Oleh Sasya Zainal
12 Ogos 2024, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melewati sebuah kedai yang menjual aksesori batu kristal, mata pasti akan terpaut dengan kepelbagaian warna yang dihasilkan. Hablur atau kristal merupakan gabungan beberapa mineral daripada perut bumi. Kristal mempunyai struktur dalaman yang teratur, unik dan sempurna.

Terdapat banyak jenis batu kristal yang mempunyai komposisi sebatian kimia, sifat dan warna batu yang berbeza-beza. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam.” (Surah Fatir 35:27).

Perkataan kristal diterjemahkan daripada bahasa Yunani kuno, iaitu krustallos yang bermaksud titisan sejuk atau titisan beku. Pada zaman kuno, mereka mempercayai bahawa kristal merupakan air mata dewa. Hal ini dikatakan demikian kerana kristal dikatakan mempunyai kuasa ajaib yang kuat. Berkemungkinan daripada kepercayaan ini, batu kristal dijadikan sebagai satu daripada rawatan alternatif untuk penyembuhan. Bagi peramal rawatan alternatif yang menggunakan batu kristal, mereka perlu memahirkan diri dengan ilmu cakra dan aura.

Cakra berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud roda yang berputar dan berfungsi sebagai pusat keluar dan masuk tenaga. Roda atau tenaga yang berputar ini masing-masing berpadanan dengan kumpulan saraf dan organ utama di dalam badan manusia. Untuk memastikan cakra berfungsi dengan baik, roda tersebut haruslah sentiasa berputar, terbuka dan seimbang.

Fungsi cakra atau roda yang berputar ini adalah untuk menyerap tenaga aura. Cakra dianggap sebagai tenaga “halus” yang membantu organ, fikiran dan kecerdasan manusia bekerja pada tahap yang optimum. Tenaga yang baik daripada alam akan diserap, disimpan oleh cakra dan disebarkan ke seluruh badan. Secara umumnya, aspek cakra berhubung dengan fungsi emosional manusia.

Terdapat tujuh pusat cakra, iaitu cakra utama atau main chakra, cakra mahkota atau crown chakra, cakra mata ketiga atau third eye chakra, cakra tenggorokan atau throat chakra, cakra jantung atau heart chakra, cakra pusar atau solar plexus chakra dan cakra dasar atau base chakra. Ketujuh-tujuh cakra ini diwakili oleh tujuh warna, yakni warna putih, ungu, biru, hijau, kuning, jingga dan merah. Tujuh pusat cakra atau roda ini mencerap tenaga yang positif. Tenaga yang dicerap ini digunakan untuk merawat kerohanian, emosi dan kesihatan manusia.

Keadaan akan menjadi bahaya sekiranya roda cakra berhenti berputar, tersumbat atau bocor. Kesannya, aura manusia menjadi tidak seimbang. Individu yang auranya tersumbat atau dinding aura yang bocor akan mengalami masalah kesihatan. Jika dinding aura seseorang menjadi nipis, mereka akan mengalami emosi yang tidak stabil. Aura negatif pula akan mudah diserap jika dinding aura manusia semakin nipis.

Bagaimanakah hendak menguatkan atau menebalkan dinding aura? Selain amal ibadah, seseorang itu boleh mencuba rawatan alternatif dengan memakai batu kristal. Batu kristal mempunyai getaran aura yang stabil dan sekata. Pemakaian batuan kristal atau berada dekat dengan batuan kristal dikatakan mampu merawat aura individu yang terganggu dengan ketidakstabilan emosi dan hormon.

Setiap batu kristal mempunyai getaran atau frekuensi yang tertentu. Getaran atau frekuensi inilah yang dikatakan mampu mengaktifkan organ dalaman manusia. Jika seseorang itu jatuh sakit, organ dalaman seperti jantung atau paru-paru akan berdegup lemah. Terdapat juga kepercayaan bahawa jika seseorang pengamal alternatif menggunakan batu kristal seperti gelang atau rantai, getaran daripada batuan ini akan membantu mengaktifkan orang yang berdegup lemah.

Warna putih yang mewakili cakra utama atau main chakra ialah warna yang paling suci dan bersih kerana segala warna terdapat dalam warna putih. Warna putih akan dikaitkan dengan aura yang bersih dan suci. Dari segi emosi pula, warna putih dikaitkan dengan ketenangan dan kedamaian.

Oleh hal yang demikian, batu kristal putih digunakan untuk membersihkan aura seseorang. Batu kristal putih juga mampu merawat stres. Terdapat beberapa jenis batu kristal daripada warna putih seperti akik putih, jed putih, selenite dan batu bulan.

Masalah migrain atau sakit kepala merupakan petanda cakra mahkota atau crown chakra seseorang itu menjadi lemah. Rawatan alternatif bagi masalah ini adalah dengan menggunakan cakra mahkota berwarna ungu. Ada beberapa jenis batu kristal yang berwarna ungu seperti batu kecubung (amethyst), dreamy amethyst atau kuarza gandaria.

Getaran daripada batu kristal kecubung akan membantu cakra mahkota menjadi stabil dan sakit kepala akan berkurangan. Selain rawatan sakit kepala, batuan kristal kecubung juga amat baik dipakai oleh individu seperti pelajar, pensyarah atau guru.

Batu kecubung dipercayai boleh mengaktifkan saraf otak. Rawatan dengan menggunakan batu kristal kecubung mampu membantu mereka untuk berfikir dengan lebih kreatif dan menjana idea dengan lebih bernas.

 Kaum Tionghua telah menjadikan kristal sebagai satu daripada rawatan alternatif sejak ribuan tahun lamanya. Tentunya kristal bertuah yang amat dikenali di seluruh dunia ialah batu jed.

Umum mengetahui bahawa batu jed berwarna hijau. Namun begitu, terdapat banyak lagi warna batu jed yang lain seperti putih, merah, kuning, hitam dan kelabu. Terdapat sekurang-kurangnya 106 jenis batu jed yang dikatakan boleh dikemam di dalam mulut atau dipakai untuk merawat penyakit.

Perkataan jed dalam bahasa Inggeris ialah jade yang berasal daripada istilah Sepanyol, iaitu Piedra de Ijada yang pertama kali direkodkan pada tahun 1565. Piedra de Ijada bermaksud batu pinggang kerana reputasi keberkesanannya bagi merawat penyakit pinggang dan buah pinggang.

Dalam ilmu cakra, batu jed yang digemari oleh kaum Tionghua adalah berwarna hijau yang mewakili cakra jantung. Batu jed ini terdiri daripada beberapa unsur galian silika yang berlainan. Batu ini kaya dengan zink, kalsium, natrium, aluminium dan magnesium serta bahan kimia yang diperlukan bagi kesihatan manusia. Terdapat juga batu jed yang dapat menerima cahaya matahari pada waktu siang dan mengeluarkan sinarannya pada waktu malam.

Untuk kaum Tionghua, memakai batu jed atau menjadikannya sebagai perhiasan di rumah merupakan simbol kemuliaan, kekayaan, ketinggian maruah dan taraf seseorang. Jed amat digemari walau harganya tinggi kerana dipercayai mampu melanjutkan usia dan membawa kesejahteraan hidup kepada pemiliknya. Berdasarkan catatan daripada buku perubatan purba Cina, batu jed yang dikemam di dalam mulut boleh membantu mengatasi penyakit yang berkaitan dengan perut, paru-paru dan kerongkong. Kaedah alternatif ini juga amat baik untuk rawatan rambut dan mengekalkan semangat.

Dari segi rawatan alternatif, jed banyak dijadikan sebagai rantai atau loket kerana dipakai berdekatan dengan bahagian organ jantung, hati dan paru-paru. Mereka juga mempercayai jika pemakai merupakan pesakit jantung, batu jed yang berwarna hijau akan bertukar menjadi warna putih. Hal ini berlaku kerana pesakit telah menyerap aura batu jed tersebut untuk penyembuhan bahagian organ yang sakit.

Pada zaman moden ini, semakin banyak orang yang mencari rawatan kristal sebagai kaedah rawatan alternatif. Para pengamal rawatan alternatif yang menggunakan batuan kristal mempercayai bahawa kaedah ini dikatakan selamat dan tidak memberikan kesan negatif kepada pengguna. Walau bagaimanapun. bagi individu penghidap penyakit yang kronik, pesakit disarankan mendapatkan rawatan lanjut daripada pengamal perubatan profesional dan pakar bidang masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.