27 Julai 2024, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) menganjurkan Latihan Komunikasi Bencana “Malaysia – Dari Puncak ke Puncak” (My-PTPT) Radio Amatur Malaysia dengan kerjasama Planetarium Negara pada hari ini.

Latihan ini diadakan sebagai kesiapsagaan berterusan untuk menghadapi kecemasan dan bencana di mana-mana sahaja, terutamanya jika sistem telekomunikasi konvensional gagal berfungsi.

Selain itu, latihan ini bertujuan untuk memperkenalkan penggunaan alat komunikasi tersebut kepada pengunjung Planetarium Negara.

Tuan Haji Ir. Mohd Aris Bernawi, Presiden MARTS merangkap Pengarah Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa Wilayah 3 hadir dalam latihan ini.

Menurut beliau, latihan ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan radio amatur ketika menghadapi bencana.

“Ketika itu, sesiapa yang terlibat dengan bencana tidak boleh bergantung pada alat telekomunikasi yang terkini kerana alat tersebut tidak dapat digunakan,” katanya.

Tambah beliau, latihan ini diadakan secara berterusan bagi memastikan penggiat radio amatur cekap dalam mengendalikan alat tersebut, khususnya ketika menghadapi bencana.

Masyarakat juga harus sedar akan kepentingan radio ini yang boleh digunakan sama ada di puncak bukit atau dataran. Fungsinya boleh dipelbagaikan sama ada ketika menghadapi bencana atau sebagainya.

Tuan Haji Ir. Mohd Aris Bernawi, Presiden MARTS.

Para penggiat radio amatur di serata lokasi telah menjalani latihan antara dua hingga tiga minggu bagi memastikan latihan besar pada hari ini berjaya.

“Hal ini disebabkan lokasi yang berbeza-beza akan menghasilkan isyarat yang berbeza-beza bergantung pada halangan yang berada di lokasi tersebut,” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam latihan ini ialah Encik Mohd Zamri Shah Mastor, Ketua Penolong Pengarah Kanan yang mewakili Pengarah Planetarium Negara.

Menurut beliau, Planetarium Negara telah menyediakan tempat kepada pihak MARTS saban tahun untuk menjalankan aktiviti bagi tujuan memperkenalkan radio amatur sebagai satu daripada alat telekomunikasi kepada pengunjung.

Planetarium Negara juga sebenarnya turut mempunyai kemudahan radio amatur.

Walaupun Planetarium Negara sebuah institusi yang berkaitan astronomi dan sains angkasa, sebenarnya bidang itu menggunakan teknologi radio juga. Contohnya kajian tentang alam semesta yang menggunakan frekuensi radio. Jadi banyak persamaan antara aktiviti Planetarium Negara dengan MARTS, namun digunakan untuk perkara yang berbeza, iaitu untuk meneroka angkasa dan berkomunikasi.

Encik Mohd Zamri Shah Mastor, Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara.

Tambah beliau lagi, Planetarium Negara terletak di satu daripada bukit yang agak tinggi dan ini merupakan lokasi terbaik untuk berhubung dengan penggiat radio kerana isyaratnya boleh terus sampai sehingga ke Puncak Gunung Ledang.

Planetarium Negara akan sentiasa menyokong aktiviti seperti ini yang berkaitan astronomi dan penerokaan angkasa.

Para pengunjung Planetarium Negara yang terdiri daripada pelajar sekolah turut tidak melepaskan peluang melihat latihan pengendalian radio amatur.

Latihan ini melibatkan sebanyak 32 puncak bukit atau gunung serta puncak bangunan tinggi di seluruh negara dengan stesen radio amatur di serata lokasi.

Sebanyak 300 orang penggiat radio amatur yang mempunyai kepakaran mengendalikan radio amatur atau radio komunikasi dua hala terlibat dalam latihan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.