Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIndustri kereta api kini dilihat semakin berkembang dengan perkhidmatan laluan dan jenis keretapi yang semakin bertambah di Malaysia. Perkhidmatan ini semakin menjadi pilihan warga tempatan kerana dapat menjimatkan masa, kos dan lebih mesra alam, yakni bebas daripada pelepasan gas beracun akibat penggunaan petrol.
Perkhidmatan keretapi di Malaysia terdiri daripada transit laju ringan atau light rapid transit (LRT), transit laju massa atau mass rapid transit (MRT), airport rail link, electric train service (ETS), monorel, sistem alihan cepat atau rapid transit system (RTS) Malaysia–Singapura serta pelibatan pihak operator, pengurusan dan pembangunan industri kereta api seperti Prasarana Malaysia Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, ERL Sdn. Bhd., Scomi Group Berhad, Malaysian Industry Group High Technology (MIGHT), Technology Depository Agency Berhad dan MRT Corp adalah antara penggerak utama dalam era perkembangan industri rel di Malaysia
Justeru, program Diploma Rail In Signalling and Communication Technology (DSC) yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT), Melaka merupakan platform terbaik untuk para pelajar lepasan sijil dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai bidang baharu ini, sekali gus mempersiapkan diri dan menyumbang kepada tenaga kerja separa mahir pada masa hadapan.
Program DSC ialah gabungan pembelajaran di kampus selama dua tahun (empat semester) dan penyertaan latihan industri selama setahun (dua semester). Tempoh pembelajaran keseluruhan adalah selama tiga tahun dengan mod pembelajaran berasaskan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dan telah mendapat pengiktirafan penuh akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) sejak tahun 2020.
Melalui pembelajaran sebegini, pelajar akan didedahkan dengan pengalaman industri selama setahun dan pendedahan ilmu secara teori di institusi pengajian. Kelebihan ini akan memantapkan lagi persiapan diri pelajar untuk dibawa ke alam pekerjaan, sekali gus memenuhi keperluan industri rel pada masa akan datang.
Program DSC dibangunkan bersama-sama industri dan mendapat maklum balas cemerlang daripada operator atau syarikat industri rel dan panel akademik. Setakat ini, rakan industri bagi program ini terdiri daripada lima buah syarikat. Buat masa ini, KKMT juga dalam proses untuk mendapatkan lebih banyak syarikat lain untuk bekerjasama dalam program ini.
Sesi pengajian pertama bagi program DSC pada Jun 2018 adalah sebanyak 16 pelajar. Sehingga tahun 2024, sejumlah 80 graduan diploma telahpun dilahirkan dan mendapat pekerjaan dalam bidang rel di serata negara.
Pengambilan bagi program ini adalah sekali setahun, yakni pada Jun setiap tahun. Ambilan seterusnya adalah pada Julai 2024. Permohonan bagi kemasukan telah dibuka untuk proses pengumpulan data bakal pelajar untuk tujuan saringan. Sesi temu duga akan dilakukan kepada pelajar yang layak.
Kerjasama Industri
Pada 27 Februari 2020, KKMT telah melakarkan sejarah kerana telah berlangsungnya majlis menandatangani dokumen kerjasama antara JPPKK dengan MARIC di MIGHT, Cyberjaya. Dokumen tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPPKK, Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub, manakala Encik Haniff Ghazali mewakili pihak MARIC. Objektif program ini adalah untuk menjalinkan kerjasama antara pemain industri rel yang membuka peluang kepada para pelajar KKMT untuk mendapat tempat latihan industri yang memenuhi keperluan bidang rel. Di samping itu, para pelajar dapat didedahkan dengan prospek pekerjaan sebenar apabila menjalani latihan industri selama dua semester.
Program kerjasama ini menyatukan institusi akademik dan latihan berasaskan rel dalam satu gerakan bersepadu yang digelar Rail Uberisation. Penyertaan JPPKK dalam keluarga besar rel Malaysia yang disertai oleh agensi lain seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), SMEC, DevBank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MIMOS Berhad, DoStandard, Universiti Kuala Lumpur, Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA), MRCB George Kent Sdn. Bhd., KTMB, Prasarana, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. dan sebagainya merupakan langkah yang tepat dan mampu memajukan lagi bidang pengajian rel pada masa akan datang.
Kelebihan Program
Program DSC ditawarkan kepada lepasan sijil Kolej Komuniti (Sijil Teknologi Elektrik atau Sijil Pemasangan Elektrik atau Sijil Komputer dan Sokongan atau Sijil Komputer dan Rangkaian atau Sijil Telekomunikasi Teknologi) dan lepasan SPM.
Secara umumnya, sektor ini terdiri daripada beberapa bidang pengetahuan, iaitu teknologi rangkaian, komunikasi dan teknologi elektrikal. Dengan latar belakang pelajar daripada bidang yang pelbagai, pertukaran ilmu dan kemahiran dapat berlangsung dengan lebih cepat dan berkesan, pelajar akan memiliki tiga pengetahuan utama yang memberikan lebih banyak pilihan untuk bekerja dalam bidang lain selain daripada bidang kereta api.
Prospek Kerjaya
Program DSC dilihat berpotensi menjadi platform laluan kepada graduan diploma untuk melanjutkan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi di universiti awam dan swasta seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan UniKL. Usaha juga sedang dilakukan dengan merancang kerjasama antara KKMT dan beberapa buah universiti bagi merealisasikan graduan DSC untuk melanjutkan pelajaran pada tahap yang lebih tinggi.
Bagi melengkapkan keperluan pelajar untuk memperoleh pendedahan berkenaan dengan teknologi rel, unit program DSC giat merancang aktiviti lawatan ke syarikat operator atau industri rel seperti ERL, Prasarana, KTMB dan beberapa buah universiti seperti UniKL dan UTHM untuk melihat dan melakukan tugasan berdasarkan pemerhatian ketika aktiviti lawatan berlangsung. Selain itu, beberapa kursus sedang dirancang bagi proses pemantapan kemahiran para pensyarah yang mengajar dalam bidang ini untuk memastikan perpindahan kemahiran dapat dilakukan dengan berkesan kepada pelajar.
KKMT juga dalam proses menaik taraf dua makmal untuk dijadikan makmal komunikasi kereta api dan makmal signalling yang akan dilengkapi dengan peralatan peralatan teknologi rel dan komunikasi.
Wan Ahmad Ramzi Wan Yusuf dan Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin,
Pensyarah POLYCC Malaysia.