Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Pendengaran Sedunia yang diraikan pada 3 Mac setiap tahun atas inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merupakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang isu kehilangan pendengaran serta kepentingan penjagaan kesihatan telinga. Tema pada tahun 2025, iaitu “Mengubah Penetapan Minda: Berdaya Diri Menjadikan Penjagaan Telinga dan Pendengaran Satu Realiti untuk Semua” adalah bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan mendorong setiap individu supaya mengambil tanggungjawab secara proaktif dalam memelihara kesihatan pendengaran mereka.
Tema yang diketengahkan amat relevan, khususnya kepada ibu bapa, pelajar sekolah dan profesional kesihatan seperti pegawai pemulihan perubatan (ahli audiologi) di Malaysia. Hal ini berikutan pada masa ini, berlakunya peningkatan pendedahan kepada bunyi kuat, khususnya dalam konteks era digital. Penggunaan peranti elektronik, fon kepala dan pelibatan dalam aktiviti seperti e-sukan (esport) telah meningkatkan risiko kehilangan pendengaran akibat pendedahan kepada tahap bunyi yang melebihi had keselamatan atau tempoh masa pendedahan yang disyorkan.
Kepentingan Kesihatan Pendengaran
Pendengaran merupakan satu daripada deria yang paling kritikal dalam kehidupan manusia serta memainkan peranan utama dalam komunikasi, proses pembelajaran dan pengalaman deria terhadap bunyi persekitaran. Statistik global menunjukkan bahawa lebih 1.5 bilion individu di seluruh dunia menghadapi cabaran dalam pendengaran dan dijangkakan menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada masa akan datang.
Di Malaysia, pelbagai kumpulan umur seperti kanak-kanak, remaja dan orang dewasa berada dalam risiko tinggi untuk mengalami kehilangan pendengaran akibat bunyi atau noise-induced hearing loss (NIHL) disebabkan oleh beberapa faktor seperti yang berikut:
Aspek yang amat membimbangkan ialah hakikat bahawa kerosakan pendengaran bersifat kekal dan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya. Walau demikian, perspektif positif dapat diambil kerana kehilangan pendengaran akibat bunyi berlebihan boleh dicegah dengan mengamalkan cara mendengar yang selamat dan bertanggungjawab.
Mendengar Secara Selamat dalam Kehidupan Seharian
Ibu bapa dan pelajar sekolah perlu mengamalkan tabiat pendengaran yang sihat bagi mengelakkan masalah pendengaran. Satu daripada langkah mudah adalah dengan mengikuti peraturan 60/60, iaitu menetapkan tahap bunyi tidak melebihi 60 peratus daripada kapasiti maksimum dan mengehadkan masa penggunaan kepada 60 minit dalam satu sesi. Langkah ini membantu dalam mengurangkan pendedahan telinga kepada bunyi yang terlalu kuat, sekali gus mencegah kerosakan pendengaran.
Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk memilih fon kepala jenis over-ear berbanding dengan fon telinga (earbud). Hal ini dikatakan demikian kerana fon kepala dapat mengurangkan pendedahan langsung kepada gelombang bunyi yang kuat. Penggunaan fon kepala pembatalan bunyi (noise-canceling headphones) juga disarankan kerana membolehkan pengguna mendengar dengan jelas tanpa perlu meningkatkan kelantangan bunyi.
Perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah had bunyi selamat, iaitu tidak melebihi 85 desibel. Bunyi yang lebih kuat daripada paras ini seperti bunyi lalu lintas yang sesak atau muzik semasa konsert boleh menyebabkan kerosakan pendengaran secara beransur-ansur. Kebanyakan telefon pintar dan peranti tablet kini dilengkapi dengan amaran kelantangan bunyi yang boleh membantu pengguna memantau tahap bunyi yang didengar.
Selain itu, inisiatif dan kesedaran untuk mengambil masa “rehat” daripada mendengar bunyi yang kuat dan berpanjangan juga sangat penting. Misalnya, selepas satu jam mendengar, individu dinasihatkan untuk berehat selama lima minit hingga 10 minit dalam persekitaran yang tenang bagi memberikan masa kepada telinga untuk pulih. Dalam situasi yang melibatkan persekitaran bising seperti acara sukan, konsert atau kawasan pembinaan, penggunaan penutup telinga (earplug) atau alat pelindung pendengaran (earmuff) adalah sangat digalakkan untuk melindungi telinga daripada mendengar bunyi berlebihan.
Keselamatan Pendengaran dalam E-Sukan dan Permainan Video
Dalam era digital ini, e-sukan semakin berkembang pesat di Malaysia. Kebanyakan pelajar serta remaja menghabiskan masa yang panjang bermain permainan video dengan fon kepala atau pembesar suara yang kuat.
Namun begitu, banyak yang tidak menyedari bahawa bunyi permainan yang kuat, letupan secara tiba-tiba serta komunikasi dalam talian pada kelantangan yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan pendengaran dan tinitus (deringan di telinga) dalam jangka masa panjang.
Bagi memastikan pengalaman permainan yang lebih selamat, pemain e-sukan digalakkan untuk mengekalkan tahap kelantangan fon kepala pada paras yang selamat dan mengelakkan daripada menetapkannya pada tahap maksimum. Fon kepala dengan teknologi pembatalan bunyi juga disyorkan bagi membantu pemain mendengar dengan jelas tanpa perlu meningkatkan kelantangan.
Pemain juga disarankan untuk menggunakan ciri penghad bunyi (audio limiter) yang terdapat dalam kebanyakan permainan moden bagi mengurangkan impak bunyi secara tiba-tiba. Berehat secara berkala daripada bermain permainan video yang panjang juga penting untuk memberikan masa kepada telinga untuk pulih daripada tekanan bunyi yang berlebihan.
Sekiranya seseorang itu mengalami tinitus, kesukaran memahami percakapan selepas bermain permainan video atau kepekaan melampau terhadap bunyi, mereka dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan pendengaran oleh ahli audiologi bagi mengesan sebarang masalah pendengaran.
Peranan Ibu Bapa, Guru dan Ahli Audiologi dalam Menjaga Kesihatan Pendengaran
Ibu bapa merupakan agen utama dalam mendidik dan membimbing anak-anak tentang pentingnya penjagaan pendengaran. Mereka dapat memainkan peranan strategik dengan menetapkan had kelantangan yang ketat pada peranti elektronik anak-anak, melakukan pengawasan aktif terhadap penggunaan fon kepala dan peranti audio serta menggalakkan aktiviti alternatif yang tidak bergantung pada rangsangan bunyi tinggi. Mewujudkan amalan pendengaran selamat sebagai budaya keluarga menjadi pendekatan yang amat berkesan dalam melindungi kesihatan pendengaran generasi muda.
Institusi pendidikan, khususnya sekolah turut mempunyai tanggungjawab dalam membentuk kesedaran kesihatan pendengaran. Mereka boleh melaksanakan program pendidikan kesedaran pendengaran yang komprehensif, mencipta “zon senyap” atau kawasan rendah bunyi dalam persekitaran sekolah, mengintegrasikan modul kesihatan pendengaran dalam kurikulum sains kesihatan serta menganjurkan bengkel dan ceramah yang disampaikan oleh pakar audiologi.
Ahli audiologi pula boleh memainkan peranan kritikal sebagai penyedia sokongan teknikal dan klinikal. Mereka bertanggungjawab melakukan pemeriksaan pendengaran berkala, memberikan bimbingan intervensi awal, menyediakan saluran maklumat dan rujukan kepada masyarakat serta membangunkan protokol penjagaan pendengaran yang komprehensif. Kepakaran mereka menjadi komponen penting dalam usaha pencegahan dan pengurusan masalah pendengaran.
Berdaya Diri dan Bertindak Segera
Hari Pendengaran Sedunia 2025 merupakan peluang terbaik untuk mengubah minda masyarakat terhadap kepentingan penjagaan telinga dan pendengaran. Melalui pendekatan yang proaktif dan amalan mendengar yang bijak, masyarakat dapat mengelakkan kehilangan pendengaran akibat bunyi yang berlebihan, sekali gus memastikan kesihatan pendengaran yang baik sepanjang hayat.
Ekosistem penjagaan pendengaran memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Ibu bapa berupaya menjadi agen perubahan utama dengan menanamkan kesedaran dan amalan kesihatan pendengaran sejak peringkat awal. Institusi pendidikan, khususnya sekolah mempunyai peranan yang signifikan dalam memperkenalkan dasar dan kurikulum kesedaran pendengaran. Sementara itu, para ahli audiologi dapat menyumbang melalui pemberian panduan teknikal, perkhidmatan pemeriksaan dan intervensi khusus kepada masyarakat umum.
Kejayaan inisiatif ini bergantung pada komitmen kolektif dan tindakan bersepadu. Dengan semangat kebersamaan dan kesedaran mendalam, kita dapat menjadikan penjagaan telinga dan pendengaran sebagai realiti untuk seluruh golongan masyarakat, tanpa mengira peringkat umur atau latar belakang sosial.
Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat,
Presiden,
Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia dan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dr. Sharifah Zainon Sayed,
Exco Penyelidikan dan Pembangunan,
Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia.