Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBunyi terhasil melalui objek bergetar yang menghasilkan gelombang yang dikenali sebagai gelombang bunyi. Bunyi yang kuat mempunyai tekanan yang besar, manakala bunyi yang perlahan mempunyai tekanan yang kecil.
Bunyi akan bergerak melalui medium udara dan gelombang ini akan menyebabkan molekul udara di sekelilingnya bergetar dan menghasilkan gelombang. Udara yang bergetar ini akan menyebabkan tekanan udara menjadi semakin meningkat melebihi tekanan atmosfera.
Perubahan pada tekanan udara ini akan terus menyentuh deria pendengaran manusia melalui gegendang telinga dan ditafsirkan oleh otak sebagai bunyi. Telinga manusia boleh mendengar bunyi dalam julat 20 hertz hingga 20 ribu hertz.
Pencemaran bunyi merupakan penghasilan bunyi yang kuat dan bising daripada mesin, haiwan atau manusia yang mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan lain. Pencemaran bunyi biasanya ditakrifkan sebagai bunyi yang tidak diingini atau bunyi yang tidak diperlukan. Pencemaran ini juga biasanya mengganggu manusia yang menghuni kawasan pusat bandar, perindustrian dan tempat pengkomersialan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran bunyi berada di kedudukan ketiga bagi pencemaran alam sekitar yang berbahaya selepas udara dan air. Pada tahun 2017, Jabatan Alam Sekitar telah menerima sebanyak 132 aduan berhubung isu pencemaran bunyi. Maklumat ini juga menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai permasalahan kebisingan semakin meningkat.
Sumber Bunyi Bising di Tapak Pembinaan
Industri pembinaan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan menjadi penunjuk kepada keadaan ekonomi semasa di sesebuah negara. Walaupun industri ini mempunyai risiko yang amat tinggi terhadap keselamatan pekerja, namun disebabkannya merupakan penjana utama ekonomi negara, pihak kerajaan tetap mengutamakannya dalam setiap segi.
Aktiviti pembinaan juga sinonim dengan penghasilan pencemaran berskala besar, mengganggu ketenteraman serta keselamatan orang awam di samping memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia, terutamanya kepada pekerja pembinaan. Pihak berkuasa juga telah dihujani dengan pelbagai aduan daripada orang awam berkaitan dengan bunyi bising di tapak pembinaan yang berdekatan. Masalah ini menyebabkan pihak berkuasa telah memperkasakan undang-undang sedia ada bagi menangani masalah tersebut.
Selari dengan hal itu, sebahagian penyelidik turut menjalankan kajian berkaitan bunyi bising di tapak pembinaan yang bermasalah. Walaupun masalah tersebut telah sekian lama dihadapi oleh penduduk sekeliling dan pekerja di tapak pembinaan tersebut, namun penyelesaiannya dilihat seakan-akan hanya mampu mengurangkan sebahagian kecil daripada masalah yang dihadapi.
Terdapat pelbagai sumber bunyi bising telah dihasilkan di tapak pembinaan. Pemerhatian yang dibuat di satu daripada tapak pembinaan di Selangor mendapati bahawa pendedahan kepada bunyi bising adalah sangat tinggi. Kebanyakan peralatan, mesin dan jentera yang digunakan di tapak pembinaan ini telah dikenal pasti menjadi punca kepada bunyi bising. Antara aktiviti yang dilakukan di tapak pembinaan yang menghasilkan bunyi bising termasuklah menanaman cerucuk, menggerudi tanah berbatu, mencampur simen, mortar atau konkrit dan kerja pemotongan cerucuk, kayu atau bahan konkrit.
Oleh itu, pengawasan bunyi bising di kawasan pembinaan amat perlu dijalankan secara berkala bagi mengenal pasti sumber kepada bunyi bising dan memastikan pihak yang berkaitan mematuhi nilai piawai yang telah ditetapkan dalam dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019. Majikan juga perlu mengambil tindakan kawalan seperti kawalan kejuruteraan untuk mengurangkan tahap bunyi bising supaya tidak melebihi piawai yang telah ditetapkan.
Antara cadangan kawalan kejuruteraan yang boleh dilakukan oleh majikan untuk mengawal tahap bunyi bising di tapak pembinaan termasuklah pemasangan penghadang akustik pada bahagian pelantar cerucuk. Pemasangan penghadang ini dapat mengurangkan tahap bunyi bising yang dihasilkan di kawasan pembinaan melalui penyerapan sebahagian daripada bunyi bising tersebut.
Selain itu, penggunaan mesin dan peralatan yang berkeadaan baik dan lebih senyap juga boleh membantu mengurangkan sumber bunyi bising di tapak pembinaan. Penggunaan mesin yang menggunakan kuasa elektrik kebiasaannya mempunyai tahap bunyi bising yang lebih rendah berbanding dengan mesin yang menggunakan diesel.
Mesin dan peralatan yang digunakan juga perlu diselenggara dengan baik bagi mengelakkan bunyi bising disebabkan oleh keadaan mesin dan peralatan yang telah haus atau lusuh. Keadaan mesin dan peralatan yang tidak diselenggara dengan baik kebiasaannya akan menghasilkan getaran yang lebih kuat, justeru menghasilkan bunyi yang lebih kuat.
Selain kaedah kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran juga boleh dilaksanakan untuk mengurangkan masalah pencemaran bunyi. Antara usaha yang boleh dilakukan termasuklah pihak majikan perlu memastikan kesemua pekerja yang terdedah kepada bunyi bising mesti memakai alat pelindung telinga seperti penutup telinga atau penutup saluran. Pemakaian alat pelindung telinga ini haruslah mengikut kaedah yang betul bagi mencegah kerosakan telinga semaksimum yang mungkin.
Kaedah kawalan pentadbiran yang seterusnya ialah mengehadkan masa pekerja berada pada zon yang mempunyai kebisingan yang tinggi. Limitasi tempoh masa bekerja ini boleh dilaksanakan melalui penggiliran jadual bekerja yang membolehkan tempoh masa setiap pekerja yang terdedah kepada bunyi bising dapat dikurangkan. Pengurangan tempoh pendedahan terhadap bunyi bising ini dapat mengurangkan risiko kerosakan pada sistem pendengaran pekerja. Pada masa yang sama, pihak majikan perlu memantau tahap kebisingan di setiap zon di tapak pembinaan bagi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Sementara itu, pihak majikan perlulah menjadualkan ujian pendengaran secara berkala untuk pekerja tapak pembinaan agar mereka dapat mengetahui status sistem pendengaran masing-masing sebelum terlambat. Pekerja yang mempunyai masalah pendengaran yang serius perlu dirujuk kepada pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan.
Pihak majikan juga boleh menganjurkan program kesedaran berkaitan dengan kesan buruk akibat pendedahan kepada bunyi bising kepada kesihatan pekerja. Pengetahuan dan kesedaran dalam diri pekerja secara tidak langsung dapat mendidik pekerja agar sentiasa mematuhi peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi meminimumkan pendedahan terhadap bunyi bising.
Dalam usaha mengejar kemajuan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, aktiviti projek pembinaan di sesebuah negara tidak dapat dielakkan. Namun begitu, manusia sering mengabaikan masalah keselamatan yang timbul akibat pelaksanaan projek pembinaan tersebut. Kesan negatif yang dihasilkan daripada proses pembinaan juga mengakibatkan pelbagai masalah yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Oleh hal yang demikian, pihak majikan yang menguruskan tapak pembinaan yang terlibat perlu bertindak secara proaktif bagi menyelesaikan masalah pencemaran bunyi dengan sebaik-baiknya agar pekerja dapat bekerja dalam keadaan yang selamat dan bebas dari tahap bunyi bising yang melebihi had piawai seperti yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019.
Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, Nurul Farahana Kamaludin dan Boyke Boanerges Lubraja Taufik,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.