Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Nerus – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kali Ke-32 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
Pertandingan yang berlangsung selama empat hari bermula 5 Jun hingga 8 Jun 2026 itu dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan UMT sebagai platform berprestij yang menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara untuk membincangkan isu alam sekitar secara kritis, berfakta dan berwawasan.
Majlis Pertandingan Akhir dan Penutupan Debat Alam Sekitar antara IPT Kali Ke-32 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAS, Puan Hajah Azuri Azizah Haji Saedon, mewakili Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa mahasiswa bukan sekadar pemerhati kepada isu alam sekitar, sebaliknya turut berperanan menyumbang idea, perspektif dan suara dalam memperkukuh agenda kelestarian negara.
Ujarnya,
Pertandingan debat ini bukan sekadar program tahunan, malah merupakan legasi intelektual yang konsisten untuk membentuk generasi mahasiswa yang kritis, progresif dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.
Sepanjang pertandingan, para peserta telah memperdebatkan 10 usul berkaitan dengan alam sekitar yang memperlihatkan kematangan pemikiran mahasiswa dalam menganalisis isu secara mendalam serta mengemukakan hujah yang bernas, kreatif dan berwibawa.
Kemuncak pertandingan menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan UIAM dengan UMK yang berjaya mara ke peringkat akhir selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) melengkapkan senarai empat pasukan terbaik apabila mara ke peringkat separuh akhir.


Pada peringkat akhir, kedua-dua pasukan memperdebatkan usul “Dewan Ini Percaya Pendekatan Rentas Agensi Memperkukuh Penguatkuasaan Alam Sekitar” yang menuntut penghuraian mengenai kepentingan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang lebih berkesan, menyeluruh dan mampan.

Pasukan UMK membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, piala iringan, wang tunai berjumlah RM12,000.00, hadiah iringan buku terbitan DBP serta sijil penyertaan, manakala UIAM selaku naib johan menerima piala iringan, wang tunai sebanyak RM7,000.00, hadiah iringan buku terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Pasukan UPM dan USM pula menerima pengiktirafan sebagai pasukan separuh akhir dengan hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00 serta hadiah iringan buku terbitan DBP.
Sementara itu, Encik Muhammad Haries Husni Khalil Husaini daripada pasukan UMK dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir yang menerima wang tunai sebanyak RM2,000.00, selain turut meraih anugerah Pendebat Terbaik Liga yang membawa hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.00 berserta plak, sijil penyertaan dan hadiah iringan buku terbitan DBP.

Pemberian buku terbitan DBP kepada para pemenang merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya ilmu dan amalan membaca dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi DBP untuk melahirkan generasi berpengetahuan luas, berfikiran kritis dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Pertandingan Debat Alam Sekitar antara IPT merupakan program tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan pelibatan mahasiswa terhadap isu semasa alam sekitar, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara IPT dan agensi kerajaan dalam melahirkan generasi yang berilmu, bertanggungjawab dan berdaya saing dalam mendepani cabaran kelestarian global.
Penganjuran pertandingan ini membuktikan bahawa suara dan pemikiran mahasiswa mampu menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam usaha memelihara alam sekitar serta terus berperanan sebagai wadah berkesan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berpengetahuan, berintegriti dan komited terhadap agenda kelestarian negara.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP; Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT merangkap Pengerusi MADUM sesi 2025/2027, Tuan Haji Mohd Azman Ariffin; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pegawai kanan daripada pelbagai agensi kerajaan dan IPT yang berkaitan.