Diterbitkan pada 23 Januari 2025, 13:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kebangkitan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) generatif merupakan peralihan besar dalam hubungan antara inovasi manusia dengan keupayaan mesin. Kini, AI generatif semakin cekap, tepat dan mampu melaksanakan tugas yang sebelum ini hanya dapat dilakukan oleh manusia.

Bahkan, keupayaannya untuk mensimulasikan kreativiti, menyelesaikan masalah kompleks dan menjanakan kandungan adalah menakjubkan sehinggakan karya yang dihasilkan sukar dibezakan daripada karya individu atau pakar. Fenomena ini mengundang kita untuk menilai semula hubungan antara keupayaan manusia dengan kemajuan teknologi.

Situasi sebegini juga menghasilkan satu paradoks, iaitu semakin AI generatif berkembang, semakin bergantung pula manusia pada AI generatif. Kebergantungan ini berpotensi mengurangkan kecekapan, kreativiti dan pemikiran kritikal manusia.

Penyelidikan AI telah berkembang pesat sejak pertengahan abad ke-20. Pada tahun 1950-an, konsep AI mula diteroka dengan tujuan membolehkan mesin melaksanakan tugas yang memerlukan kecerdasan manusia, termasuklah pembelajaran dan penaakulan.

Pada tahun 2014, Ian Goodfellow mencipta Generative Adversarial Networks (GANs) yang menjadi asas kepada perkembangan AI generatif moden. GANs membolehkan mesin menghasilkan imej, teks dan data lain yang sangat mirip dengan hasil manusia. Sejak itu, teknologi ini terus berkembang dengan pelbagai aplikasi dalam seni, penyelidikan dan perniagaan. Perkembangan ini juga telah mengubah cara manusia berinteraksi dengan mesin.

Interaksi manusia dengan mesin bukanlah perkara baharu. Sejak dahulu, pembangunan alat dan teknologi dipacu oleh keinginan untuk meningkatkan keupayaan manusia. Setiap kemajuan, dari mesin cetak hingga komputer, membolehkan manusia mencapai hasil yang lebih banyak dengan usaha yang lebih sedikit. AI generatif merupakan perkembangan baharu dalam naratif ini.

Namun begitu, terdapat perbezaan yang ketara antara AI generatif berbanding dengan kemajuan teknologi terdahulu. AI generatif bukan sekadar meluaskan keupayaan manusia, malah mampu melangkaui pertimbangan dan kreativiti manusia.

Peralihan kepada penggunaan AI generatif secara meluas menimbulkan implikasi yang serius sekiranya tidak dikawal. Seiring dengan kemampuan AI generatif untuk melakukan tugas yang kompleks, semakin manusia cenderung melepaskan tanggungjawab, keputusan dan proses kreatif kepada teknologi tanpa mengambil kira akibat atau kesan negatif. Ketergantungan ini walaupun meningkatkan produktiviti pada awalnya, boleh menyebabkan penurunan dalam ciri yang mendefinisikan kebijaksanaan manusia.

Kecekapan dan ketepatan AI generatif sememangnya mengagumkan. Sistem ini boleh menganalisis set data besar dalam masa yang singkat, menjanakan kandungan yang mematuhi garis panduan tertentu dan menyelesaikan masalah kompleks. Terkini, AI generatif mampu menghasilkan video yang realistik dengan hanya arahan yang mudah.

Namun begitu, apabila manusia semakin bergantung pada AI untuk melakukan pelbagai tugasan, terdapat risiko bahawa kemahiran manusia yang diperlukan untuk melaksanakannya secara bebas akan terhakis. Fenomena ini bukanlah sesuatu perkara baharu.

Sejarah telah menunjukkan bahawa ketergantungan berlebihan kepada teknologi boleh menyebabkan penurunan dalam kemahiran yang asalnya dipertingkatkan oleh teknologi. Sebagai contoh, penggunaan kalkulator yang meluas telah mengurangkan keperluan untuk aritmetik mental.

Kewujudan sistem sistem kedudukan geografi (GPS) pula telah menyebabkan penurunan dalam kemahiran navigasi walaupun tidak dinafikan sistem GPS telah membantu manusia untuk bergerak dengan lebih mudah. Tambahan pula kewujudan sistem GPS juga telah membuka pelbagai bentuk peluang perniagaan yang baharu seperti perkhidmatan penghantaran makanan yang sudah semakin sebati dengan kehidupan masyarakat masa ini.

Kewujudan AI generatif juga telah membuka peluang dan ruang untuk pelbagai bentuk produk dan perkhidmatan baharu. Produk dan perkhidmatan yang berasaskan AI generatif memungkinkan manusia melaksanakan pelbagai tugasan dengan lebih efisien. Namun demikian, apabila AI generatif semakin terintegrasi dalam tugas harian, hal ini akan menyebabkan manusia menjadi kurang mahir dalam bidang yang dikawal oleh AI generatif.

Pengaruh AI generatif dalam kehidupan sememangnya tidak dapat dielakkan. Saban hari, semakin banyak produk dan perkhidmatan berasaskan AI generatif yang dilancarkan sehinggakan manusia tidak dapat mengelak daripada penggunaannya. Hubungan antara manusia dengan AI generatif juga akan sentiasa berkembang dan sudah pasti tidak statik.

AI generatif akan terus belajar dan berkembang menjadi lebih canggih. Perkembangan AI generatif ini sering kali pada kadar yang lebih cepat daripada pembelajaran dan perkembangan manusia. Fenomena ini mewujudkan satu kitaran yang memperlihat ketergantungan manusia kepada AI semakin meningkat yang seterusnya mengukuhkan ketergantungan tersebut.

Kitaran ini berpotensi membawa kepada masa hadapan apabila manusia bukan sahaja bergantung pada AI generatif, malah diatasi oleh keupayaan AI generatif, terutamanya dalam aspek kreativiti, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan. Tindakan mencipta AI generatif ini sendiri mungkin membawa kepada senario manusia yang dahulunya menjadi perintis inovasi dan seterusnya menjadi pengguna pasif kepada penyelesaian yang dijana oleh mesin.

Dalam menghadapi perkembangan ini, timbul persoalan etika dan praktikal yang penting. Apakah yang akan terjadi apabila pencipta terlalu bergantung pada ciptaan mereka sendiri? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kebijaksanaan manusia tetap di barisan hadapan mengatasi kemajuan teknologi?

Oleh hal yang demikian, penting untuk mencari keseimbangan antara menggunakan keupayaan AI generatif dengan memelihara kualiti yang menjadikan kecerdasan manusia sesuatu yang istimewa. Walaupun AI generatif dapat membantu meningkatkan potensi manusia, seharusnya teknologi ini dibenarkan untuk mengurangkan kepandaian dan kemahiran manusia. Hubungan antara manusia dengan AI generatif harus menggalakkan pertumbuhan bersama dan bukan sekadar ketergantungan. Kelebihan ini akan membolehkan kedua-duanya berkembang dalam satu perkongsian simbiotik.

Kesimpulannya, AI generatif merupakan pencapaian teknologi yang luar biasa dengan potensi untuk memperluaskan sempadan keupayaan manusia. Namun begitu, perkembangan ini juga membawa cabaran yang memerlukan pendekatan yang seimbang.

Hubungan antara manusia dengan AI generatif perlu dibentuk berdasarkan pemahaman yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan kedua-duanya. Manusia juga perlu terus memainkan peranan utama dalam proses inovasi dan pembuatan keputusan, kita mampu mencipta masa hadapan melalui peranan AI generatif dan manusia yang berkembang bersama-sama secara harmoni serta mengelakkan situasi ketergantungan yang tidak terkawal.

Profesor Madya Dr. Mohd Faiz Hilmi,
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi