Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan rokok elektronik atau vape semakin mendapat perhatian masyarakat, khususnya di Malaysia. Trend ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan remaja, sekali gus menimbulkan kebimbangan yang mendalam terhadap implikasinya terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan generasi muda. Walaupun rokok elektronik sering dipromosikan sebagai alternatif yang kononnya lebih selamat berbanding dengan rokok konvensional, pelbagai dapatan saintifik telah membuktikan bahawa tanggapan sedemikian adalah tidak berasas.

Kajian perubatan mendapati bahawa penggunaan rokok elektronik terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan yang serius seperti kerosakan kekal pada sistem pernafasan. Antara kes yang paling membangkitkan keprihatinan masyarakat termasuklah insiden melibatkan seorang pemuda berusia 24 tahun yang meninggal dunia selepas menggunakan rokok elektronik secara berterusan selama tiga tahun.

Pada awalnya, beliau membuat keputusan untuk beralih daripada rokok tembakau kepada rokok elektronik dengan harapan dapat mengurangkan risiko kesihatan. Namun begitu, keputusan tersebut membawa padah apabila beliau disahkan menghidap penyakit bronchiolitis obliterans, iaitu sejenis keradangan kronik pada saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru yang turut dikenali sebagai “popcorn lung”. Penyakit ini berpunca daripada pendedahan kepada bahan kimia toksik yang terkandung dalam cecair rokok elektronik dan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan.

Kandungan Berbahaya dalam Cecair Rokok Elektronik

Sebahagian besar pengguna rokok elektronik tidak menyedari bahawa cecair yang digunakan dalam peranti ini mengandungi pelbagai bahan kimia yang berpotensi mengancam kesihatan. Cecair ini lazimnya terdiri daripada propilena glikol dan gliserin sebagai bahan asas. Namun demikian, apabila dipanaskan, bahan ini boleh menghasilkan sebatian toksik yang memberikan kesan buruk kepada badan manusia.

Antara bahan berbahaya yang dikenal pasti dalam aerosol rokok elektronik termasuklah:

  1. Formaldehid – Bahan karsinogenik yang diketahui mampu mencetuskan pertumbuhan sel kanser dalam badan manusia.

  2. Akrolein – Sebatian toksik yang boleh merosakkan lapisan tisu paru-paru dan meninggalkan kesan parut kekal.

  3. Pulegon – Bahan kimia yang terdapat dalam perisa mentol dan telah diharamkan sebagai bahan tambahan makanan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) selepas didapati menyebabkan kanser dalam kajian haiwan.

  4. Arsenik – Logam berat yang sangat toksik dan berpotensi mencemari cecair rokok elektronik semasa proses pengilangan.

  5. Nitrosamina – Bahan karsinogenik yang biasanya dikaitkan dengan produk tembakau dan amat berbahaya kepada sistem badan.

  6. Nikotin – Bahan utama yang menyebabkan ketagihan dan memberikan kesan langsung terhadap sistem saraf pusat, terutamanya dalam kalangan remaja yang otaknya masih dalam proses perkembangan.

Lebih merisaukan, kesan penyedutan bahan ini secara langsung dan berterusan adalah jauh lebih serius berbanding dengan pendedahan tidak langsung melalui makanan atau udara tercemar. Proses penyedutan memudahkan bahan kimia berbahaya ini memasuki paru-paru dan seterusnya diserap ke dalam sistem peredaran darah dengan cepat.

Tambahan pula, bahaya rokok elektronik tidak hanya terhad kepada penggunanya sahaja. Pendedahan sekunder kepada aerosol rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai secondhand aerosol turut memberikan risiko kepada individu di sekeliling, termasuklah bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan golongan warga emas. Kajian menunjukkan bahawa partikel halus dan bahan kimia yang dilepaskan ke udara melalui penggunaan rokok elektronik boleh kekal terapung dalam jangka masa yang lama, sekali gus disedut oleh mereka yang berada berdekatan, meskipun tidak menggunakan peranti tersebut.

Trend Penggunaan Rokok Elektronik yang Membimbangkan

Perkembangan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan masyarakat, khususnya remaja, menunjukkan trend yang semakin membimbangkan. Kajian di dalam dan di luar negara telah merekodkan peningkatan mendadak dalam kadar penggunaan alat tersebut, sekali gus membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ahli kesihatan awam.

Di Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan kemunculan kes penyakit paru-paru serius yang dikaitkan secara langsung dengan penggunaan rokok elektronik yang dikenali sebagai e-cigarette or vaping use-associated lung injury (EVALI). Laporan ini membuka mata banyak pihak mengenai risiko yang tersembunyi di sebalik penggunaan produk yang sering dianggap sebagai alternatif kepada rokok konvensional.

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 turut menunjukkan data yang membimbangkan. Dalam kalangan pelajar sekolah menengah, prevalens penggunaan rokok elektronik meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022. Lonjakan ini bukan sahaja menunjukkan pertambahan jumlah pengguna muda, malah mencerminkan peralihan corak ketagihan nikotin yang kian kompleks. Lebih membimbangkan, kadar penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja perempuan dilaporkan 3.65 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan penggunaan rokok tembakau, sekali gus menunjukkan kecenderungan ketagihan yang semakin meluas dalam kalangan gender yang sebelum ini kurang terlibat secara signifikan.

Satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah mudahnya akses terhadap peranti dan cecair rokok elektronik. Kajian menunjukkan bahawa satu pertiga daripada remaja memperoleh produk ini daripada kedai yang menjualnya secara terbuka, tanpa kawalan ketat. Situasi ini memperlihatkan kelemahan dalam aspek penguatkuasaan undang-undang dan ketidakcukupan mekanisme kawal selia dalam menyekat penjualan kepada golongan bawah umur.

Fenomena ini tidak hanya terhad kepada remaja. Data daripada Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak dalam kalangan pengguna dewasa, yakni daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023. Hal ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 11.6 kali ganda dalam tempoh hanya 12 tahun. Peningkatan ini merupakan petunjuk jelas bahawa masyarakat Malaysia secara keseluruhannya semakin terdedah kepada risiko penyakit berkaitan dengan rokok elektronik dan ketagihan nikotin.

Statistik terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan perkembangan yang agak mengejutkan. Dalam tempoh tahun 2023 hingga tahun 2024, sebanyak 65.6 peratus cecair rokok elektronik yang disita didapati mengandungi bahan terlarang. Penemuan ini jelas menunjukkan bahawa cecair rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin, malah turut digunakan sebagai medium bagi mencampurkan dadah berbahaya seperti tetrahydrocannabinol, bahan sintetik dan pelbagai lagi bahan kimia ketagihan yang memberikan kesan serius kepada sistem saraf dan mental.

Pendedahan kepada bahan-bahan ini meletakkan pengguna, khususnya remaja dalam risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah ketagihan yang kompleks, termasuklah gangguan mental, perubahan tingkah laku serta kecenderungan kepada perlakuan jenayah. Implikasi sosial dan kesihatan awam daripada penyalahgunaan rokok elektronik yang dicampur dadah ini tidak lagi boleh dipandang remeh.

Beberapa negara jiran seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand telah lebih awal menyedari ancaman ini, lalu mengambil pendekatan tegas dengan mengharamkan sepenuhnya penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok elektronik. Tindakan ini berasaskan prinsip pencegahan, memandangkan kesan jangka panjang rokok elektronik dilihat sebagai satu krisis kesihatan awam yang berpotensi menggugat generasi akan datang.

Di Malaysia, pendirian terhadap isu ini masih belum mencapai tahap yang seragam pada peringkat persekutuan. Walaupun terdapat beberapa inisiatif di peringkat negeri, termasuklah di Johor, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, dan Pulau Pinang yang sedang meneliti kemungkinan pengharaman rokok elektronik, langkah tersebut masih belum dikukuhkan sebagai dasar nasional. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah berkaitan dengan dadah yang melibatkan penggunaan rokok elektronik sebagai medium penyampaian bahan terlarang.

Dalam hal ini, kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak seperti agensi penguat kuasa, institusi pendidikan, organisasi masyarakat sivil dan golongan keagamaan amat penting bagi memastikan langkah pencegahan yang lebih holistik dan berkesan dapat dilaksanakan. Walaupun terdapat suara yang membantah pengharaman rokok elektronik atas alasan akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga kecil, hujah ini perlu diteliti secara berimbang.

Kesihatan awam tidak seharusnya digadaikan demi keuntungan jangka pendek. Islam sendiri menekankan konsep rezeki yang halal dan berkat, iaitu hasil usaha yang tidak memudaratkan individu mahupun masyarakat. Menjual produk yang terbukti merosakkan kesihatan, mengundang ketagihan dan mencetuskan gejala sosial adalah bertentangan dengan prinsip kesejahteraan masyarakat yang sepatutnya dijunjung tinggi.

Sokongan Ahli Profesional Kesihatan terhadap Tindakan Negeri

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri dalam memperketat kawalan ke atas penjualan produk rokok elektronik. Langkah ini dilihat sebagai tindakan progresif dalam menangani ancaman kesihatan awam yang semakin membimbangkan, terutamanya melibatkan generasi muda.

Sehingga April 2025, beberapa negeri telah mengambil pendekatan tegas menerusi pelaksanaan dasar kawalan yang lebih ketat. Antara tindakan yang telah diambil termasuklah

  • Johor
    Johor telah menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik melalui arahan rasmi pentadbiran. Selain itu, tiada lesen baharu dikeluarkan bagi tujuan penjualan produk berkenaan, sekali gus mengehadkan pertumbuhan pasaran rokok elektronik di negeri tersebut.
  • Kelantan
    Sejak awal, Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah meluluskan sebarang lesen penjualan rokok elektronik. Semua bentuk aktiviti berkaitan dengannya dikawal rapi melalui garis panduan yang ketat, selaras dengan komitmen negeri dalam melindungi kesejahteraan masyarakat.
  • Terengganu
    Terengganu pula telah mengambil keputusan lebih radikal dengan mengumumkan larangan sepenuhnya terhadap penjualan semua jenis produk rokok elektronik di seluruh negeri. Pendekatan ini merupakan antara yang paling tegas dalam negara setakat ini.
  • Selangor
    Kerajaan Negeri Selangor sedang giat menjalankan penilaian dan perbincangan bersama-sama agensi berkaitan dengannya bagi merangka mekanisme pelarangan penjualan produk rokok elektronik. Perbincangan ini dijangka melibatkan pelbagai pihak, termasuklah sektor kesihatan, penguatkuasaan, pendidikan dan pihak berkuasa tempatan.

Cabaran Penguatkuasaan dan Peranan Pihak Berkuasa Tempatan

Meskipun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diluluskan sebagai langkah perundangan penting dalam menangani isu berkaitan rokok dan rokok elektronik, pelaksanaannya masih berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara halangan utama tersebut termasuklah kewujudan kelonggaran dalam sistem pelesenan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya bagi premis yang menjual peranti elektronik.

Terdapat kebimbangan bahawa lesen perniagaan yang diluluskan untuk penjualan barangan elektronik sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menjual produkrokok elektronik secara terbuka. Taktik ini menyukarkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaan akta tersebut.

Sehubungan dengan itu, PBT digesa untuk menyemak semula dan mengetatkan syarat pelesenan perniagaan yang sedia ada, terutamanya yang melibatkan premis yang menjual peralatan elektronik. Langkah ini penting bagi memastikan premis yang beroperasi tidak menyalahgunakan lesen yang diperoleh untuk tujuan lain yang bertentangan dengan undang-undang dan dasar kesihatan awam negara. PBT juga perlu bertindak tegas terhadap premis yang menyamar sebagai kedai alat elektronik tetapi sebenarnya menjual produk rokok elektronik, terutamanya yang disasarkan kepada remaja dan golongan belia.

Kesimpulannya, tanggapan bahawa rokok elektronik merupakan alternatif yang lebih selamat berbanding dengan rokok konvensional adalah mitos yang berbahaya. Realitinya, produk ini bukan sahaja tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan, malah membawa risiko yang lebih besar dalam pelbagai aspek, termasuklah tahap ketagihan yang lebih tinggi, kandungan bahan kimia berbahaya yang tidak terkawal serta potensi penyalahgunaan yang melibatkan bahan terlarang.

Dalam konteks kesihatan awam, rokok elektronik kini muncul sebagai satu ancaman yang kian membarah. Kewujudannya yang mudah diakses, pemasaran yang menarik perhatian remaja dan kelemahan kawalan undang-undang menjadikan situasi ini semakin meruncing. Malaysia pula tidak boleh terus bersikap pasif terhadap isu ini.

Beberapa negara jiran telah menunjukkan contoh keberanian dan ketegasan dalam menangani permasalahan rokok elektronik. Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand masing-masing telah mengambil keputusan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan, penjualan dan pemilikan rokok elektronik dalam usaha melindungi rakyat daripada bahaya yang tidak terlihat dalam jangka masa pendek, tetapi sangat nyata dalam jangka panjang.

Sebagai sebuah negara yang mendambakan masa hadapan yang sihat, produktif dan sejahtera, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam mengambil langkah yang sewajarnya. Sudah tiba masanya untuk negara ini menggubal dasar yang lebih tegas seperti mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya terhadap produk rokok elektronik demi melindungi generasi akan datang daripada ancaman kesihatan dan sosial yang semakin serius.

 

Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Ramdzan,
Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Jabatan Perubatan Kesihatan Awam,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Malaysia Sabah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi