Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) di bawah naungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dikenali ramai kerana keunggulan institusi ini yang menyediakan latihan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kemahiran praktikal kepada pelajar dalam pelbagai bidang, termasuklah kejuruteraan dan teknologi. KKMT juga giat melaksanakan pelbagi aktiviti dan program melalui kerjasama Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) yang memberikan kesempatan kepada pensyarah dan pelajar kolej ini untuk mengguna pakai pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh pada peringkat global.
MRDC merupakan entiti yang bertanggungjawab dalam menyelaras pembangunan infrastruktur latihan dalam industri kereta api di Malaysia. MRDC memainkan peranan utama dalam menyokong, meningkatkan teknologi, keselamatan dan kecekapan pengoperasian dalam industri rel negara. Melalui kerjasama ini, MRDC telah berusaha untuk menyelaras pelbagai latihan kemahiran serta kualiti latihan dalam industri rel di Malaysia.
Antara kerjasama yang dijalinkan antara MRDC dengan KKMT termasuklah peluang latihan kemahiran di China, khususnya di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) sebagai langkah yang strategik dalam memperkukuh kepakaran serta hubungan bilateral dalam industri rel. Peluang seumpama ini membolehkan KKMT terus maju sebagai satu daripada institusi TVET yang utama dalam pembangunan dan penghasilan graduan dalam bidang rel yang berdaya saing serta memperoleh kemahiran teknikal yang akan memenuhi keperluan industri rel tempatan, sekali gus memperkukuh hubungan antara Malaysia dan China dalam sektor strategik ini.
Pada 23 Jun 2024, KKMT melalui program latihan kemahiran tajaan penuh yang dikenali sebagai Silk Road Link: China-Malaysia Railway Expertise Training Program China-Malaysia Institute of Modern Craftsmanship of Railway telah menjalani pensijilan latihan kemahiran dalam bidang teknologi pengangkutan kereta api bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China di Liuzhou Railway Vocational Technical College. Koleh ini terkenal dengan kepakaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan rel serta menjadi pusat rujukan bagi industri rel di selatan negara China.
Program ini merupakan antara inisiatif mobiliti pelajar yang penting dalam meluaskan pengalaman pembelajaran pelajar, selain memperkasakan kerjasama antara institusi pendidikan dari pelbagai negara. Program ini juga menawarkan peluang kepada pelajar TVET untuk menjalani pembelajaran dalam sistem pendidikan dan latihan industri yang berbeza di luar negara asal mereka.
Selain KKMT, institusi pengajian tinggi Malaysia yang terlibat dalam latihan antarabangsa ini ialah Kolej Komuniti Masjid Tanah Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Institut Latihan Perindustrian Kuantan, Yayasan Pahang Advanced Skills, Universiti Kuala Lumpur, Infrastructure University Kuala Lumpur dan agensi dari Malaysia Rail Development Corporation.
KKMT diwakili oleh 11 orang pelajar dan dua orang pensyarah kanan dalam program Diploma in Rail Signalling & Communication Technology yang telah menjalani latihan kemahiran serta menjalani ujian penilaian. Kumpulan ini juga berjaya memperoleh sijil kemahiran dalam beberapa modul seperti Railcar Coupler, Railway Surveyor, Railway Signal Technician dan Railway Freight Train Inspector.
Pengalaman Latihan Kemahiran di LRVTC
Latihan kemahiran praktikal sepanjang di Liuzhou Railway Vocational Technical College merupakan pengalaman yang mengubah pandangan pelajar terhadap industri kereta api. Program ini tidak hanya memberikan peluang pembelajaran teknikal terkini, malah memperkukuh pemahaman terhadap operasi dan pengurusan dalam bidang ini.
Program latihan dimulakan dengan majlis perasmian dan aktiviti pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dengan China. Latihan praktikal dan penilaian amali bagi setiap modul latihan yang dirangka pula dijalankan pada hari berikutnya. Program ini dirangkakan dengan teliti untuk memastikan pengalaman pembelajaran nilai tambah yang holistik dan berdaya saing tinggi yang merangkumi bidang penyelenggaraan kereta api seperti yang berikut:
Manfaat Pengantarabangsaan Program TVET
Sepanjang program latihan, pelajar dan pensyarah dapat memperluas pengalaman praktikal dalam pemeliharaan rel, pengendalian kereta api dan teknologi terkini yang digunakan dalam industri kereta api di China. Mereka berpeluang mempelajari penggunaan peralatan pengukuran hasil inovasi dari industri di China bagi penyelenggaraan trek rel (pengukuran gauge dan level) serta menggunakan sistem-sistem realiti maya yang digunakan dalam menyokong latihan amali di dalam makmal.
Lebih menarik lagi, peserta tidak hanya belajar di dalam makmal, namun berpeluang melaksanakan latihan praktikal secara langsung dalam aktiviti lapangan. Peserta dinilai mengikut modul pembelajaran secara amali seperti pemasangan, penyelenggaraan dan memperbaik komponen kereta api lokomotif yang sebenar di bawah bimbingan tenaga pengajar LRVTC yang berpengalaman. Pengalaman ini tidak hanya memperkukuh kemahiran teknikal peserta program, malah memberikan keyakinan untuk menghadapi cabaran dalam situasi sebenar.
Tambahan pula, program ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dalam kemahiran teknikal, malah berupaya meningkatkan tahap keyakinan diri peserta dalam berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelajar berlainan bangsa dan bahasa. Hal ini membuka mata peserta untuk memahami budaya kerja yang berbeza serta nilai dan amalan tradisi dalam kalangan kaum China. Isu ini penting untuk mempersiap peserta yang akan menghadapi cabaran kerja dalam persekitaran global yang penuh pancaroba dan persaingan.
Seiring dengan peningkatan perkhidmatan pengangkutan dalam negara, pengalaman pada peringkat antarabangsa ini memberikan nilai tambah yang bersaingan kepada pelajar TVET dalam bersaing mencari peluang pekerjaan di sektor global, khususnya bagi perkhidmatan rel dan kereta api yang kian berkembang. Impak jangka panjang ini juga memberikan kemampuan kepada pemain industri untuk beradaptasi dengan teknologi baharu dan bekerja secara berkesan dalam persekitaran yang merentasi budaya.
Peluang Kerjasama dalam Bidang Teknologi Pengangkutan Rel dan Kereta Api
KKMT dan Liuzhou Railway Vocational Technical College di China mempunyai potensi untuk menjalinkan kerjasama yang memberikan manfaat dalam bidang pendidikan dan latihan kereta api. Kerjasama ini tidak hanya dapat memperluas pengetahuan dan kemahiran pelajar, tetapi memperkukuh hubungan dengan institusi yang berprestij ini.
KKMT telah sedekad lamanya berkecimpung dalam pendidikan TVET di Malaysia yang memberikan fokus utama dalam penyediaan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri tempatan. Sementara itu, Liuzhou Railway Vocational Technical College dikenali sebagai pusat pendidikan tinggi yang unggul dalam menyediakan latihan teknikal vokasional pengurusan operasi kereta api lokomotif dan rel di China serta mempunyai jaringan luas dalam industri rel yang berkembang pesat. Antara potensi kerjasama yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri pendidikan rel adalah seperti yang berikut:
Secara keseluruhannya, pengalaman latihan di Liuzhou Railway Vocational Technical College di China merupakan proses penting dalam mempersiapkan pelajar mengejar kerjaya dalam industri rel, memperkaya perspektif dan menyuntik semangat pelajar untuk terus belajar dan meluaskan sayap dalam bidang yang dinamik ini.
Program pengantarabangsaan pelajar dalam latihan kemahiran TVET ini juga menjadi langkah yang strategik dalam menghasilkan graduan TVET untuk menghadapi cabaran global dalam industri rel dan kereta api. Melalui pengalaman ini, pelajar dan pensyaraj yang terlibat tidak hanya memperoleh pengetahuan teknikal yang mendalam, malah memperluas perspektif mereka terhadap perbezaan budaya dan industri antarabangsa.
Nurul Hidayah Ahmad Alemi dan Wan Ahmad Ramzi Wan Yusuf,
Pensyarah Kolej Komuniti Masjid Tanah/POLIMAS.