Diterbitkan pada 12 September 2025, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Buli. Satu perkataan yang sering dibincangkan pada masa kini. Buli di sekolah merupakan lebih daripada sekadar isu disiplin tempelan. Hal ini dikatakan demikian kerana permasalahan ini merupakan gambaran kegagalan ekosistem pendidikan dalam melindungi generasi muda secara sistematik dalam era teknologi canggih. Buli tidak mengenal sempadan sosial, etnik, mahupun geografi. Permasalahan ini berlaku di mana-mana sahaja dan tidak mengira had masa.

Di Malaysia, berita mengenai insiden buli kerap menghiasi dada akhbar bercetak mahupun dalam talian yang bermula – daripada ejekan ringan dalam media sosial sehingga menyebabkan kes keganasan fizikal yang meragut nyawa. Hal yang menjadikan situasi ini lebih rumit ialah kemunculan buli siber yang menyumbang kepada penderitaan pelajar. Mangsa pula tidak lagi mempunyai ruang untuk bersembunyi atau menyendiri kerana mesej penghinaan, gambar aib dan ancaman membanjiri telefon pintar tanpa henti.

Realiti Statistik yang Membimbangkan

Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan hampir 5000 kes buli pada tahun 2023, satu peningkatan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan tahun sebelumnya. Dalam dunia digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula melaporkan lebih 8700 kandungan berkaitan dengan buli siber terpaksa diturunkan pada tahun 2024, iaitu peningkatan lima kali ganda berbanding dengan tahun sebelumnya. Statistik global juga menunjukkan satu daripada tiga remaja pernah menjadi mangsa buli. Kesemua angka ini bukan sekadar data kosong kerana angka tersebut melambangkan ribuan pelajar yang terjejas dari sudut emosi, prestasi akademik dan keyakinan diri untuk berdepan dengan realiti hidup mereka.

Mengapakah kita masih gagal menangani permasalahan ini? Satu daripada sebabnya ialah pendekatan kita yang bersifat reaktif dan tradisional. Hukuman disiplin, kaunseling selepas kejadian atau kempen kesedaran bermusim dilihat tidak mencukupi untuk membendung budaya buli yang semakin kompleks. Oleh itu, kita perlu berani membuka minda dan mengambil langkah untuk meneroka pendekatan baharu dengan menggunakan teknologi terkini sebagai pelengkap kepada pendidikan nilai dan sokongan psikologi.

Kecerdasan Buatan (AI) sebagai Mata dan Telinga Tambahan
AI yang kini sedang hangat dibincangkan dalam pelbagai bidang boleh diteroka sebagai “mata dan telinga tambahan” di sekolah. Bayangkan, satu sistem pintar yang menapis mesej berunsur penghinaan dalam platform pembelajaran digital mampu memberikan amaran awal sebelum mesej tersebut menular. Pendekatan ini secara tidak langsung akan mengekang penyebaran mesej tersebut dan membolehkannya dikawal.

Bayangkan juga, terdapat kamera pintar yang boleh mengesan perubahan emosi pada wajah murid seperti riak kebimbangan, ketakutan atau kemurungan yang sering menjadi petunjuk awal kepada masalah buli. Selain itu, chatbot berasaskan AI boleh diwujudkan sebagai ruang privasi dan selamat untuk murid membuat laporan secara sulit tanpa rasa takut akan dibalas dendam oleh rakan sebaya.

Semua ini bukan fantasi sains fiksyen kerana teknologinya telah pun wujud dan digunakan dalam pelbagai konteks pendidikan serta keselamatan di luar negara. Namun begitu, mengapakah usaha ini masih tidak diterapkan dalam sistem pendidikan negara?

Automasi untuk Tindakan Segera
Dari sudut berbeza, pengesanan dan kecanggihan sistem yang dibangunkan tidak akan memberikan makna jika tiada tindakan segera daripada pihak berwajib. Di sinilah proses automasi sistem berperanan sebagai penyebar maklumat dan bertindak memberikan notifikasi masa nyata.

Apabila insiden buli dikenal pasti, sistem pintar ini secara automatik boleh menghantar notifikasi kepada pegawai pendidikan daerah, polis, guru disiplin, kaunselor dan ibu bapa dalam masa yang singkat. Kelebihan ini membolehkan tindakan lanjut disegerakan selain mengikut proses yang ditetapkan.

Apabila setiap peringkat berwajib menerima notifikasi berkaitan dengan buli, maklumat tersebut boleh direkodkan secara automatik dan disimpan sebagai bukti untuk proses audit buli. Selain itu, kandungan berunsur buli dalam media sosial sekolah juga boleh disekat sebelum sempat tersebar luas apabila sistem pintar berautomasi ini diperketatkan.

Yang lebih utama, rekod disiplin, kehadiran dan kebajikan murid boleh digabungkan bagi menghasilkan profil risiko yang membantu pihak sekolah mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi awal. Seorang pelajar yang semakin kerap ponteng, menunjukkan perubahan yang mendadak dalam kalangan rakan sebaya dan pernah terlibat dalam aduan kecil mungkin bukan sekadar pelajar “nakal” tetapi sebagai individu yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Data sebagai Aset Berharga
Pada peringkat pengurusan data pula, data aduan dan notifikasi buli merupakan aset yang paling berharga. Analisis kekerapan dan keseragaman boleh menunjukkan lokasi panas dan waktu kritikal berlakunya buli, contohnya di kawasan yang sunyi selepas waktu rehat atau ketika aktiviti kokurikulum. Daripada maklumat ini, sekolah boleh menyusun rancangan pengawasan yang berfokus dan sistematik, bukannya sekadar mengawal secara umum.

Data tersebut juga membolehkan pembuat dasar seperti KPM menilai keberkesanan program antibuli berdasarkan bukti. Model KiVa di Finland merupakan contoh yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Melalui pemantauan data secara menyeluruh dan sistematik, negara itu berjaya menurunkan kadar buli dan membina budaya sekolah yang lebih inklusif dan berprestasi. Pendekatan berasaskan data ini membuktikan bahawa pencegahan adalah lebih berkesan berbanding dengan rawatan dan kajian selepas berlakunya kejadian.

Cabaran Etika dan Privasi
Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap cabaran etika apabila pendekatan teknologi diguna pakai. Isu seperti sejauh manakah sekolah boleh memantau mesej peribadi pelajar tanpa melanggar privasi dan hak mereka? Adakah murid akan berasa tertekan jika setiap pergerakan dan emosi mereka dianalisis oleh kamera pintar? Bagaimanakah pula jika algoritma tersilap menandakan seorang pelajar sebagai pembuli hanya kerana gaya bahasa atau ekspresi wajahnya?

Kesemua perkara ini menuntut penyediaan garis panduan yang jelas. Teknologi mesti diletakkan sebagai alat sokongan, bukan pengganti kepada budi bicara manusia. AI boleh memberikan amaran awal tetapi keputusan akhir tetap harus berada di tangan guru, kaunselor dan pentadbir yang memahami konteks sebenar.

Literasi Digital dan Pendidikan Empati
Dalam usaha melaksanakan teknologi ini, literasi digital dan pendidikan empati perlu diketengahkan. Sekolah perlu mengajar pelajar cara berinteraksi secara beretika dalam alam maya, memupuk budaya menghormati perbezaan serta memberikan kuasa kepada rakan sebaya untuk bertindak sebagai “pembela” mereka apabila melihat insiden buli.

Sementara itu, penganjuran “The International Day Against Violence and Bullying” di sekolah pada setiap Khamis, minggu pertama November seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) boleh dijadikan sebagai  platform tahunan untuk mempertingkatkan kesedaran, bersekali dengan sokongan data dan laporan impak yang telus.

Rangka Kerja AI Antibuli Sekolah
Malaysia kini berada di persimpangan penting. Jika benar-benar mahu menangani masalah buli ini, sudah tiba masanya KPM bersama-sama agensi lain seperti MCMC, Malaysia Digital Economy Corporation, KKM dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengannya bangkit dan berganding bahu untuk mewujudkan Rangka Kerja AI Antibuli Sekolah. Rangka kerja ini boleh merangkumi panduan etika penggunaan AI, mekanisme pelaporan automatik yang berskala nasional, integrasi data disiplin dan kesihatan mental serta program latihan guru berasaskan analitik. Dengan adanya kerangka rasmi, setiap sekolah, sama ada di bandar mahupun luar bandar boleh mendapat akses kepada teknologi dan garis panduan yang konsisten, bukannya bergantung pada inisiatif individu semata-mata.

Kesimpulannya, sebagai seorang pendidik dan bapa, penulis berpendapat bahawa penggunaan AI, automasi dan data dalam mengekang buli bukan sekadar soal retorik teknologi sahaja tetapi tentang keberanian kita untuk berfikir secara kritis dan bertindak secara sistemik. Melalui pengurusan yang telus, beretika dan berpaksikan kepentingan pelajar, teknologi boleh menjadi pelengkap yang ampuh kepada usaha untuk membina persekitaran sekolah yang selamat.

Selain mengurangkan angka kes buli, matlamatnya adalah untuk membina budaya sekolah yang benar-benar menghormati maruah, emosi dan potensi setiap pelajar kerana mereka yang akan mewarisi apa yang kita ada sekarang. Inilah visi masa hadapan pendidikan Malaysia untuk menyokong satu sistem yang bukan sahaja pintar, malah berperikemanusiaan dan inklusif.

 

Khairul Yusri Zamri merupakan seorang design thinker, tech strategist dan pensyarah kreatif di New Era University College. Beliau sentiasa aktif memberikan pandangan dan pendapat di beberapa bengkel kreatif dan inovasi, selain terlibat sebagai penasihat industri kreatif, penceramah motivasi, juri pertandingan inovasi dan penilai modul pembelajaran di beberapa institusi pendidikan tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi