Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkembangan teknologi global kini sedang memasuki satu fasa baharu yang dipacu oleh kemajuan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Di pelbagai pelusuk dunia, teknologi ini bukan sahaja giat dibahaskan, malah sedang diuji, disesuaikan dan diintegrasikan mengikut konteks demografi serta keperluan komuniti setempat. Para pengamal dan penyelidik AI pula sedang berusaha menilai keberkesanan teknologi ini dalam mempermudah tugasan harian, mempercepat pembangunan projek serta meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Kebolehan AI untuk menjana kandungan dalam pelbagai bentuk seperti video, teks dan imej kini semakin menyerlah dan meluas penggunaannya. Satu daripada cabang AI yang sedang mendapat perhatian luas ialah AI Generatif, iaitu kecerdasan buatan yang berupaya mencipta kandungan baharu, kreatif dan unik berdasarkan data yang telah dipelajarinya.

AI generatif telah menembusi pelbagai sektor dan antara yang paling ketara menerima impaknya termasuklah industri kreatif dan hiburan. Daripada penciptaan karya seni visual kepada gubahan muzik dan penulisan kreatif, AI generatif sedang merombak cara manusia menghasilkan kandungan. Teknologi seperti Generative Adversarial Networks (GANs) dan model transformer membolehkan sistem AI memahami pola, gaya dan struktur dengan lebih mendalam, sekali gus menghasilkan kandungan baharu yang bersifat inovatif dan belum pernah wujud sebelum ini.

AI Generatif dalam Seni Visual

Dalam konteks seni visual, AI generatif membuka peluang dan kemungkinan baharu yang sebelum ini sukar dibayangkan. Golongan pelajar, pendidik, pengamal seni dan penyelidik kini boleh memanfaatkan teknologi ini dalam pelbagai aspek. Antaranya ialah keupayaan untuk menjana idea dan konsep awal secara pantas. AI generatif membolehkan visualisasi awal seperti lakaran atau mock-up dihasilkan hanya berdasarkan deskripsi teks, sekali gus mempercepat proses eksplorasi idea dan menjimatkan masa.

Selain itu, AI generatif turut berperanan dalam penghasilan imej kreatif yang pelbagai dan unik. Hanya dengan satu gambar rujukan, AI dapat mencipta variasi imej dalam gaya artistik yang berbeza—daripada impresionisme hingga seni digital kontemporari—mengikut tema serta keperluan pengguna. Pereka grafik juga boleh memanfaatkan teknologi ini bagi mempercepat proses reka bentuk seperti penciptaan logo, susun atur dan elemen visual lain. Hal ini membolehkan pembangunan idea visual dijalankan dengan lebih sistematik dan efisien.

Tambahan pula, AI generatif mampu mewujudkan keunikan dalam karya seni tanpa sepenuhnya bergantung pada imaginasi manusia. Dengan algoritma yang canggih, AI dapat memperluas sempadan kreativiti serta menghasilkan karya seni yang lebih tersendiri, jelas dan berimpak tinggi. Justeru, AI generatif bukan sahaja memperkaya proses penciptaan seni, malah membentuk semula cara manusia menghasilkan dan berinteraksi dengan seni visual pada abad ini.

Beberapa platform dan aplikasi AI generatif kini memainkan peranan penting dalam memacu kreativiti penggiat seni visual. Antara yang paling menonjol termasuklah Adobe Firefly yang merupakan sebahagian daripada ekosistem Adobe. Aplikasi ini membolehkan pengguna mencipta imej, kesan teks dan mengubah gaya visual hanya melalui arahan teks (text prompts). Fungsi seperti Generative Fill dalam perisian Photoshop misalnya, mempercepat proses penyuntingan imej dan memudahkan penghasilan idea seni yang bermutu tinggi.

Satu lagi platform yang mendapat perhatian meluas ialah Midjourney, terutamanya dalam kalangan artis digital. Midjourney terkenal kerana keupayaannya menghasilkan imej yang sangat terperinci dan mengagumkan hanya berdasarkan deskripsi ringkas. Keupayaan untuk meneroka pelbagai gaya visual dalam masa singkat menjadikan aplikasi ini sebagai pilihan utama untuk eksplorasi seni dengan ekspresif.

Aplikasi lain yang turut menyerlah ialah DALL·E 3, model AI yang dibangunkan oleh OpenAI. DALL·E berkeupayaan menjanakan imej berdasarkan deskripsi teks yang kompleks dan abstrak, termasuklah penggabungan konsep yang luar biasa serta di luar jangkaan pengguna. Keupayaan ini menjadikannya alat yang berkuasa untuk menghasilkan karya seni yang imaginatif dan tidak konvensional.

Selain itu, Stable Diffusion muncul sebagai model sumber terbuka yang menawarkan fleksibiliti tinggi kepada pengguna. Aplikasi ini membolehkan penciptaan imej daripada teks atau gambar lain dan keupayaannya untuk menghasilkan imej yang berkualiti tinggi serta fotorealistik menjadikannya antara tulang belakang dalam pembangunan AI generatif secara global.

Tidak kurang juga pentingnya ialah Canva, sebuah platform reka bentuk grafik yang popular. Pengintegrasian ciri AI generatif seperti Magic Design dan Magic Media, Canva membolehkan pengguna mencipta reka bentuk, persembahan multimedia dan manipulasi imej secara mudah dan intuitif. Fungsi ini amat bermanfaat khususnya bagi pengguna yang tidak memiliki latar belakang dalam bidang reka bentuk, namun tetap ingin menghasilkan visual berkualiti dan menarik.

AI Generatif dalam Muzik dan Audio

Selain bidang seni visual, dunia muzik dan audio turut menerima tempias perkembangan teknologi AI generatif. Teknologi ini membuka ruang eksperimen yang lebih luas kepada penggiat dan peminat muzik serta memberikan manfaat yang besar kepada pengguna umum dalam penghasilan kandungan audio yang kreatif dan berkualiti.

AI generatif dalam muzik menawarkan pelbagai kelebihan yang boleh diteroka dengan lebih mendalam, antaranya termasuklah keupayaan mencipta muzik secara automatik. Teknologi ini berupaya menghasilkan melodi, harmoni dan ritma asas serta mengembangkan trek sedia ada. Kemampuan ini amat berguna bagi penerbit muzik yang sedang mencari idea baharu atau melodi segar untuk digabungkan dalam genre yang berbeza.

Di samping itu, AI generatif juga telah mempercepat dan mempermudah proses penghasilan muzik latar bagi filem. Dengan menggabungkan elemen suasana dan emosi yang dikehendaki, muzik latar dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan bersesuaian dengan babak tertentu. Perkara ini bukan sahaja menjimatkan masa dalam proses pasca produksi, malah memberikan nilai tambah dari segi variasi bunyi dan kualiti emosi.

Teknologi ini juga memberi ruang kepada penciptaan kesan suara dan efek audio yang realistik. Beberapa kandungan kreatif terkini seperti dokumentari dan video penceritaan telah memanfaatkan suara latar berasaskan AI yang dihasilkan berdasarkan kehendak skrip atau deskripsi teks yang diberikan.

Antara platform dan aplikasi AI generatif dalam bidang muzik yang kini mendapat perhatian ialah Soundful, sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna menghasilkan muzik bebas royalti untuk pelbagai tujuan seperti video, penstriman dan audio siar. Pengguna boleh memilih suasana serta gaya audio yang diinginkan dan AI akan menjanakan komposisi trek yang bermutu tinggi.

Satu lagi aplikasi yang sedang meningkat popularitinya ialah Udio, iaitu penjana muzik berasaskan teks yang digelar “ChatGPT untuk muzik” kerana kebolehannya menghasilkan trek lengkap berkualiti tinggi berdasarkan arahan ringkas. Ciri dinamiknya menjadikannya mudah digunakan oleh pelbagai peringkat pengguna.

AIVA atau Artificial Intelligence Virtual Artist pula terkenal dalam kalangan pencipta muzik untuk filem, khususnya bagi menghasilkan komposisi orkestra atau piano yang beremosi dan menyentuh perasaan. Teknologi ini mampu menjanakan skor muzik yang bukan sahaja sesuai dengan naratif, malah menyerlahkan pengalaman sinematik penonton.

Sementara itu, Amper Music menyediakan platform penghasilan muzik yang mesra pengguna, walaupun tanpa pengetahuan muzik yang mendalam. Perisian ini dilengkapi dengan pelbagai fungsi ringkas yang mempercepat proses penciptaan muzik dan menjadikannya lebih inklusif.

Secara keseluruhan, AI generatif dalam bidang muzik telah memperluas horizon ekspresi kreatif. Penggabungan teknologi ini dalam proses muzik moden telah membuka lembaran baharu dalam penghasilan audio yang lebih efisien, berkesan dan berdaya cipta.

AI Generatif dalam Dunia Penulisan Kreatif dan Kandungan Digital

Selain bidang seni visual dan muzik, dunia penulisan kreatif turut merasai arus perubahan yang dibawa oleh teknologi AI generatif. Dalam bidang ini, AI generatif berperanan sebagai pemangkin kepada proses penciptaan kandungan, terutamanya kerana penulisan memerlukan perincian idea yang sistematik dan tersusun.

Antara kelebihan utama AI generatif dalam bidang penulisan termasuklah keupayaannya untuk membantu dalam penghasilan senario dan naskhah. Melalui AI, seseorang penulis atau pengkarya dapat mengembangkan plot, membentuk watak serta menghasilkan dialog berdasarkan deskripsi ringkas yang diberikan. Proses ini memberikan ruang kepada pencambahan idea secara pantas, sekali gus membantu dalam merangka pelbagai bentuk cerita atau skrip yang lebih kreatif dan pelbagai.

Selain itu, AI generatif juga berguna dalam penghasilan kandungan pemasaran. Daripada penulisan tajuk utama sehingga kepada body copy, AI berupaya merangka kandungan promosi yang menarik, relevan dan bersesuaian dengan kehendak pasaran. Hanya dengan memberikan cetusan idea awal dan hala tuju pemasaran dengan ringkas, sistem AI boleh menjanakan kandungan yang teratur dan meyakinkan, justeru mempercepat proses kempen pemasaran.

Di samping itu, AI generatif turut membantu dalam pengembangan idea penceritaan. Melalui perkongsian deskripsi ringkas, penulis boleh memperoleh pelbagai cadangan kesinambungan cerita atau pilihan jalan cerita yang sesuai. Hal ini menjimatkan masa dalam proses perancangan naratif dan membolehkan penulis bereksperimen dengan pelbagai pendekatan penceritaan dalam masa yang lebih singkat dan produktif.

Beberapa platform dan aplikasi juga telah dibangunkan khusus untuk menyokong proses ini. Antaranya termasuklah ChatGPT, Gemini dan Claude, iaitu model bahasa berskala besar yang dapat membantu menghasilkan teks, idea cerita, dialog, ringkasan atau draf awal skrip berdasarkan deskripsi yang diberikan. Aplikasi ini sesuai dijadikan titik permulaan cetusan idea bagi penulis.

Sementara itu, Jasper, sebuah alat penulisan AI generatif direka khusus untuk tujuan pemasaran, blog dan kandungan digital. Jasper membantu pencipta kandungan menghasilkan cerita iklan, tajuk utama, deskripsi produk serta kandungan media sosial yang lebih menarik dan konsisten.

Sementara itu, Sudowrite pula memberikan tumpuan kepada penulisan fiksyen. Aplikasi ini membantu penulis mengembangkan watak, menulis adegan dan merangka plot dengan lebih kreatif, lalu menjadikannya sesuai untuk penulisan novel dan cerpen.

Copilot yang diintegrasikan dalam perisian Microsoft 365 seperti Word, PowerPoint, Outlook dan Excel pula menawarkan sokongan dalam penulisan dokumen, pembinaan persembahan multimedia, analisis data dan pengurusan e-mel. Melalui akses kepada pangkalan data yang luas, Copilot berupaya memberikan cadangan yang bersesuaian dan membantu pengguna memperkemas kandungan dengan lebih efisien.

Cabaran dan Isu Etika AI Generatif

Meskipun teknologi AI generatif menawarkan potensi besar dan manfaat nyata kepada pengguna serta penggiat seni, terdapat beberapa isu etika dan cabaran yang semakin menjadi perhatian dalam kalangan masyarakat kreatif. Peranan AI dalam penghasilan kandungan seni perlu dilihat secara menyeluruh agar tidak menimbulkan konflik nilai, keraguan moral mahupun ancaman terhadap integriti bidang kreatif.

Satu daripada isu tersebut ialah persoalan mengenai kepemilikan dan hak cipta. Timbul persoalan tentang siapakah yang berhak dianggap sebagai pemilik sah terhadap karya yang dihasilkan dengan menggunakan AI? Apabila AI dilatih dengan menggunakan data sedia ada yang terdiri daripada karya terdahulu, wujud kebimbangan tentang kemungkinan pelanggaran hak cipta sekiranya elemen karya asal digunakan tanpa kebenaran. Ketelusan dalam sumber latihan data dan perundangan berkaitan harta intelek juga masih menjadi ruang yang belum sepenuhnya ditangani.

Selain itu, terdapat juga persoalan tentang kualiti dan keaslian karya. Walaupun AI mampu menghasilkan kandungan yang tampak kreatif dan unik, adakah kandungan tersebut asli atau sekadar hasil gabungan semula daripada corak data yang dipelajari? Perkara ini menimbulkan cabaran kepada pengguna dan penggiat seni untuk menilai kedalaman emosi, kreativiti tulen dan nilai estetik sebenar sesuatu karya yang dihasilkan oleh sistem bukan manusia.

Tambahan pula, kemunculan AI generatif menimbulkan kebimbangan terhadap penggantian pekerjaan dalam industri kreatif. Walaupun AI lebih sesuai dilihat sebagai alat bantu yang meningkatkan produktiviti dan bukan sebagai pengganti, penggunaannya yang meluas secara tidak terkawal boleh mencetuskan kesan sampingan. Terdapat risiko apabila pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan pintas dengan menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan sehingga menjejaskan ruang bagi pengungkapan seni asli dan menghakis nilai kerja kreatif manusia itu sendiri.

Masa Hadapan AI Generatif dalam Kreativiti dan Hiburan

Melangkah ke hadapan, masa depan AI generatif dalam industri kreatif dan hiburan kelihatan cerah, namun tidak kurang juga cabarannya. Teknologi ini dijangka akan terus berintegrasi dalam proses kerja kreatif dan membolehkan penggiat seni, pemuzik dan penulis meneroka bentuk inovasi yang lebih mendalam dan tidak terjangkau sebelum ini. Kolaborasi antara manusia dengan AI juga berpotensi menjadi norma baharu yang menyatukan keunikan pemikiran manusia dengan kepantasan serta kecekapan teknologi.

Pada asasnya, AI generatif bukan dicipta untuk menggantikan kreativiti manusia tetapi bertujuan memperkaya proses penciptaan dan memperluas sempadan ekspresi seni. Teknologi ini akan membuka ruang kepada bentuk persembahan baharu, mempercepat eksperimen artistik dan memperkukuh produktiviti pengkarya dalam pelbagai bidang. Namun begitu, keseimbangan perlu dicapai agar teknologi ini berfungsi sebagai pemangkin dan bukan pengganti nilai teras seni.

Sebagai seorang pengkarya dan pendidik dalam bidang seni kreatif, penulis sendiri menyedari bahawa AI generatif bukan sesuatu yang boleh ditolak mentah-mentah. Sebaliknya, keterbukaan terhadap eksperimen serta kemampuan individu untuk mengintegrasikan teknologi secara bijak akan menentukan arah tuju perkembangan seni itu sendiri.

Yang penting, dalam usaha meneroka teknologi baharu, kita tidak seharusnya mengabaikan akar seni yang berpaksikan emosi, nilai, pengalaman dan kemanusiaan. Mengangkat teknologi secara berlebihan tanpa menilai kesan jangka panjangnya terhadap roh kreativiti sebenar hanya akan meletakkan seni pada laluan yang terasing daripada asal usulnya.

 

Tentang Penulis: Khairul Yusri Zamri merupakan seorang “design thinker”, “tech strategist” dan pensyarah kreatif di New Era University College. Beliau sentiasa aktif dalam memberikan pandangan dan pendapat dalam beberapa bengkel kreatif dan inovasi selain terlibat sebagai penasihat industri kreatif, penceramah motivasi, juri pertandingan inovasi dan penilai modul pembelajaran di beberapa buah institusi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi