Oleh Alieman
Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jenayah, khususnya pembunuhan atau serangan fizikal, jarang-jarang berlaku dalam keadaan tenang. Pada kebiasaannya, terdapat pergelutan atau sentuhan antara mangsa dan pelaku yang meninggalkan bahan bukti biologi atau fizikal.

Hakikatnya, kebanyakan jenayah berlaku secara spontan dan tidak dirancang sering berpunca daripada pelbagai faktor seperti rasa panik atau kemarahan. Oleh sebab itu, setiap lokasi kejadian berpotensi mengandungi bahan bukti yang amat bernilai.

Sebahagian bahan bukti tersebut seperti helaian rambut yang gugur, fiber bebenang yang tertanggal, titisan darah yang telah kering atau sel kulit yang melekat pada sesuatu objek sukar dikesan dengan mata kasar. Atas sebab itu, kawasan kejadian perlu dikawal rapi sehingga pasukan siasatan tempat kejadian (crime scene investigation) selesai menjalankan pemeriksaan dan pengumpulan bukti.

Sebahagian bahan bukti tersebut seperti helaian rambut yang gugur, fiber bebenang yang tertanggal, titisan darah yang telah kering atau sel kulit yang melekat pada sesuatu objek sukar dikesan dengan mata kasar. Atas sebab itu, kawasan kejadian perlu dikawal rapi sehingga pasukan siasatan tempat kejadian (crime scene investigation) selesai menjalankan pemeriksaan dan pengumpulan bukti.

Keadaan yang sama turut terpakai pada jasad mangsa. Bagi orang awam, mangsa mungkin dilihat sebagai ahli keluarga, anak yang disayangi, bapa kepada seseorang atau tokoh tempatan yang dihormati. Namun begitu, dalam konteks siasatan jenayah, jasad tersebut adalah bukti penting yang tidak boleh terdedah kepada risiko pencemaran silang daripada individu yang tidak berkaitan dengannya.

Kepentingan ini menjadi lebih jelas dalam dunia forensik moden. Bahan bukti biologi yang bersifat surih, sekiranya ditemukan, mampu memberikan maklumat melalui analisis saintifik seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA), sekali gus membantu merungkai kronologi dan identiti pihak yang terlibat.

Konsep Asas Analisis DNA

DNA merupakan “cetakan biru” genetik yang wujud dalam setiap sel badan manusia. Semua makhluk hidup memiliki DNA yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan hidup. DNA mengandungi maklumat yang menentukan ciri biologi, membina serta menyelenggarakan badan dan menjadikan setiap individu berbeza antara satu sama lain.

Satu set DNA yang lengkap dikenali sebagai genom. Genom mengandungi maklumat warisan turun-temurun dalam sesebuah keluarga, termasuklah arahan terperinci yang diperlukan untuk membina badan dan mengekalkan kesihatan individu. Genom setiap individu terdiri daripada separuh set kromosom yang diwarisi daripada ibu (23 kromosom) dan separuh set daripada bapa (23 kromosom), lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 46 kromosom.

Dalam setiap kromosom, terdapat rantaian kimia panjang yang mengandungi empat jenis bahan kimia utama, iaitu adenina (A), timina (T), guanina (G) dan sitosina (C). Kromosom X dan Y pula menentukan jantina seseorang. Huruf A, T, G dan C ini membentuk kod genetik yang menentukan pelbagai ciri fizikal seperti warna mata, ketinggian, warna kulit dan jenis darah. Kod tersebut terhasil melalui pasangan asas A-T dan G-C yang membentuk struktur berpintal menyerupai tangga yang dikenali sebagai heliks ganda dua (double helix).

Hanya dua peratus daripada DNA mengandungi arahan untuk menghasilkan protein yang menentukan ciri unik individu. Bakinya, 98 peratus tidak terlibat dalam pengekodan protein. Walaupun begitu, dalam bidang forensik, bahagian DNA yang tidak mengekod protein ini amat penting keranamengandungi corak berulang yang unik bagi setiap individu.

Corak ini dikenali sebagai tandem pendek berulang atau short tandem repeats (STR) atau ulangan tandem pendek, iaitu segmen pendek DNA yang diulang berkali-kali. Bilangan ulangan STR berbeza antara individu dan variasi inilah yang membolehkan saintis forensik melakukan pemprofilan DNA untuk membezakan seseorang daripada individu lain.

Kaedah Analisis DNA

Di Malaysia, analisis DNA bagi tujuan siasatan jenayah dijalankan di Makmal DNA di bawah Bahagian DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia. Makmal ini dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan khusus yang memenuhi keperluan ketat Piawaian Jaminan Kualiti (Quality Assurance Standard) seperti MS ISO 17025. Piawaian ini menetapkan syarat agar makmal dapat beroperasi dengan cekap, mempunyai sistem pengurusan kualiti yang mantap serta mampu menghasilkan keputusan ujian yang sah dan boleh dipercayai.

Sampel DNA yang dihantar ke makmal boleh diperoleh daripada tempat kejadian jenayah oleh pasukan penyiasat atau daripada bilik bedah siasat di Jabatan Forensik serta One-Stop Crisis Centre di Jabatan Kecemasan hospital awam. Antara sampel yang lazim dihantar oleh pasukan bedah siasat termasuklah darah, calitan pada permukaan kulit, calitan pada bahagian kemaluan dan calitan dalam rongga kemaluan. Selain itu, sampel lain seperti pakaian, pakaian dalam, cadar, selimut, berus gigi, sikat, puntung rokok dan kondom terpakai juga boleh dikumpulkan daripada bilik bedah siasat atau lokasi kejadian.

Proses analisis DNA biasanya melibatkan langkah seperti yang berikut:

  1. Pengekstrakan – Mengeluarkan dan mengasingkan DNA daripada sel.

  2. Pengkuantitian – Menentukan jumlah STR DNA yang diperoleh daripada proses pengekstrakan.

  3. Amplifikasi – Menggandakan jumlah DNA yang diekstrak, walaupun dalam kuantiti yang sangat kecil dengan menggunakan kaedah  tindak balas rantai polimerase (PCR). Kaedah ini menghasilkan lebih banyak salinan segmen STR bersaiz kecil untuk dianalisis.

  4. Pemisahan – Memisahkan salinan STR yang telah digandakan mengikut saiz menggunakan teknik elektroforesis kapilari, lalu menghasilkan corak unik yang dikenali sebagai profil DNA.

  5. Analisis dan pentafsiran – Membandingkan profil DNA daripada sampel bukti dengan profil DNA yang sumbernya diketahui. Sekiranya kedua-duanya sepadan, kebarangkalian persamaan adalah sekitar 99.9 peratus yang menunjukkan kaitan yang sangat kuat antara suspek dengan bahan bukti.

  6. Jaminan kualiti – Menyemak laporan penganalisis bagi memastikan ketepatan teknikal dan pematuhan kepada prosedur analisis.

  7. Rantaian kawalan bukti – Merekodkan perjalanan setiap sampel daripada pengambilan hingga keputusan dikeluarkan. Rekod ini penting untuk mengelakkan risiko pencemaran bukti dan memastikan integritinya di mahkamah.

Analisis DNA dan Perundangan

Di Malaysia, kawalan terhadap analisis DNA dan penggunaannya dalam siasatan jenayah diperuntukkan di bawah Akta Pengenalpastian DNA Forensik 2009 [Akta 699] yang diluluskan pada tahun 2009. Akta ini menjadi asas kepada penubuhan Bank Data DNA Forensik Malaysia (FDDM) di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia. Bank data tersebut berperanan menyimpan profil DNA bagi tujuan perbandingan dalam siasatan forensik.

Berdasarkan peruntukan Akta 699, pihak penguat kuasa diberikan kuasa untuk mendapatkan sampel DNA daripada individu yang disiasat bagi tujuan siasatan jenayah serta menyimpan profil DNA tersebut dalam bank data. Pada peringkat awal pelaksanaan, akta ini mensyaratkan persetujuan individu sebelum sampel DNA diambil untuk ujian. Namun demikian, pindaan pada tahun 2015 membenarkan pihak polis mengambil sampel secara paksa daripada suspek, tahanan, banduan dan penagih dadah.

Matlamat utama bank data ini adalah menyimpan dan menyelenggara tujuh indeks profil DNA, iaitu:

  1. Indeks tempat kejadian jenayah

  2. Indeks suspek

  3. Indeks pesalah yang disabitkan

  4. Indeks tahanan

  5. Indeks penagih dadah

  6. Indeks orang hilang

  7. Indeks sukarela

Indeks ini digunakan bagi pengecaman individu yang berkaitan dengan siasatan forensik, mengesan orang hilang, mengenal pasti mayat tanpa identiti serta menyediakan maklumat berkaitan identiti dalam kes jenayah dan sivil.

Bukti DNA telah digunakan dalam pelbagai kes perbicaraan, antaranya kes pembunuhan Suzaily Mokhtar pada 7 Oktober 2000. Dalam kes ini, pemandu bas Hanafi Mat Hassan disabitkan atas pertuduhan merogol dan membunuh mangsa. Mahkamah menjatuhkan hukuman mati bagi pertuduhan membunuh serta hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan rogol. Rayuan tertuduh ditolak, walaupun peguam bela membantah bahawa sampel darah untuk ujian DNA tidak diambil secara sukarela kerana tertuduh digari ketika itu. Mahkamah menolak bantahan tersebut dan mengekalkan sabitan.

Selain mensabitkan pesalah, bukti DNA juga berpotensi membebaskan individu yang tidak bersalah. Walaupun tiada kes sedemikian direkodkan di Malaysia setakat ini, laporan “Wrongful Convictions and DNA Exonerations: Understanding the Role of Forensic Science” oleh Gerald Laporte (2018) menyatakan bahawa di Amerika Syarikat sahaja, sebanyak 133 kes salah sabitan telah dibatalkan pada tahun 2016 melalui bukti analisis DNA.

Cabaran dan Batasan

Walaupun bukti DNA memberikan manfaat yang besar dalam membantu siasatan jenayah, terdapat beberapa batasan yang perlu diambil kira. Antara cabaran utama tersebut termasuklah sifat bukti DNA yang mudah rosak akibat faktor persekitaran seperti haba yang tinggi, cahaya matahari yang terik serta kehadiran bakteria dan kulat. Situasi ini boleh menjejaskan kualiti bukti dan mengurangkan keberkesanan analisis.

Selain itu, kembar seiras juga mempunyai profil DNA yang sama yang boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya siasatan melibatkan mereka. Satu lagi batasan ialah DNA yang ditemukan di lokasi kejadian hanya boleh digunakan untuk mengaitkan individu dengan lokasi tersebut tetapi tidak dapat menentukan masa atau tempoh kehadiran individu berkenaan di tempat kejadian.

Terdapat pandangan bahawa bukti DNA bersifat sebagai bukti sokongan dan tidak boleh menggantikan peraturan keterangan seperti yang termaktub dalam Akta Keterangan 1950. Dalam konteks perbicaraan, bukti DNA merupakan sebahagian daripada keseluruhan bukti pendakwaan dan tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap sesuatu kes jenayah.

Walaupun analisis DNA mampu menyumbang kepada pensabitan atau pembebasan seseorang, perkara tersebut tidak wajar digunakan secara tunggal tanpa sokongan bukti lain. Keputusan DNA yang sepadan tidak semestinya membuktikan di luar keraguan munasabah bahawa tertuduh ialah pelaku jenayah yang dipersoalkan. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan DNA semata-mata bukanlah jaminan kukuh untuk memperoleh sabitan dalam sesuatu kes.

ChM. Dr. Khairul Adli bin Nikman,
Pegawai Sains Forensik,
Jabatan Perubatan Forensik,
Hospital Sungai Buloh,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi