Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangWanita berusia antara 30 tahun hingga 50 tahun kini memikul peranan yang semakin kompleks dalam landskap masyarakat moden Malaysia. Selain berfungsi sebagai ibu kepada anak-anak yang sedang membesar, mereka turut memegang tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang telah lanjut usia. Keadaan ini meletakkan mereka dalam satu kedudukan unik yang sering dirujuk sebagai generasi sandwic.
Pada masa yang sama, wanita dalam lingkungan usia ini juga sedang melalui fasa perubahan biologi yang dikenali sebagai perimenopause, suatu tempoh peralihan sebelum menopaus yang dicirikan oleh perubahan hormon utama seperti estrogen dan progesteron.
Kombinasi tekanan daripada tanggungjawab pelbagai hala dan perubahan hormon ini memberikan kesan ketara terhadap tahap kesejahteraan mereka secara menyeluruh. Kesan tersebut merangkumi dimensi kesihatan fizikal, mental dan spiritual serta mempengaruhi keharmonian dalam institusi keluarga.
Generasi Sandwic
Istilah generasi sandwic merujuk individu, khususnya wanita yang secara serentak memikul tanggungjawab menjaga anak-anak yang sedang membesar dan ibu bapa yang semakin menua. Tanggungjawab dua hala ini menjadikan mereka “tersepit: antara dua generasi yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan sepenuh masa. Dalam konteks budaya Asia yang menitikberatkan nilai kekeluargaan serta tanggungjawab moral terhadap orang tua, peranan ini bukan sahaja dilihat sebagai tanggungjawab, malah sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen dan kasih sayang.
Banyak wanita dalam lingkungan usia pertengahan bukan sekadar berperanan sebagai ibu yang mengurus keperluan anak-anak dari aspek fizikal dan emosi, malah turut menjadi penjaga utama kepada ibu bapa yang uzur dan memerlukan pemantauan kesihatan, sokongan mental serta bantuan harian. Keadaan ini meletakkan wanita dalam keadaan tekanan yang berterusan, sering kali tanpa ruang untuk berehat mahupun menjaga diri sendiri secara menyeluruh.
Keadaan ini menyebabkan banyak wanita dalam kelompok ini berada dalam keadaan keletihan fizikal dan mental yang kronik. Apabila tekanan ini dibiarkan tanpa intervensi yang sesuai, mereka terdedah kepada risiko lesu upaya atau burnout yang serius, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk berfungsi secara optimum dalam pelbagai peranan harian.
Keseimbangan Kehidupan Bekerja
Dalam dunia serba pantas pada hari ini, istilah keseimbangan kehidupan bekerja atau work-life balance semakin kerap diperkatakan. Namun begitu, realitinya masih jauh daripada dicapai, khususnya bagi wanita dalam kelompok generasi sandwich. Mereka lazimnya meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan diri sendiri. Waktu untuk bersenam, mendapatkan tidur berkualiti, menjaga penampilan, mengamalkan pemakanan seimbang atau menjalani refleksi spiritual sering diketepikan demi memenuhi tuntutan harian.
Ketidakseimbangan gaya hidup ini mempercepatkan gangguan hormon estrogen dan progesteron, sekali gus mencetuskan krisis dalaman diri. Keadaan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan kesihatan dan metabolisme badan secara menyeluruh.
Amalan diet sihat memainkan peranan penting dalam menstabilkan hormon, menguatkan sistem imun dan meningkatkan mood harian wanita. Sebaliknya, pengambilan gula berlebihan, makanan terproses, kafein secara berlebihan dan minuman berkarbonat boleh mencetuskan ketidakseimbangan hormon serta gangguan emosi. Malangnya, banyak wanita menjadikan makanan ringan sebagai mekanisme tindak balas terhadap tekanan harian, tanpa menyedari bahawa amalan ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan dalaman badan.
Impak Terhadap Kesihatan Mental dan Spiritual
Kesihatan mental merupakan tunjang kepada kestabilan emosi, kekuatan fizikal dan interaksi sosial yang berkualiti. Bagi wanita dalam generasi sandwic, tekanan ringan seperti rasa tertekan dan keresahan seringkali menjadi rutin harian.
Dari sudut kesihatan mental, tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan gejala seperti kemurungan ringan, gangguan tidur dan perasaan terasing. Apabila kesihatan mental terjejas, kesejahteraan spiritual turut tergugat. Hal ini boleh melemahkan semangat dalaman, menyebabkan rasa kosong, kehilangan motivasi dan ada kalanya persoalan tentang nilai kehidupan sendiri.
Sebaliknya, wanita yang mengamalkan rutin reflektif seperti ibadah doa zikir, meditasi atau senaman minda seperti yoga dan tai chi menunjukkan ketahanan emosi yang lebih baik dalam menangani tekanan. Amalan kerohanian ini terbukti dapat menstabilkan emosi, mengurangkan stres dan secara tidak langsung membantu dalam keseimbangan hormon.
Amalan kesedaran kendiri seperti penulisan jurnal harian, teknik pernafasan dalam, meditasi serta meluangkan masa untuk berehat tanpa rasa bersalah merupakan komponen penting dalam pemeliharaan kesihatan mental individu. Sekiranya intervensi kaunseling diperlukan, langkah tersebut tidak wajar dianggap sebagai tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan keberanian individu dalam usaha menyayangi dan memulihkan diri sendiri. Kesihatan mental yang baik juga menyumbang kepada kestabilan penghasilan hormon, pengurangan tindak balas keradangan serta pemulihan sistem badan secara holistik.
Lingkungan Kawan yang Positif
Sokongan sosial merupakan “penawar” yang tidak dijual di farmasi, namun kesannya amat mujarab dalam membantu mengekalkan kestabilan emosi. Bagi wanita generasi sandwic yang sedang bergelut mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga dan keperluan peribadi, kehadiran rakan-rakan yang positif, memahami dan tidak bersikap menghakimi menjadi saluran emosi yang sangat berharga.
Rakan-rakan sedemikian menjadi tempat untuk meluahkan rasa, mencetuskan semangat, menghadirkan keceriaan dan mengingatkan bahawa perjuangan hidup tidak dilalui sendirian. Kajian dalam bidang psikologi sosial menunjukkan bahawa individu yang mempunyai hubungan sosial yang rapat dan bermakna didapati lebih “kebal” terhadap tekanan serta berisiko rendah mengalami kemurungan.
Oleh sebab itu, membina dan memelihara lingkungan kawan yang positif merupakan bentuk penjagaan kesihatan emosi yang wajar diberikan perhatian. Aktiviti seperti majlis juadah bawaan, santai petang di kafe, sesi ilmu atau hari spa berpotensi memperkukuh ikatan ukhuwah dan menyediakan ruang untuk saling menyokong dalam suasana yang sihat.
Sementara itu, menjalinkan persahabatan dengan wanita lain yang sedang melalui fasa kehidupan yang serupa dapat mencetuskan inspirasi, memberikan sokongan moral dan memperteguh rasa solidariti. Dalam konteks kehidupan yang serba sibuk dan mencabar, kewujudan lingkungan yang positif membantu wanita mengekalkan keseimbangan emosi serta memberikan perspektif baharu terhadap konsep keseimbangan kehidupan bekerja yang lebih realistik dan mampan.
Penampilan Diri dan Berhias
Penampilan diri sebenarnya tidak terbatas pada aspek kosmetik atau solekan semata-mata. Tindakan ini mencerminkan harga diri, kesedaran terhadap badan serta lambang kasih sayang dan penghormatan kepada diri sendiri. Terdapat ungkapan yang menyatakan, “Sayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.” Prinsip ini wajar dijadikan pegangan, khususnya oleh wanita generasi sandwic yang sering memikul pelbagai tanggungjawab yang merangkumi tuntutan rumah tangga, kerjaya dan keluarga.
Tekanan fizikal dan emosi yang berpanjangan juga boleh mendorong wanita untuk mula mengabaikan penampilan diri tanpa disedari. Rambut disanggul ala kadar, pakaian dipilih secara tergesa-gesa dan masa untuk diri sendiri menjadi keutamaan yang paling akhir dalam rutin harian.
Sebenarnya, meluangkan sedikit masa untuk menjaga kebersihan diri, memakai pakaian yang kemas dan sesuai serta berhias secara sederhana mampu meningkatkan keyakinan dan memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan emosi. Apabila wanita berasa dihargai serta selesa dengan diri sendiri, mereka lebih berupaya memancarkan tenaga yang positif kepada orang sekeliling, terutamanya pasangan dan anak-anak.
Berhias secara sederhana turut berperanan sebagai bentuk terapi yang menyatukan keperluan fizikal dan emosi. Amalan ini dapat membantu meredakan kemurungan ringan, membangkitkan rasa segar serta memulihkan semangat yang terhakis akibat tekanan harian.
Oleh hal yang demikian, dalam konteks keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi, menjaga penampilan diri bukanlah tanda keangkuhan atau pembaziran. Sebaliknya, tindakan tersebut merupakan keperluan untuk memastikan kesejahteraan emosi terpelihara dan diri kekal berfungsi secara optimum dalam menghadapi pelbagai peranan harian.
Secara tuntas, wanita generasi sandwic berhadapan dengan cabaran fizikal, mental dan emosi yang berganda dalam ekosistem masyarakat madani pada masa ini. Mereka memainkan pelbagai peranan serentak dalam kehidupan harian, yakni sebagai anak yang bertanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia, sebagai ibu yang mendidik dan membesarkan anak, sebagai isteri yang menyokong keluarga dan sebagai pekerja yang memenuhi tuntutan profesional.
Gabungan peranan ini sering menimbulkan tekanan yang berpanjangan sehingga mewujudkan keadaan ketidakseimbangan dalam kehidupan seharian. Keperluan untuk sentiasa hadir dalam setiap ruang kehidupan orang lain menyebabkan kesejahteraan diri sendiri sering diketepikan. Keletihan fizikal, beban emosi dan kekangan masa menjadi halangan utama untuk mereka menumpukan perhatian terhadap kesihatan dan keseimbangan dalaman.
Sehubungan dengan itu, kesejahteraan menyeluruh perlu diberikan keutamaan yang merangkumi aspek penjagaan kesihatan hormon, kestabilan mental, sokongan sosial serta amalan mencintai dan menghargai diri sendiri. Usaha untuk memperkukuh kepimpinan kendiri dalam kalangan wanita wajar ditingkatkan melalui gaya hidup sihat, masa untuk diri sendiri serta jaringan sokongan yang saling menguatkan agar mereka kekal berdaya tahan dan sejahtera dalam menghadapi tekanan gaya hidup moden.
Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin, Pensyarah Kanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan