunyi untuk berinteraksi, membiak serta meneruskan kelangsungan hidup. Jika keadaan ini berterusan, keunikan suara hutan tropika berisiko hilang, sekali gus menjejaskan biodiversiti dan warisan ekologi yang tidak ternilai.

Bagi menangani permasalahan ini, kerajaan melalui FRIM di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengambil tindakan melalui dasar pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan biodiversiti. Jabatan Perhilitan pula menguatkuasakan undang-undang pemuliharaan hidupan liar dan pewartaan kawasan hutan sebagai zon perlindungan. Tindakan ini termasuklah kawalan pencemaran bunyi, pewartaan taman negara serta pengawasan terhadap aktiviti manusia yang berpotensi menjejaskan ekosistem akustik.

Selain itu, syarikat multinasional di Malaysia turut mula mengintegrasikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam agenda pemeliharaan suara akustik alam. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada perlindungan biodiversiti dan ekosistem akustik semula jadi. Melalui CSR, usaha pemeliharaan tidak hanya terbatas kepada aspek fizikal hutan, tetapi turut melibatkan warisan bunyi semula jadi sebagai aset budaya dan spiritual yang harus dihargai. Dengan cara ini, CSR berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan alam sekitar, seni dan masyarakat.

Malaysia yang kaya dengan biodiversiti juga berpotensi membangunkan program dokumentasi dan arkib suara akustik alam untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan kesedaran awam. Usaha ini dapat mengekalkan memori bunyi alam sambil menyediakan medium pendidikan berasaskan akustik hutan kepada generasi muda. Penerapan ekomuzikologi dalam sistem pendidikan mampu menghubungkan ilmu biologi dengan seni, di samping melahirkan inovasi baharu dalam ekopelancongan.

Akhir sekali, penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pencemaran bunyi serta peningkatan kesedaran masyarakat amat penting bagi menjaga kelestarian suara alam. Sesungguhnya, suara hutan tropika adalah warisan semula jadi yang membawa nilai estetik, ekologi dan kerohanian. Pemeliharaannya bukan sahaja mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya, malah menjamin khazanah ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi