Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPrague – Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Sistem Terkamir dan Simetri Kuantum atau The XXIX International Conference on Integrable Systems and Quantum Symmetries (ISQS29) telah berlangsung dengan jayanya di Czech Technical University (CTU), baru-baru ini.
Acara berprestij yang disertai lebih 100 peserta ini merupakan antara siri persidangan tertua dalam kalangan komuniti fizik matematik antarabangsa yang memberikan tumpuan kepada model sistem terkamir, struktur simetri serta perkembangan terkini dalam teori kuantum lanjutan.
Czech Technical University (CTU) yang menjadi tuan rumah bagi ISQS sejak sekian lama merupakan satu daripada institusi teknologi tertua di Eropah Tengah.
Ditubuhkan pada tahun 1707 dan diberikan penjenamaan rasmi pada 1806, CTU terus memainkan peranan penting dalam mendukung kecemerlangan penyelidikan fizik teori dan matematik.
Pada tahun ini, persidangan berlangsung dalam suasana yang istimewa bersempena dengan International Year of Quantum (IYQ2025) yang diisytiharkan oleh UNESCO bagi memperingati 100 tahun perkembangan teori kuantum sejak tahun 1905.
Walaupun sambutan IYQ2025 tidak diraikan secara rasmi dalam persidangan ini, semangatnya dapat dirasai melalui perbincangan ilmiah mendalam dan pertukaran idea baharu antara para saintis dari pelbagai institusi penyelidikan dan universiti terkenal dari seluruh dunia dengan peserta seramai 135 orang.
Antara institusi yang diwakili saintis terkenal yang hadir membentangkan kertas kerja termasuklah dari RIKEN, Jepun; Institute for Quantum Optics and Quantum Information, Austria; Harish Chandra Research Institute, India; Tohoku University, Jepun; University of Zurich, Jerman; Cornell University, Amerika Syarikat; Weizmann Institute of Sciences, Israel; Leibnizz University Hannover, Jerman; dan banyak lagi.
YBrs. Profesor Madya Dr. Nurisya Mohd Shah merupakan peserta tunggal dari Malaysia diundang sebagai pembentang jemputan turut membentangkan kertas kerja berjudul “Group-theoretic Perspectives of SU(1,1)-based Quantum Codes” dalam persidangan tersebut yang membentangkan penyelidikan berkaitan dengan struktur algebra dan aplikasi Teori Kumpulan (Group Theory) dalam pemerihalan kod kuantum.

Persidangan ini juga menyaksikan pembentangan teknikal dalam topik daripada peserta lain yang merangkumi Teori Yang-Baxter, Pendekatan Bethe Ansatz, Teori Kumpulan Kuantum, Teori Spektrum serta Potensi Simetri Tersembunyi yang menjadi tunjang dalam memahami struktur asas alam semesta dari perspektif fizik dan matematik.
Lokasi persidangan di Prague menambahkan nilai simbolik kepada acara ini kerana negara pernah didiami oleh tokoh hebat fizik, Albert Einstein yang berkhidmat di Universiti Jerman Prague pada tahun 1911 hingga tahun 1912, yakni ketika pembentukan idea awal teori beliau yang terkenal iaitu, Teori Kerelativitian Am.
