Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 31 Julai 2025, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk tahun 2026 hingga tahun 2030. Rancangan ini menetapkan visi dan hala tuju negara untuk mencapai status ekonomi bernilai tinggi, inklusif dan berdaya tahan. Berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI, RMK-13 memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu tadbir urus yang baik, pengoptimuman potensi ekonomi serta jaminan kesejahteraan rakyat.
Dalam ketiga-tiga fokus tersebut, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi dikenal pasti sebagai pemangkin utama bagi membentuk ekosistem yang mantap. Ekosistem ini penting untuk membolehkan ekonomi bergerak secara fleksibel dan dinamik, di samping meningkatkan daya saing pada peringkat global.
AI sebagai Teras Ekonomi Bernilai Tinggi
Satu daripada matlamat RMK-13 adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita mencecah RM77,200 menjelang tahun 2030. Peralihan daripada ekonomi berasaskan kos buruh rendah kepada ekonomi berteraskan inovasi, kreativiti dan teknologi bernilai tambah tinggi amat bergantung kepada penguasaan AI. Antara sektor yang berpotensi mendapat manfaat besar termasuklah pembuatan pintar, teknologi kewangan (fintech), kesihatan digital, pertanian pintar dan industri kreatif.
Dalam sektor pembuatan pintar, AI mampu mengawal operasi secara automatik dan mengurangkan kos pengeluaran pada masa nyata, sekali gus meningkatkan kualiti produk dan keupayaan bersaing dalam pasaran. Dalam bidang kesihatan digital pula, penggunaan algoritma AI dapat membantu pengesanan awal penyakit. Proses rawatan dan pemantauan akan lebih efisien kerana data yang dianalisis sejak peringkat awal membolehkan keputusan dibuat dengan pantas dan tepat.
Begitu juga dalam sektor pertanian pintar, analisis data yang berterusan dan disepadukan dengan sistem automasi membolehkan penggunaan air dan baja dioptimumkan tanpa menambah kos operasi secara berlebihan. Pendekatan ini seiring dengan matlamat RMK-13 untuk memacu pertumbuhan KDNK pada kadar lima peratus hingga 5.5 peratus setahun melalui inovasi teknologi.
AI dan Tadbir Urus
Dalam RMK-13, Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan negara perlu digerakkan melalui tadbir urus yang baik, berteraskan integriti, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Selaras dengan saranan tersebut, penerapan AI dalam perkhidmatan sektor awam wajar diberikan keutamaan dalam tempoh terdekat. Tiga bidang utama yang dikenal pasti bagi menyokong kelancaran proses ini meliputi pengurusan data kerajaan, sistem ramalan serta penguatkuasaan dan pencegahan penipuan.
Dalam aspek pengurusan data kerajaan, penggunaan sistem berteraskan AI yang bersifat fleksibel dan dinamik membolehkan penganalisisan data berskala besar dilakukan dengan lebih sistematik dan pantas. Data yang dikumpul dapat disimpan, disusun, disaring dan digunakan mengikut keperluan semasa, sekali gus memudahkan proses membuat keputusan tanpa tempoh menunggu yang panjang.
Bagi sistem ramalan berasaskan algoritma AI, pendekatan ini memberikan kelebihan kepada agensi berkaitan dengannya untuk bersiap sedia dalam mengurus keperluan rakyat, menangani bencana dan mengawal penularan penyakit. Amaran awal dapat dihasilkan berdasarkan data masa nyata dan seterusnya membantu melindungi keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Fokus ketiga pula melibatkan penguatkuasaan dan pencegahan penipuan, khususnya melalui elemen pengesanan pintar. Penggunaan algoritma AI yang mampu mengenal pasti corak transaksi dalam sistem kewangan, urusan jual beli dan pengurusan sumber, kerajaan berupaya memastikan semua transaksi dan perolehan awam selaras dengan sasaran RMK-13 untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 negara paling rendah kadar rasuah di dunia.
AI dan Pembangunan Modal Insan
RMK-13 turut menggariskan sasaran meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja mahir kepada 60 peratus dan menaikkan bahagian pendapatan buruh kepada 45 peratus daripada KDNK. Untuk mencapai sasaran tersebut, penguasaan AI dan inovasi menjadi faktor penting dalam membentuk modal insan yang kreatif, mahir dan mampu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Satu daripada langkah utama adalah dengan mewujudkan pendidikan berteraskan AI yang memberikan tumpuan kepada literasi teknologi serta keupayaan adaptasi terhadap perubahan. Kajian dan perbincangan komprehensif perlu dilakukan sebelum kandungan berkaitan dengannya dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah, kolej dan universiti.
Selain itu, kerjasama erat antara institusi pendidikan dengan pihak industri wajar diperkukuh bagi memastikan pembangunan kemahiran praktikal yang seiring dengan pengetahuan teori. Pendekatan ini akan melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja memahami konsep AI, malah berupaya menggunakannya dengan berkesan.
Sokongan kepada keusahawanan berasaskan AI dan inovasi turut memainkan peranan penting. Penyediaan dana yang lebih fleksibel akan memberi peluang kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknologi ini dengan lebih cepat dan mudah. Tumpuan kepada pembangunan modal insan yang holistik akan membolehkan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh Revolusi Perindustrian 4.0 dan ekonomi digital global.
AI untuk Ekonomi Hijau dan Kelestarian
RMK-13 turut memberikan penekanan kepada agenda kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab terhadap perubahan iklim. Pendekatan ini bertujuan memastikan sumber semula jadi kekal terpelihara, mengurangkan risiko bencana dan mengekalkan keseimbangan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup.
Dalam konteks ini, AI berpotensi membantu mengurus sumber alam dengan lebih teratur, sekali gus meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Tiga bidang utama yang dapat disokong oleh AI bagi tujuan kelestarian merangkumi pengurusan tenaga pintar, pengangkutan pintar dan pemantauan pintar alam sekitar.
Melalui AI dan inovasi yang tersedia, penggunaan tenaga di bangunan dan kilang dapat dikawal secara optimum bagi mengelakkan pembaziran. Langkah ini membantu mengurangkan beban terhadap alam sekitar serta menyumbang kepada usaha mengekang ketidaktentuan iklim. Dalam sektor pengangkutan, sistem pintar berasaskan AI mampu mengurus aliran trafik secara sistematik, mengurangkan kesesakan, dan menurunkan kadar pencemaran. Hasilnya, pelepasan karbon dan pemanasan setempat dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.
Selain itu, pemantauan pintar terhadap alam sekitar yang disokong AI berupaya menganalisis data satelit dan menukar maklumat tersebut kepada statistik atau visualisasi seperti graf masa nyata. Kaedah ini membolehkan pihak berwajib memantau tahap pencemaran udara, kualiti air dan mengesan sebarang perubahan iklim dengan lebih cepat. Penyepaduan AI dalam inisiatif hijau juga membuka peluang pembangunan industri baharu berasaskan teknologi bersih.
Penjanaan Pelaburan Berkualiti Tinggi
Bagi merealisasikan aspirasi RMK-13, Perdana Menteri menetapkan sasaran pelaburan berjumlah RM611 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang. Sebahagian besar daripada jumlah ini diperuntukkan kepada projek berasaskan teknologi tinggi, apabila AI dan inovasi dijangka menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur antarabangsa.
Pembentukan ekosistem AI yang kompetitif dan fleksibel akan mewujudkan peluang pelaburan kepada pemain industri serta penyelidik dalam bidang teknologi canggih. Pelabur bukan sahaja akan menyumbang modal dan kepakaran, malah turut membangunkan infrastruktur digital yang maju seperti pangkalan data berpusat, rangkaian 5G dan sistem pengkomputeran awan yang bersifat dinamik.
Pendekatan ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena inovasi global, selain menjadikannya sebagai destinasi utama untuk kolaborasi dan penyelidikan berskala besar. Melalui strategi pelaburan yang berfokuskan teknologi tinggi, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab teknologi serantau yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
AI sebagai Enjin Penggerak RMK-13
AI merupakan elemen penting yang menjadi pemacu utama ke arah pencapaian visi RMK-13, iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara maju, inklusif dan lestari menjelang tahun 2030. Penyepaduan AI merentas sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar akan memastikan Malaysia bukan sahaja seiring dengan perkembangan global, malah berpotensi muncul sebagai peneraju teknologi di rantau ini.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, kerajaan, industri dan masyarakat perlu berganding bahu membina ekosistem inovasi yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat, kolaborasi antara sektor serta penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab. RMK-13 menyediakan pelan induk yang melibatkan pelbagai pihak, manakala AI berperanan sebagai enjin penggerak yang mempercepatkan pencapaian matlamat tersebut.
Perubahan landskap negara memerlukan keberanian dan kesediaan untuk melangkah ke hadapan tanpa terikat dengan rasa ragu atau bimbang. Rakyat yang berilmu, celik teknologi dan berpandangan jauh perlu menjadi peneraju dalam membentuk masa hadapan yang lebih baik demi generasi akan datang.
Khairul Yusri Zamri merupakan seorang design thinker, tech strategist dan pensyarah kreatif di New Era University College. Beliau aktif berkongsi pandangan dalam bengkel kreatif dan inovasi, selain berperanan sebagai penasihat industri kreatif, penceramah motivasi, juri pertandingan inovasi dan penilai modul pembelajaran di beberapa institusi pendidikan.