Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia psikologi, terdapat pelbagai tindak balas manusia yang sukar diramalkan apabila berdepan dengan situasi yang mencemaskan atau mengancam nyawa. Satu daripada tindak balas yang mengejutkan dan masih menjadi perdebatan dalam kalangan pakar ialah sindrom Stockholm. Situasi ini merujuk keadaan luar jangka apabila mangsa penculikan atau tebusan menunjukkan simpati, kepercayaan atau sokongan terhadap penculik.
Istilah sindrom Stockholm merujuk keadaan emosi atau perasaan positif yang terbentuk antara mangsa dengan penculik. Istilah ini dinamakan sempena satu kejadian rompakan bank yang berlaku di Stockholm, Sweden yang mencetuskan perhatian dunia terhadap reaksi psikologi luar biasa dalam kalangan mangsa.
Sindrom Stockholm
Pada pagi 23 Ogos 197 , seorang banduan yang melarikan diri dari penjara, Janne Olsson yang berusia 32 tahun telah memasuki sebuah bank di Stockholm sambil bersenjatakan senapang kecil. Beberapa das tembakan dilepaskan sehingga mencederakan seorang pegawai polis.
Susulan itu, empat kerani bank dijadikan tebusan. Olsson menuntut agar rakannya, Clark Olofsson yang berusia 26 tahun dan sedang menjalani hukuman penjara, dibebaskan serta dibenarkan menyertainya, selain menuntut wang tebusan sebagai jaminan keselamatan tebusan.
Permintaan tersebut diluluskan oleh pihak berkuasa Sweden. Selepas itu, Olsson dan Olofsson bersama-sama empat tebusan berkurung dalam peti besi bank selama enam hari. Apabila mereka akhirnya dibebaskan, keempat-empat tebusan dilihat menunjukkan keterikatan emosi terhadap penculik dan seolah-olah enggan diselamatkan oleh pihak polis.
Dalam sesi soal siasat, tebusan tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Lebih mengejutkan, mereka menyatakan hasrat untuk mengumpul wang bagi membantu pembelaan Olsson dan Olofsson.
Kejadian ini telah mendorong pakar psikologi dan psikiatri menamakan fenomena tersebut sebagai sindrom Stockholm, bersempena dengan lokasi kejadian tersebut. Walaupun pelbagai kajian saintifik telah dijalankan bagi membuktikan kewujudan sindrom Stockholm, fenomena ini masih belum diiktiraf dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental.
Punca Sindrom Stockholm
Kajian menunjukkan bahawa sindrom Stockholm lazimnya berpunca daripada penderaan secara psikologi, bukan semata-mata penderaan fizikal. Dalam kebanyakan kes, penculik atau pendera akan cuba menunjukkan tingkah laku mesra kepada mangsa bagi membina ikatan emosi yang positif. Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa menaruh kepercayaan terhadap pemangsa dan pada masa yang sama, memupuk perasaan negatif terhadap pihak polis atau pihak berkuasa yang berusaha menyelamatkan mereka.
Golongan kanak-kanak dan wanita dikenal pasti sebagai kumpulan yang lebih mudah terdedah kepada sindrom ini. Hal ini berkait rapat dengan sifat bergantung pada individu dewasa yang dilihat sebagai pelindung atau penyedia keperluan asas. Pergantungan tersebut boleh menimbulkan perasaan sayang, walaupun individu dewasa berkenaan sebenarnya merupakan pendera. Kesannya, mangsa sukar untuk meminta pertolongan atau melarikan diri daripada situasi penderaan.
Sindrom Stockholm turut dikenal pasti dalam konteks hubungan peribadi, khususnya dalam kes keganasan rumah tangga. Dalam situasi ini, mangsa menunjukkan perasaan positif, empati atau kasih terhadap pasangan yang mendera, meskipun mengalami penderaan secara berterusan. Menurut Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, kebanyakan mangsa yang membuat laporan berhubung keganasan rumah tangga menarik semula laporan kerana perasaan kasihan terhadap pasangan serta enggan berpisah demi kepentingan anak-anak.
Keadaan ini memperlihatkan betapa pentingnya kesedaran masyarakat terhadap kewujudan sindrom Stockholm. Pemangsa lazimnya akan memanipulasi psikologi dan emosi mangsa sehingga menyebabkan mangsa terperangkap dalam hubungan yang tidak sihat. Mangsa sering tidak menyedari akan kedudukan sebenar mereka dan akhirnya gagal untuk keluar daripada situasi tersebut atau mendapatkan bantuan yang sepatutnya.
Cara Mengatasi Sindrom Stockholm
Proses pemulihan daripada sindrom Stockholm memerlukan pendekatan yang melibatkan sokongan emosi, pemahaman psikologi serta usaha daripada mangsa dan pihak yang membantu. Antara langkah yang boleh membantu individu untuk keluar daripada kitaran trauma dan membina semula kehidupan yang lebih sihat termasuklah:
Mendapatkan bantuan ahli terapi profesional
Sesi terapi bersama-sama pakar psikologi dapat membantu individu mengenal pasti dan mengubah corak pemikiran yang terhasil akibat trauma. Ahli terapi akan membimbing mangsa untuk memahami pengalaman yang pernah dilalui dan seterusnya membina semula perspektif kendiri yang lebih sihat.
Mendapatkan sokongan keluarga dan rakan
Hubungan yang sihat dengan ahli keluarga dan rakan rapat boleh memberikan sokongan emosi yang diperlukan sepanjang proses pemulihan. Mangsa digalakkan untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka. Menyertai kumpulan sokongan yang terdiri daripada individu yang mengalami situasi serupa turut membantu mangsa merasa difahami dan tidak keseorangan.
Pendidikan dan kesedaran
Pemahaman tentang konsep sindrom Stockholm, trauma serta ikatan psikologi antara mangsa dan pemangsa dapat memperkukuh proses pemulihan. Pendidikan yang tepat membantu mengurangkan kekeliruan, perasaan bersalah terhadap diri sendiri, dan rasa terasing daripada masyarakat.
Membina keyakinan diri
Menguasai kemahiran hidup yang praktikal atau melibatkan diri dalam bidang pekerjaan boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pemangsa. Usaha untuk membuat keputusan secara bebas dan mendapatkan semula autonomi diri berupaya meningkatkan keyakinan serta ketahanan emosi mangsa.
Penjagaan diri dan emosi
Penjagaan diri yang konsisten seperti mengutamakan kebersihan diri, melakukan senaman ringan, mendapatkan rehat secukupnya, serta mengambil makanan seimbang dapat menyokong kesihatan mental dan fizikal. Amalan ini membantu memperbaik kesejahteraan keseluruhan dan mempercepat proses pemulihan.
Secara keseluruhannya, sindrom Stockholm merupakan satu fenomena psikologi yang kompleks dan sukar difahami tanpa pengetahuan serta kepekaan terhadap aspek trauma dan penderaan emosi. Walaupun sindrom ini tidak diiktiraf secara rasmi dalam manual diagnostik psikiatri, kewujudannya dalam pelbagai situasi sebenar membuktikan bahawa reaksi emosi yang terbina antara mangsa dan pemangsa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Oleh itu, kesedaran masyarakat amat penting untuk membantu mengenal pasti tanda-tanda awal sindrom ini, seterusnya memberikan sokongan yang bersesuaian kepada individu yang terkesan. Usaha meningkatkan pemahaman awam melalui pendidikan, sokongan profesional dan empati sosial merupakan langkah penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan peka terhadap kesihatan mental setiap individu.