Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia yang semakin bergantung kepada sistem logistik yang pantas dan cekap, kenderaan berat seperti lori, treler dan bas memainkan peranan penting dalam memastikan barangan dan penumpang tiba ke destinasi dengan selamat serta tepat pada masanya. Di Malaysia, sebahagian besar kargo diangkut melalui jalan raya dan hal ini menjadikan pengangkutan darat sebagai nadi utama kepada ekonomi negara.
Namun begitu, peningkatan bilangan kenderaan berat di jalan raya bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan sektor logistik, bahkan turut menimbulkan pelbagai cabaran . Keadaan ini menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan, mempercepatkan kerosakan infrastruktur serta menyebabkan kesesakan lalu lintas yang semakin berpanjangan.
Bagi menangani isu ini, pelbagai usaha sedang dilaksanakan seperti penggunaan teknologi pemantauan moden, pelaksanaan dasar keselamatan yang lebih ketat serta perancangan infrastruktur yang mampan. Kesemua langkah ini merupakan ikhtiar untuk mencapai keseimbangan antara tuntutan pembangunan dengan keutamaan keselamatan awam.
Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah kenderaan berat di jalan raya turut membawa kesan sampingan yang membimbangkan, terutamanya dari aspek keselamatan. Kes kemalangan tragis melibatkan lori muatan berat dan bas ekspres kerap menjadi tajuk utama dalam laporan media, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Kesan daripada insiden sedemikian bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna jalan raya, bahkan turut memberi implikasi terhadap ekonomi dan kesejahteraan awam.
Kemalangan melibatkan kenderaan berat sering membawa kesan yang lebih serius berbanding kenderaan ringan, sama ada dari segi kemusnahan harta benda ataupun kehilangan nyawa. Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila data Jabatan Pengangkutan Jalan menunjukkan bahawa peratusan kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat masih kekal tinggi, terutamanya di lebuh raya utama dan laluan berbukit yang berisiko tinggi.
Statistik terkini menunjukkan bahawa dalam suku pertama tahun 2024 sahaja, sebanyak 652 kes kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, 287 kematian, 95 kecederaan parah dan 270 kecederaan ringan telah dicatatkan.
Beberapa faktor utama telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada risiko kemalangan yang tinggi melibatkan kenderaan berat. Antara yang paling ketara termasuklah kelemahan sistem brek dan ampaian. Ketiadaan teknologi kawalan seperti brek antikunci dan sistem kestabilan elektronik menjadikan kenderaan berat lebih mudah terdedah kepada kegagalan mekanikal, terutamanya ketika menuruni cerun curam atau melalui laluan berbukit.
Kedua, kewujudan titik buta (blind spot) akibat saiz fizikal kenderaan yang besar, lalu mewujudkan ruang pandangan terhad bagi pemandu. Keadaan ini menyukarkan pemandu mengesan kehadiran kenderaan kecil di sekeliling, sekali gus meningkatkan risiko pelanggaran semasa membelok atau menukar lorong.
Ketiga, keletihan pemandu turut dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kemalangan. Jadual kerja yang panjang, tekanan masa penghantaran serta waktu rehat yang tidak mencukupi boleh menjejaskan tahap kepekaan dan tindak balas pemandu.
Akhir sekali, isu muatan berlebihan juga memburukkan lagi keadaan. Kenderaan yang membawa beban melebihi had ditetapkan bukan sahaja menambah tekanan terhadap sistem brek dan ampaian, bahkan mempercepat kerosakan pada struktur jalan serta mengurangkan kestabilan kenderaan semasa membrek secara mengejut.
Keselamatan Merupakan Tindakan
Dalam membentuk landskap keselamatan jalan raya yang mampan, prinsip pencegahan perlu menjadi teras utama. Langkah ini menuntut perubahan paradigma dalam pemikiran, sistem pengurusan risiko dan budaya kerja dalam keseluruhan ekosistem pengangkutan. Semua pihak yang terlibat, daripada pembuat dasar, pengendali kenderaan berat, jurutera hinggalah pengguna jalan raya perlu mengamalkan sikap profesional yang berpaksikan tanggungjawab tanpa berkompromi terhadap keselamatan.
Sistem bantuan memandu lanjutan
Satu daripada teknologi utama dalam pencegahan kemalangan kenderaan berat ialah Advanced Driver Assistance Systems (ADAS). Sistem ini berfungsi sebagai “mata tambahan” yang memantau keadaan sekeliling kenderaan serta memberikan amaran kepada pemandu sebelum situasi menjadi kritikal. Sebagai contoh, sistem amaran keluar lorong atau lane departure warning (LDW) dan bantuan kekal lorong atau lane keeping assistance (LKA) membantu mencegah kenderaan daripada terbabas ke lorong lain, manakala brek kecemasan automatik atau autonomous emergency braking (AEB) mengesan halangan di hadapan dan mampu memberhentikan kenderaan secara automatik sekiranya pemandu gagal bertindak.
Pemantauan pemandu berasaskan kecerdasan buatan (AI)
Kejadian kemalangan yang berpunca daripada keletihan pemandu kerap berlaku dalam pengangkutan jarak jauh. Sistem pengesanan keletihan pemandu (driver fatigue detection) menggunakan kamera inframerah untuk mengesan pergerakan mata, kadar kelipan, arah pandangan dan kedudukan kepala. AI mampu menilai corak keletihan serta memberikan amaran awal kepada pemandu sekiranya terdapat tanda mengantuk. Jika dikesan gejala seperti kehilangan tumpuan, sistem akan memberikan amaran bunyi dan visual. Sesetengah sistem pula mampu memperlahankan kenderaan secara automatik sekiranya tiada tindak balas daripada pemandu.
Selain itu, sistem pemantauan tingkah laku pemandu dapat menganalisis ekspresi wajah, frekuensi pandangan ke jalan dan interaksi dengan peranti lain. Sistem ini mengesan gangguan seperti penggunaan telefon bimbit, merokok atau kegagalan memakai tali pinggang keledar semasa memandu.
Analisis masa nyata dan amaran audio—visual turut memainkan peranan penting. Apabila dikesan kelainan seperti keletihan atau kekurangan fokus, sistem akan mengaktifkan amaran suara, getaran tempat duduk atau visual di papan pemuka. Terdapat juga sistem yang boleh menghantar data ke pusat kawalan bagi membolehkan tindak balas segera atau penjadualan semula pemanduan dilakukan.
Satu lagi sistem yang wajar dipertimbangkan oleh pemilik kenderaan berat ialah gabungan AI dengan telematik. Sistem pemantauan ini dihubungkan kepada telematik bagi membentuk profil risiko pemandu. Maklumat seperti kekerapan mengantuk, masa pemanduan berlebihan atau gangguan semasa memandu boleh digunakan untuk keperluan latihan semula atau pelarasan jadual kerja.
Cermin digital dan kamera 360 darjah
Kenderaan berat lazimnya mempunyai titik buta yang besar, terutama di sisi dan belakang. Penggunaan kamera 360 darjah serta cermin digital yang menggantikan cermin sisi konvensional dapat memberikan pandangan menyeluruh terhadap persekitaran kenderaan, termasuklah dalam keadaan cuaca buruk atau waktu malam. Sebagai contoh, sistem MirrorCam yang digunakan oleh Mercedes-Benz Trucks bukan sahaja memperluas medan penglihatan, malah mengurangkan seretan angin dan meningkatkan kecekapan bahan api.
Penggunaan kamera berdefinisi tinggi serta cermin digital terbukti membantu menambah tahap penglihatan sekeliling kenderaan berat. Keadaan ini sangat berguna dalam situasi seperti hujan lebat atau kabus tebal yang lazim berlaku di kawasan tanah tinggi di Malaysia, apabila cermin tradisional gagal memberikan pandangan jelas akibat wap air atau percikan lumpur.
Selain teknologi yang dinyatakan, telematik kini menjadi tulang belakang kepada pengurusan armada kenderaan berat yang lebih selamat dan efisien. Melalui pemantauan masa nyata terhadap kelajuan, brek mengejut, tempoh pemanduan dan prestasi pemandu, syarikat seperti Scania dan Volvo membangunkan platform digital yang membolehkan analisis risiko, penjadualan penyelenggaraan serta latihan berasaskan data dijalankan dengan lebih menyeluruh.
Tambahan pula, konsep platooning, iaitu konvoi lori yang bergerak secara automatik dengan satu pemandu di hadapan diikuti oleh kenderaan lain melalui sistem komunikasi kenderaan-ke-kenderaan (V2V) sedang diuji di beberapa negara maju. Teknologi ini menunjukkan potensi besar untuk digunakan di lebuh raya utama Malaysia, memandangkan keupayaannya mengurangkan keletihan pemandu dan meningkatkan konsistensi kawalan kenderaan.
Langkah Keselamatan
Walau secanggih mana teknologi keselamatan yang dipasang pada kenderaan berat, elemen manusia tetap menjadi faktor penentu keberkesanannya. Tanpa sikap yang bertanggungjawab, disiplin yang tinggi dan kesedaran keselamatan yang konsisten dalam kalangan pemandu serta pengendali, teknologi hanyalah alat yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Oleh sebab itu, pendidikan, latihan dan pembudayaan keselamatan perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi agar impaknya benar-benar dapat menyelamatkan nyawa di jalan raya. Pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa, pengendali logistik dan pengguna jalan raya lain untuk meningkatkan tahap keselamatan.
Pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan
Kenderaan berat perlu menjalani pemeriksaan teknikal secara berkala yang merangkumi sistem brek, lampu, tayar dan muatan. Penyelenggaraan berjadual bukan sahaja memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat, malah membantu memanjangkan jangka hayat penggunaan. Pemilik kenderaan berat harus memastikan penyelenggaraan dilakukan dengan rapi, khususnya terhadap komponen utama seperti sistem brek dan tayar bagi mengelakkan berlakunya kegagalan mekanikal.
Latihan dan pemantauan pemandu
Pemandu kenderaan berat perlu dilatih secara profesional. Bukan setakat dalam aspek kemahiran pemanduan, malah perlu merangkumi pengurusan keletihan, etika jalan raya dan tindak balas semasa kecemasan. Pendedahan kepada teknik pengendalian dalam pelbagai keadaan serta simulasi situasi kecemasan amat penting untuk membina keyakinan dan kecekapan pemandu.
Penguatkuasaan yang berterusan
Undang-undang lalu lintas perlu dikuatkuasakan secara konsisten terhadap pemandu kenderaan berat yang melanggar peraturan. Penggunaan sistem pemantauan seperti kamera lebuh raya dapat membantu dalam mengesan kesalahan.
Penguatkuasaan tidak seharusnya bersifat reaktif selepas aduan atau insiden berlaku, sebaliknya perlu dijadikan amalan rutin dan berterusan. Kehadiran penguat kuasa berperanan sebagai elemen pencegahan yang proaktif agar budaya pematuhan dan keselamatan dapat dibentuk secara menyeluruh.
Kesedaran awam
Pengguna jalan raya lain juga perlu dididik tentang kaedah berkongsi jalan dengan selamat bersama kenderaan berat. Antaranya termasuklah mengelakkan memotong dari sebelah kiri, tidak mengekori terlalu rapat dari belakang serta memahami kewujudan titik buta lori. Kempen kesedaran khusus berkaitan dengan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat boleh meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap potensi bahaya serta tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan di jalan raya.
Kesimpulannya, keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat tidak terletak di atas bahu pemandu atau pengendali semata-mata. Keberkesanannya bergantung pada jalinan kerjasama antara pelbagai komponen sistem, termasuklah teknologi yang bersesuaian dengan keperluan tempatan, dasar yang berkesan serta amalan pengguna jalan yang berdisiplin.
Mencegah kemalangan memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi penyelenggaraan prasarana, penggunaan teknologi pintar, latihan berkualiti kepada pemandu dan sistem pemantauan yang menyeluruh. Setiap elemen ini perlu digerakkan secara serentak agar mampu menghasilkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat.
Potensi Malaysia untuk membina sistem pengangkutan berat yang cekap dan selamat bergantung pada kesungguhan semua pihak untuk bergerak seiring. Tindakan yang berterusan serta berpandukan data dan keperluan sebenar pengguna jalan akan menjadi asas kepada perubahan yang berimpak tinggi.
Dr. Suzielah Rahmad,
Jurutera Perunding Bebas.