15 November 2024, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sacha inchi yang turut dikenali sebagai kacang inca ialah sejenis kekacang berbentuk bintang. Kekacang ini tergolong dalam famili makanan unggul kerana mempunyai sumber nutrien yang pelbagai. Sacha inchi yang semakin dikenali sejak akhir-akhir ini sebenarnya telah digunakan oleh masyarakat orang asli di Amazon berabad-abad lamanya kerana mempunyai khasiat yang luar biasa.

Sacha inchi ialah anugerah alam semula jadi yang mengandungi nutrien dan pelbagai manfaat kesihatan. Keistimewaan tumbuhan ini disokong oleh pelbagai kajian terkini yang menunjukkan potensinya dalam mempengaruhi kesihatan manusia. Pakej nutrien sacha inchi juga sesuai dengan kehidupan moden yang sering dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit.

Sacha inchi (Plukenetia volubilis) terdiri daripada kekacang, buah dan minyak.

 

Kaya Asid Lemak Omega

Asid lemak omega-3 kebanyakannya diperoleh daripada sumber haiwan dan hanya sedikit berasal daripada sumber tumbuhan. Sacha inchi ialah segelintir tumbuhan yang kaya dengan asid lemak omega-3 yang mempunyai peranan penting dalam kesihatan jantung dan fungsi otak. Journal of Food Composition and Analysis pada tahun 2020 melaporkan bahawa minyak sacha inchi mengandungi sehingga 48 peratus omega-3 dan menjadikannya antara sumber tumbuhan yang paling kaya dengan lemak ini.

Kajian klinikal menunjukkan bahawa omega-3 dalam sacha inchi meningkatkan fungsi kognitif dan mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer. Selain meningkatkan fungsi otak, kajian oleh American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan bahawa omega-3 berupaya menyokong kesihatan jantung melalui pengurangan paras kolesterol jahat atau low-density lipoprotein dan trigliserida, seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. Sifat antiradang omega-3 turut membantu mengurangkan keradangan dalam masalah artritis dan sakit sendi yang menjadi antara penemuan yang disokong oleh Arthritis Research and Therapy.

Sumber Protein Berasaskan Tumbuhan

Selain kandungan omega-3, sacha inchi merupakan sumber protein tumbuhan yang terbaik. Kajian pemakanan oleh Food Research International pada tahun 2019 mendapati bahawa sacha inchi mengandungi sekitar 30 peratus protein.

Kebanyakan sumber protein diperoleh daripada haiwan seperti daging dan ikan. Oleh hal yang demikian, golongan yang mengamalkan diet vegetarian atau vegan boleh mengambil sacha inchi sebagai sumber protein harian mereka.

Kajian menunjukkan bahawa protein sacha inchi berpotensi membantu dalam proses pemulihan otot dan pertumbuhan, terutamanya bagi atlet yang menjalani kehidupan aktif. Pengambilan protein yang tinggi seperti yang terdapat  dalam sacha inchi berupaya mengurangkan rasa lapar dan meningkatkan rasa kenyang, lalu menjadikannya sesuai diambil oleh mereka yang mengamalkan diet pemakanan.

Sacha inchi kaya dengan pelbagai manfaat kesihatan.

Kaya Antioksidan

Kajian yang dimuatkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry pada tahun 2021 menunjukkan sacha inchi mengandungi antioksidan yang tinggi, terutamanya vitamin A dan vitamin E. Antioksidan ialah molekul penting yang berfungsi dalam melawan radikal bebas dan mencegah kerosakan sel dalam badan manusia.

Kajian menunjukkan antioksidan dalam sacha inchi turut  membantu melambatkan proses penuaan dengan melindungi sel daripada kerosakan oksidatif. Antioksidan ini juga berfungsi sebagai pertahanan yang melindungi badan daripada risiko penyakit kritikal seperti kanser dan penyakit kardiovaskular berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Free Radical Biology and Medicine.

Menyokong Kesihatan Pencernaan

Sacha inchi kaya dengan serat makanan yang penting untuk kesihatan pencernaan. Kajian oleh Nutrition Research menunjukkan bahawa serat mampu mengawal pergerakan usus dan mencegah sembelit.

Serat ialah sumber makanan bagi bakteria baik di dalam usus untuk menyokong mikrobiota usus dan menyumbang kepada pencernaan yang lebih baik. Serat turut membantu dalam meningkatkan rasa kenyang dan menyokong usaha pengurusan berat badan.

Mengurangkan Tekanan dan Meningkatkan Mood

Kajian terbaru yang diterbitkan dalam Journal of Psychiatry and Neuroscience mendapati bahawa omega-3 dalam sacha inchi mempunyai potensi dalam mengurangkan gejala kebimbangan dan kemurungan. Penyelidikan menunjukkan bahawa omega-3 boleh meningkatkan mood melalui peningkatan paras serotonin, iaitu neurotransmitter yang memainkan peranan dalam mengawal mood. Kajian juga mendapati bahawa individu yang mengambil omega-3 secara konsisten menunjukkan pengurangan dalam tahap kebimbangan, stres dan kemurungan.

Tanaman Mesra Alam dan Mampan

Selain manfaat kesihatan, sacha inchi juga dikenali sebagai tanaman yang mampan. Penyelidikan oleh Environmental Research Letters menyatakan bahawa tanaman ini boleh ditanam secara organik tanpa penggunaan baja atau racun yang merosakkan ekosistem.

Keratan akhbar berkenaan kebaikan sacha inchi yang dikaji oleh Universiti Sains Malaysia (USM).
Sumber: USM News Portal.

Secara keseluruhannya, melalui profil nutrisi yang mengagumkan, sacha inchi dikenali sebagai makanan unggul yang menghubungkan pemakanan kuno dengan kesihatan moden. Sacha inchi menawarkan pelbagai manfaat, sama ada dari aspek kesihatan seperti meningkatkan kesihatan jantung dan fungsi otak atau hanya sekadar menjadi penambah makanan padat nutrien dalam diet seharian. Untuk menjalani kehidupan yang lebih bertenaga dan sihat, pengambilan sacha inchi sebagai makanan unggul merupakan pilihan yang tepat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.