Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBayangkan sebatang sungai yang mengalir jernih, dipenuhi ikan yang berenang bebas, dikelilingi rimbunan pokok hijau yang menyejukkan pandangan. Itulah gambaran sungai yang diimpikan oleh setiap insan. Namun begitu, realitinya berbeza. Kebanyakan sungai di negara ini sedang mengalami tekanan yang hebat, seolah-olah “menjerit” meminta bantuan akibat pelbagai faktor.
Perubahan iklim bukan hanya menjadi bahan perbincangan dalam persidangan antarabangsa, sebaliknya sedang mengubah keadaan sungai di hadapan mata kita. Peningkatan suhu global, pola hujan yang tidak menentu dan kejadian cuaca ekstrem telah mengganggu kestabilan ekosistem sungai. Keadaan yang dahulunya tenang dan menyegarkan kini semakin terancam.
Perubahan ini telah memberikan kesan yang besar terhadap bumi dan kehidupan. Sungai yang selama ini menjadi sumber air, habitat biodiversiti dan laluan pengangkutan kini berhadapan dengan kemerosotan kualiti air, perubahan aliran serta kehilangan habitat bagi hidupan akuatik. Banjir besar, kemarau berpanjangan dan ketidaktentuan cuaca menjadi punca utama kerosakan ini. Apakah yang sedang berlaku dan apakah langkah yang wajar diambil untuk memulihkan keadaan itu?
Sumber Kehidupan dan Pembangunan
Bukan sekadar menjadi saluran air yang mengalir, sungai merupakan “nadi kehidupan” yang memenuhi pelbagai keperluan asas manusia. Sumber air ini digunakan untuk minum, memasak, mandi, bertani dan menjadi laluan pengangkutan serta punca rezeki.
Sejak dahulu, barang dagangan diangkut melalui sungai bagi menghubungkan kawasan kampung dengan bandar. Hingga kini, sungai masih digunakan sebagai laluan logistik bagi memindahkan barangan besar yang sukar diangkut melalui jalan darat.
Namun begitu, nilai sungai semakin terhakis dalam kesedaran manusia. Pencemaran, pembangunan yang tidak terkawal dan sikap sambil lewa masyarakat telah menyebabkan kualiti air sungai merosot dengan ketara.
Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa lima peratus daripada sungai di Malaysia berada pada tahap tercemar. Hal ini bermakna, sebanyak 25 daripada 672 sungai di negara ini berada dalam keadaan kritikal, khususnya di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Kepentingan sungai sering kali tidak disedari sehingga menyebabkan sumber air ini diabaikan dan dicemari sehingga menjejaskan manfaatnya kepada masyarakat. Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah merupakan cabaran global yang memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira sempadan negara.
Pada masa ini, banyak negara memberikan tumpuan kepada konsep pembangunan lestari, iaitu pembangunan yang berterusan dengan mengambil kira hak generasi masa hadapan. Di Malaysia, pendekatan ini menjadi landasan penting dalam pengurusan alam sekitar.
Berikutan hal tersebut, keprihatinan masyarakat dunia juga semakin meningkat terhadap isu pencemaran udara, degradasi kualiti air, tanah runtuh, banjir lumpur, jerebu dan pelbagai masalah lain. Antara yang paling membimbangkan termasuklah keadaan air sungai yang semakin tercemar sehingga mampu menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan kehidupan seharian.
Apabila Iklim Berubah, Sungai Pun Terjejas
Perubahan iklim merujuk perubahan suhu dan corak cuaca yang berlaku dalam tempoh jangka panjang. Perubahan ini memberikan kesan yang besar terhadap alam sekitar, masyarakat dan ekonomi. Sejak akhir-akhir ini juga, proses tersebut berlaku dengan lebih pantas akibat aktiviti manusia.
Antara penyumbang utama bagi masalah ini termasuklah pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas; penebangan hutan secara besar-besaran; serta pelepasan gas berbahaya ke atmosfera. Gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana dan nitrus oksida bertindak seperti lapisan selimut tebal yang memerangkap haba di atmosfera. Semakin tinggi pelepasan gas ini, semakin tinggi suhu bumi.
Kesan perubahan iklim sangat ketara terhadap sungai yang berperanan penting dalam ekosistem dan kehidupan seharian manusia. Sebarang perubahan terhadapnya mampu menjejaskan pelbagai aspek kehidupan. Antara kesan utama perubahan iklim terhadap sungai termasuklah:
Sungai Tercemar, Siapakah yang Menanggung Akibat?
Pada setiap tahun, pelbagai laporan menunjukkan bahawa sungai di negara ini semakin terancam oleh pencemaran. Ancaman tersebut merangkumi tumpahan minyak, pembuangan sisa toksik, bau busuk dan sampah yang dibuang secara tidak bertanggungjawab. Sungai menjadi mangsa tindakan manusia yang hanya mementingkan kepentingan sendiri. Keadaan ini mencerminkan kurangnya rasa tanggungjawab dan kesedaran terhadap kebersihan serta kelestarian sumber air.
Kualiti air sungai perlu dipelihara kerana boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia dan haiwan. Apabila kualiti air menurun, pelbagai risiko boleh timbul.
Air yang tercemar dengan bahan kimia seperti logam berat mampu menyebabkan penyakit kronik, termasuklah kanser, kerosakan buah pinggang dan gangguan sistem saraf. Selain itu, kehadiran bakteria dan virus dalam air kotor berpotensi menyebarkan penyakit berjangkit seperti cirit-birit, taun dan hepatitis. Pencemaran sungai juga memberikan kesan ekonomi yang besar apabila sektor pelancongan dan perikanan terjejas, kos rawatan air meningkat dan penduduk kehilangan sumber pendapatan.
Usaha Pemeliharaan Sumber Air
Pengurusan sungai yang berkesan amat penting untuk memelihara sumber air, melindungi ekosistem dan memastikan kesejahteraan manusia. Sungai yang diuruskan dengan baik bukan sahaja menyokong kehidupan serta menjadi habitat hidupan akuatik, malah membantu menjanakan ekonomi tempatan.
Pemantauan berkala perlu dilaksanakan bagi memastikan kualiti air dan keadaan sungai sentiasa berada pada tahap optimum. Penggunaan teknologi moden seperti dron, penderia dan satelit membolehkan data dikumpul dengan tepat, sekali gus memudahkan tindakan pantas diambil apabila masalah dikesan.
Usaha mengawal pencemaran pula memerlukan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang tegas, pengurusan sisa yang sistematik serta pemantauan berterusan terhadap operasi kilang berhampiran dengan sungai. Penggunaan teknologi rawatan air sisa yang lebih canggih dapat mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada loji kumbahan atau industri.
Selain itu, pemeliharaan habitat sungai dan biodiversiti harus diberikan perhatian. Penanaman semula pokok asli, kawalan spesies perosak dan pelaksanaan pembangunan yang mengambil kira kelestarian alam dapat mengekalkan kesihatan ekosistem sungai.
Pendidikan dan kesedaran masyarakat juga memainkan peranan penting. Pendidikan alam sekitar perlu diterapkan sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat komuniti. Medium seperti media sosial, program komuniti dan kempen kesedaran boleh digunakan untuk menyebarkan pengetahuan tentang kepentingan penjagaan sungai. Apabila kesedaran ini wujud, masyarakat akan lebih bertanggungjawab, manakala kerjasama antara kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan dengan komuniti akan memperkukuh usaha pemeliharaan sungai.
Bertindak atau Berdiam Diri?
Apabila membicarakan kemelut alam sekitar, khususnya isu pencemaran sungai, persoalan utama yang perlu diteliti ialah sikap. Tindakan segelintir masyarakat yang sambil lewa dan hanya mengejar keuntungan jangka pendek menyebabkan sungai terus berada dalam keadaan tertekan. Walaupun tidak semua bentuk pencemaran berpunca daripada manusia, perbuatan manusia, sama ada disengajakan atau tidak tetap memberikan kesan buruk terhadap kelestarian bumi.
Perubahan sikap masyarakat amat diperlukan. Setiap individu harus lebih peka dan bertanggungjawab terhadap tindakannya. Jangan sekadar menuding jari kepada pihak lain kerana setiap plastik yang dibuang ke longkang dan setiap minyak yang dicurah ke sinki akhirnya akan mengalir ke sungai. Pembangunan boleh diteruskan, namun tidak wajar mengorbankan alam sekitar demi keuntungan sementara. Sekiranya kita gagal menjaga sungai pada hari ini, generasi akan datang tidak lagi berpeluang menikmati sumber air bersih yang pernah kita rasai.
Kita Masih Ada Masa
Perubahan iklim ibarat musuh senyap yang menjejaskan sungai, nadi kehidupan yang menyokong manusia serta alam semula jadi. Peningkatan suhu global, perubahan corak hujan yang tidak menentu dan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir serta kemarau menjadi faktor utama yang mempengaruhi aliran, kualiti dan keseimbangan semula jadi sungai.
Keadaan ini bukan lagi isu masa hadapan, sebaliknya sedang berlaku dan memerlukan tindakan segera. Dalam usaha memelihara kelestarian sumber air bersih negara, langkah jangka pendek dan jangka panjang perlu dirancang dengan teliti serta dilaksanakan secara berterusan. Antara tindakan awal yang penting termasuklah menggiatkan semula kempen kesedaran awam melalui pelbagai medium seperti media sosial, bahan bercetak dan siaran elektronik. Pendedahan yang berterusan akan membantu masyarakat memahami kepentingan memelihara sungai demi kesejahteraan bersama.
Selain itu, penilaian menyeluruh terhadap industri yang beroperasi di negara ini perlu dijalankan. Penilaian tersebut tidak hanya menumpukan kepada aspek pertumbuhan ekonomi, malah turut mengambil kira kesan aktiviti industri terhadap alam sekitar, khususnya kualiti air sungai. Industri yang gagal mematuhi piawaian mesra alam dan terbukti mencemarkan sungai perlu dipantau secara ketat dan jika perlu, dikenakan tindakan undang-undang atau dihentikan operasinya.
Pembangunan negara harus dilaksanakan secara seimbang, antara kepentingan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Sungai yang bersih dan sihat bukan sahaja menjamin bekalan air yang selamat untuk diminum, malah menyokong kesihatan masyarakat, mengekalkan kestabilan biodiversiti dan meningkatkan kualiti hidup generasi masa hadapan.