Diterbitkan pada 26 September 2025, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia pernah digemparkan dengan beberapa tragedi kebakaran besar yang meragut nyawa serta mengakibatkan kerugian harta benda. Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017 misalnya, telah mengorbankan sebanyak 23 pelajar. Sementara itu, insiden di Hospital Sultanah Aminah pada tahun 2016 pula menyebabkan enam pesakit kritikal terkorban.

Kedua-dua kes ini memperlihatkan kelemahan yang serius dalam sistem pencegahan kebakaran. Statistik daripada Jabatan Bomba Malaysia juga menunjukkan purata 16 kematian bulanan akibat kebakaran dengan jumlah kerugian tahunan mencecah RM500 juta, khususnya di premis tanpa alat pengesan asap atau latihan pemindahan (evakuasi) yang teratur.

Menyedari akan kelemahan tersebut, simulasi digital berkomputer menawarkan penyelesaian baharu untuk meningkatkan keselamatan kebakaran. Teknologi ini berupaya meramalkan penyebaran api, mengenal pasti titik bahaya tersembunyi serta mengoptimumkan laluan penyelamatan. Kajian membuktikan bahawa simulasi berupaya mengurangkan sehingga 40 peratus masa pemindahan, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.

Pengalaman kebakaran kilang bateri elektrik dan telefon bimbit di Melaka yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit turut membuktikan bahawa sistem konvensional sering gagal dalam situasi yang kritikal. Oleh sebab itu, pelaburan dalam simulasi digital perlu dilihat sebagai langkah pencegahan menyeluruh yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan teknikal, malah mengurangkan kos pemulihan jangka panjang.

Kegagalan untuk menggunakan simulasi dalam pengurusan kebakaran boleh mengundang kesan yang besar. Laluan keselamatan berisiko tidak dioptimumkan, pintu kecemasan mungkin tersekat, manakala sistem pengudaraan gagal menyalurkan asap keluar.

Kelemahan ini mendorong kepada rempuhan panik, kelewatan operasi menyelamat serta peningkatan kadar kematian akibat keracunan asap atau kepanasan. Situasi ini turut menjejaskan keberkesanan pasukan penyelamat yang berhadapan dengan cabaran koordinasi di lapangan.

Selain aspek keselamatan nyawa, kesan kebakaran juga melibatkan implikasi ekonomi yang ketara. Kerosakan struktur bangunan, kehilangan aset bernilai serta gangguan terhadap operasi harian memerlukan kos pemulihan yang tinggi.

Tambahan pula, tanpa latihan berbantu komputer, orang awam pula dilihat kurang bersedia untuk bertindak balas, manakala kelemahan dalam reka bentuk bangunan hanya disedari setelah tragedi berlaku. Dalam hal ini, simulasi digital memberikan nilai tambah dengan membolehkan kelemahan dikesan dengan lebih awal, sekali gus mewujudkan pendekatan keselamatan yang lebih terancang dan proaktif.

Mekanisme Operasi dan Komponen Utama

Simulasi digital pemindahan kebakaran merupakan integrasi pemodelan komputer, analisis data dan kecerdasan buatan yang berfungsi untuk meningkatkan keselamatan penghuni bangunan. Melalui pendekatan ini, laluan pemindahan dapat dirancang dengan lebih optimum, risiko kesesakan dapat diminimumkan dan keberkesanan sistem keselamatan dapat dinilai dengan menyeluruh.

Proses simulasi lazimnya bermula dengan pemodelan bangunan berdasarkan pelan arkitek dengan menggunakan perisian seperti AutoCAD atau Autodesk Revit. Pada peringkat ini, parameter kebakaran seperti sumber api, kadar penyebaran serta pengeluaran asap dimasukkan ke dalam sistem untuk dianalisis melalui algoritma computational fluid dynamics (CFD). Hasil analisis membolehkan pergerakan asap dan haba dijangka dengan lebih tepat, sekali gus memberikan gambaran awal tentang kawasan yang berisiko tinggi.

Contoh pelan pemindahan yang dijanakan daripada Autodesk Revit.

Selepas pemodelan bangunan dan kebakaran dilaksanakan, simulasi tingkah laku manusia dijalankan dengan menggunakan kaedah agent-based modeling. Kaedah ini membolehkan setiap agen mewakili seorang penghuni dengan ciri tertentu seperti kelajuan berjalan, tahap kepanikan dan tahap pengetahuan mengenai laluan kecemasan. Analisis yang dihasilkan membantu menilai sejauh mana sistem pemindahan sedia ada berkesan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.

Bagi menjadikan simulasi lebih realistik, faktor persekitaran turut dipertimbangkan. Antaranya termasuklah kemungkinan berlakunya kegagalan elektrik, pintu kecemasan yang tersekat atau perenjis air yang tidak berfungsi. Semua data ini diproses bagi menghasilkan laporan analisis yang bukan sahaja mendedahkan kelemahan prosedur pemindahan, bahkan mencadangkan langkah penambahbaikan yang praktikal seperti penambahan tanda arah, peluasan laluan atau pemasangan alat pemadam api tambahan.

Pelaksanaan simulasi ini turut disokong oleh beberapa komponen teknikal utama. Pathfinder digunakan untuk mensimulasikan pergerakan manusia, manakala Fire Dynamics Simulator menumpukan  ramalan penyebaran api dan asap. PyroSim pula bertindak sebagai antara muka grafik yang memudahkan proses pemodelan. Model tingkah laku manusia dilengkapkan dengan prinsip psikologi kecemasan yang mengambil kira kecenderungan penghuni untuk mengikut orang ramai atau terus menggunakan laluan biasa meskipun berbahaya

Ketepatan simulasi juga semakin dipertingkatkan melalui integrasi teknologi penderia berasaskan Internet benda (IoT), kamera terma dan sistem pengurusan bangunan pintar. Teknologi ini membolehkan maklumat masa nyata dimasukkan ke dalam model simulasi, lalu meningkatkan keberkesanan keputusan yang dihasilkan. Di samping itu, penggunaan visualisasi tiga dimensi serta aplikasi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) memberikan pengalaman latihan pemindahan yang lebih imersif, interaktif dan selamat tanpa mendedahkan peserta kepada risiko sebenar.

Penggunaan dan Potensi Masa Depan

Teknologi simulasi digital evakuasi kebakaran telah memberikan impak yang ketara dalam bidang reka bentuk dan pembinaan bangunan moden. Arkitek serta jurutera menggunakannya untuk menguji pelan lantai secara maya, mengenal pasti titik kesesakan, memilih bahan binaan yang lebih selamat dan menentukan lokasi optimum peralatan kecemasan. Langkah ini membolehkan kelemahan dikesan dengan lebih awal sebelum projek dibangunkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan bangunan

Di Malaysia, penerapan teknologi ini semakin meluas selepas tragedi kebakaran pusat tahfiz yang mencetuskan kesedaran baharu tentang kepentingan perancangan pemindahan saintifik. Sebagai contoh, pihak pengurusan KLCC menggunakan perisian STEPS untuk menilai kapasiti pemindahan menara berkembar, manakala Jabatan Bomba pula memanfaatkan BuildingEXODUS dalam penyediaan pelan kecemasan bangunan bersejarah. Perkembangan ini membuktikan bahawa simulasi digital telah menjadi sebahagian daripada amalan keselamatan moden di negara ini.

Animasi daripada sistem BuildingEXODUS.

Pada peringkat global, beberapa negara maju seperti Jepun dan Singapura telah mewajibkan penggunaan simulasi digital sebagai sebahagian daripada kod pembinaan. Malaysia berpotensi untuk mengikuti langkah ini, terutamanya dalam usaha membangunkan konsep bandar pintar. Integrasi simulasi dengan sistem pintar bandar membolehkan pemantauan dan koordinasi pemindahan berskala besar dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui penggunaan data satelit, rangkaian trafik sistem kedudukan sejagat (GPS) serta sokongan sistem pengangkutan awam.

Selain itu, perkembangan dalam bidang kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin dijangka meningkatkan lagi keupayaan simulasi. Analisis data daripada insiden sebenar dapat digunakan untuk meramalkan tindak balas manusia dengan lebih tepat, lalu menghasilkan senario pemindahan yang lebih dinamik. Melalui cara ini, daya tahan pelan keselamatan dapat diuji terhadap pelbagai kemungkinan tingkah laku panik dalam keadaan kecemasan.

Pada masa hadapan, konsep digital twin untuk bangunan dijangka menjadi norma dalam pengurusan keselamatan. Model digital yang sentiasa dikemas kini secara masa nyata berupaya mengira laluan pemindahan paling selamat secara berterusan dan seterusnya menghantar amaran segera kepada penghuni melalui aplikasi mudah alih. Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan tindak balas, malah mengubah paradigma keselamatan kebakaran daripada bersifat reaktif kepada pencegahan yang lebih proaktif dan berasaskan data.

Secara keseluruhannya, simulasi digital pemindahan kebakaran membuktikan bahawa teknologi moden mampu meningkatkan tahap keselamatan awam dengan lebih berkesan. Integrasi antara pemodelan komputer, kecerdasan buatan dengan sistem pintar bukan sahaja berupaya menyelamatkan nyawa, malah dapat mengurangkan kerugian ekonomi yang timbul akibat bencana kebakaran.

Melangkah ke hadapan, penggabungan teknologi ini dengan konsep bandar pintar serta aplikasi digital twin dijangka membuka paradigma baharu dalam pengurusan bencana. Keselamatan kebakaran tidak lagi bergantung pada faktor kebetulan, sebaliknya ditentukan melalui perancangan saintifik yang rapi, ramalan berasaskan data dan penggunaan teknologi canggih yang berperanan sebagai penyelamat nyawa.

Dr. Fadratul Hafinaz Hassan, Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi