Diterbitkan pada 20 Jun 2024, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), telah menganjurkan seminar yang bertajuk “Emerging Trends in Mosquito Borne Diseases: Current Situations in Malaysia” untuk meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat terkini tentang penyakit bawaan nyamuk.

Program yang berlangsung Fakulti Sains Kesihatan, Kampus Kuala Lumpur ini dihadiri oleh lebih kurang 130 peserta secara bersemuka dan 124 peserta secara dalam talian yang terdiri daripada para akademik, penyelidik, pelajar serta pegawai kesihatan dari pelbagai agensi.

Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi MSPTM, Profesor Madya Dr. Low Van Lun, beliau berbesar hati atas kerjasama Fakulti Sains Kesihatan, UKM yang julung-julung kalinya menjadi tuan rumah untuk seminar tahunan MSPTM.

Seminar ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit bawaan nyamuk yang semakin menjadi ancaman kesihatan awam di Malaysia dan seluruh dunia.

Jelasnya lagi, seminar ini akan membincangkan cabaran yang dihadapi dalam kawalan penyakit bawaan nyamuk serta memperkenalkan inovasi terbaharu dalam mengawal vektor yang terlibat dalam penyebaran penyakit denggi dan malaria yang akan menjadi topik utama perbincangan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Profesor Dr. Suzana Shahar, beliau menekankan pentingnya kerjasama antara pelbagai pihak dalam usaha memerangi penyakit bawaan nyamuk.

Perasmian program seminar “Emerging Trends in Mosquito Borne Diseases: Current Situations in Malaysia” oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar diiringi oleh Pengerusi CORE, Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman (kiri), Pengerusi MSPTM, Profesor Madya Dr. Low Van Lun dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa MSPTM Mid-Year Seminar, Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada MSPTM atas kerjasama erat dalam penganjuran seminar yang juga mendapat penyertaan peserta antarabangsa daripada Ameika Syarikat, China, Pakistan dan Indonesia.

Ceramah pertama dalam program ini dimulakan oleh Profesor Datin Dr. Indra Vythilingam yang merupakan pakar dalam bidang entomologi perubatan dari Universiti Malaya yang membincangkan status terkini dalam epidemiologi penyakit zoonotik malaria di Malaysia serta strategi kawalan yang berkesan.

Ceramah oleh Profesor Datin Dr. Indra Vythilingam yang bertajuk “Zoonotic Malaria: A threat to Malaria Elimination”.

Beliau menekankan bahawa terdapat kemungkinan penularan penyakit zoonotik malaria yang disebabkan oleh parasit selain daripada P. knowlesi seperti P. cynomolgi dan P. inui.

“Aktiviti seperti pembalakan dan pembangunan tanah yang tidak terancang akan meningkatkan lagi risiko penularan penyakit malaria zoonotik pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Seterusnya, Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman yang merupakan profesor dalam bidang entomologi perubatan daripada UKM menyampaikan ceramah berkenaan pendekatan dalam meningkatkan literasi kesihatan komuniti untuk mengawal penyebaran denggi.

Ceramah oleh Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman yang bertajuk “Nudging Health Literacy: Empowering Communities in Dengue Control”.

Beliau juga membincangkan cara untuk mendidik dan memberikan kuasa kepada komuniti supaya mereka lebih memahami tentang pencegahan denggi, langkah pengawalan vektor dan pentingnya tindakan bersama dalam mengurangkan kes denggi di Malaysia.

“Melalui literasi kesihatan yang lebih baik, komuniti diharapkan dapat mengambil langkah proaktif untuk mengawal dan mencegah penyebaran penyakit denggi,” hurainya.

Ceramah terakhir dalam program ini disampaikan oleh Encik Hairin Mhd. Noh daripada CASA Chemical Sdn. Bhd. yang membincangkan innovasi terbaharu Sumitomo Chemical dalam kawalan vektor.

Ceramah oleh Encik Hairin Mhd. Noh yang bertajuk “Innovation and Latest Technology in Dengue Vector Control”.

“Antara produk yang diperkenalkan termasuklah MIRAKN yang merupakan formulasi unik berasaskan campuran karbon dioksida dengan bahan aktif dan tidak mengandungi sebarang pelarut yang mampu menyebarkan zarah ultrahalus yang bergerak melalui udara untuk mencapai setiap sudut premis dan mampu mengawal pelbagai jenis serangga, termasuklah nyamuk Aedes yang merupakan vektor penyakit demam denggi.

Seminar ini diakhiri dengan sesi forum yang dipengerusikan oleh pensyarah kanan dalam bidang parasitologi dan entomologi perubatan di Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam yang membincangkan peningkatan ancaman penyakit seperti denggi dan malaria di Malaysia.

Sesi forum yang dipengerusikan oleh Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam.

Forum tersebut juga menekankan pentingnya pemantauan dan kawalan vektor secara berterusan serta kerjasama antara agensi kesihatan awam dengan masyarakat selain penggunaan inovasi terkini dalam teknologi kawalan vektor di samping kepentingan pendidikan kesihatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pencegahan penyakit bawaan nyamuk.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi